Pembekal rawatan akan membantu anda untuk membuat persediaan rapi dalam usaha anda untuk berhenti, di samping memberi rawatan kepada anda apabila perlu. Langkah-langkah persediaan termasuk:
- Menetapkan tarikh untuk berhenti – tarikh yang ideal untuk berhenti adalah dalam masa 2 minggu daripada tarikh mula rawatan. Strateginya adalah untuk mengurangkan bilangan rokok yang dihisap secara ansuran sebelum tarikh yang ditetapkan. Selepas tarikh yang ditetapkan tiba, anda perlu berhenti dengan sepenuhnya dan tidak boleh untuk menghisap rokok walaupun satu sedutan.
- Beritahu keluarga, kawan dan juga rakan sekerja tentang keinginan anda untuk berhenti dan mohon bantuan dan sokongan daripada mereka. Pakar kesihatan mungkin berupaya untuk membantu mendapatkan kumpulan bantuan. Jika terdapat perokok lain dalam kediaman anda, anda perlu menasihatkan mereka untuk sertai anda dalam usaha untuk berhenti atau sekurang-kurangnya, minta mereka untuk tidak merokok di sekeliling anda. Ini penting bagi memastikan risiko kegagalan usaha anda dapat dikurangkan dan juga bagi mengelak daripada pendedahan asap rokok secara pasif.
- Bersiap-sedia untuk cabaran dan dugaan khususnya dalam beberapa mingu pertama anda. Apa yang boleh disahkan oleh sesiapa sahaja yang sudah berhenti merokok adalah dalam perjalanan anda untuk berhenti, fahaman dan motivasi anda akan ada pasang dan surutnya, bahkan boleh bercanggah antara satu sama lain dari semasa ke semasa – Anda akan melalui fasa di mana kekuatan anda untuk berhenti menjadi lemah dan mudah untuk anda tergelincir semula. Ini termasuklah dugaan simptom putus ubat (withdrawal symptoms). Mujurlah, pakar kesihatan sentiasa ada untuk anda temui bagi berbincang bagaimana untuk menangani dugaan-dugaan tersebut dengan jayanya. Doktor boleh melatih dan mengajar anda kaedah menangani cabaran ketika ingin berhenti serta memberi terapi gantian nikotin untuk mencegah dan mengawal simptom putus ubat.
- Pakar kesihatan juga berupaya untuk membantu untuk mengubahsuai faktor persekitaran dan juga gaya hidup anda bagi mengurangkan pendedahan terhadap rangsangan yang boleh menyebabkan anda terjerumus kembali ke tabiat merokok. Ini termasuklah mengalihkan bahan tembakau daripada persekitaran anda dan juga untuk mengurangkan/mengelakkan daripada mengambil minuman beralkohol kerana ianya juga mampu untuk menyumbangkan kepada kegagalan proses berhenti.
Rawatan
Farmakoterapi membantu untuk mengurangkan simptom putus ubat. Terdapat tiga jenis farmakoterapi utama yang digunakan dan ianya diberikan berdasarkan faktor keberkesanan, keselamatan, kesesuaian terhadap pesakit dan juga kos. Tiga ubat tersebut adalah:
- Terapi gantian nikotin (NRT) – NRT membantu untuk mengurangkan simptom putus ubat yang berlaku apabila anda berhenti daripada membekalkan nikotin kepada sistem badan anda. Ianya dilakukan dengan membekalkan kandungan nikotin rendah, dan di Malaysia, jenis NRT yang disediakan adalah dalam bentuk gula-gula getah, tampalan pada kulit, inhalan, semburan oral dan juga semburan hidung.
- Bupropion (sejenis ubat antimurung) – Walaupun ianya sejenis ubat antimurung, ianya berupaya untuk meningkatkan keberkesanan proses berhenti merokok tanpa menggunakan kesan antimurungnya.
- Varenicline – Membantu perokok untuk berhenti dengan cara mengekalkan paras dopamin yang sederhana (neurotransmitter yang berkait rapat dengan ketagihan) demi melawan simptom putus ubat, dan juga dengan mengurangkan rasa puas ketika merokok.
Janji Temu Susulan
Risiko untuk terjerumus semula ke tabiat merokok berada paling tinggi dalam tempoh 8 hari pertama setelah berhenti. Justeru, janji temu susulan yang kerap dengan doktor anda selepas tarikh berhenti adalah penting bagi memastikan ianya kekal. Mencapai tempoh berhenti selama 12 bulan adalah indikator yang bagus dalam meramal kejayaan penghentian jangka panjang. Ketika janji temu bersama doktor, doktor akan membantu untuk mengekalkan motivasi anda dengan memberi ucapan tahniah dan sokongan di samping mengekalkan motivasi yang ada pada diri anda. Janji temu juga adalah penting bagi menilai keberkesanan farmakoterapi dan masalah berkaitannya. Jika berlaku kegiatan merokok semula, doktor mampu untuk berbincang dan menilai faktor-faktor yang mendorong anda untuk melakukan perbuatan tersebut. Dari situ, mereka mampu untuk membantu menyelesaikan masalah anda bersama dan cuba untuk mencapai semula matlamat untuk berhenti.
Perjalanan berhenti merokok ini adalah satu pengalaman yang mengubah kehidupan anda kerana ianya membebaskan anda daripada ikatan ketagihan. Walaupun ianya bukan mudah, pakar kesihatan sentiasa berada di samping anda untuk membantu anda melaluinya dengan jayanya. Katakan ‘TIDAK’ kepada merokok.
Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen