backup og meta

Merancang Untuk Hamil? Ketahui Risiko Kehamilan Luar Rahim (Ektopik) Di Sini Sekarang!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 10/12/2021

    Merancang Untuk Hamil? Ketahui Risiko Kehamilan Luar Rahim (Ektopik) Di Sini Sekarang!

    Pernahkah anda mendengar mengenai kehamilan di luar rahim? Ia juga dikenali sebagai kehamilan ektopik. Bagi anda yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang masalah ini, berikut antara tanda kehamilan luar rahim yang patut anda tahu. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang kehamilan di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    Bagaimanakah kehamilan di luar rahim boleh berlaku?

    kehamilan di luar rahim

    Ramai yang mungkin pernah mendengar mengenai kehamilan luar rahim, namun tidak ramai yang tahu tentang kehamilan ektopik.

    Sebenarnya, kedua-dua istilah ini merujuk kepada satu keadaan atau masalah kehamilan yang sama.

    Secara umumnya, kehamilan akan berlaku apabila telur wanita yang telah disenyawakan melekat pada dinding rahim.

    Namun, bagi kehamilan di luar rahim, telur wanita ini melekat di luar rongga utama rahim. Biasanya ia berlaku di bahagian tiub fallopian.

    Ada juga kes di mana kehamilan jenis ini berlaku di kawasan seperti faraj dan bahagian bawah rahim iaitu serviks.

    Kehamilan di luar rahim ini tidak akan membesar seperti kehamilan biasa kerana telur tersebut tidak dapat bertahan lama. 

    Tanda kehamilan luar rahim

    Pada fasa awal kehamilan di luar rahim, anda mungkin tidak menyedari sebarang simptom atau tanda. 

    Namun, tidak dinafikan bahawa ada sesetengah wanita yang mungkin mengalami beberapa tanda kehamilan seperti biasa.

    Walaupun anda membuat ujian kehamilan dan menunjukkan keputusan positif, namun kehamilan ini masih tidak dapat berkembang seperti biasa.

    Antara tanda kehamilan luar rahim yang boleh anda perhatikan adalah terdapat pendarahan ringan pada kawasan faraj.

    tanda kehamilan luar rahim

    Selain itu, anda juga mungkin mengalami kesakitan pada bahagian pelvis.

    Sekiranya darah yang keluar itu berpunca daripada kawasan tiub fallopian, bahu anda mungkin terasa agak sakit selain terasa seperti ingin membuang air.

    Sekiranya tisu telur yang telah disenyawakan itu terus membesar di dalam tiub fallopian, ia boleh menyebabkan pecah.

    Sekiranya tiub tersebut pecah, ia boleh menyebabkan pendarahan yang banyak dalam tubuh badan anda.

    Anda mungkin akan berasa seperti hendak pengsan jika berlaku pendarahan yang banyak seperti ini.

    Punca kehamilan di luar rahim

    Jenis kehamilan luar rahim yang sering berlaku ialah kehamilan tiub.

    Ia berlaku apabila telur wanita yang telah disenyawakan tersekat pada bahagian tertentu dalam perjalanannya menuju rahim.

    Biasanya, telur wanita ini akan tersangkut di bahagian tiub fallopian.

    Antara sebab mengapa ia boleh tersangkut adalah kerana keadaan tiub fallopian itu sendiri yang mungkin mengalami keradangan.

    Selain itu, ketidakseimbangan hormon juga boleh menjadi salah satu punca ia berlaku. 

    Faktor risiko kehamilan ektopik

    kehamilan di luar rahim

    Berikut adalah beberapa perkara yang boleh memberikan risiko kehamilan ektopik:

    #1. Pernah mengalami kehamilan ektopik

    Mereka yang pernah mengalami kehamilan luar rahim sebelum ini amat berisiko tinggi untuk mengalaminya sekali lagi. 

    #2. Rawatan kesuburan

    Ada kajian yang menyatakan bahawa wanita yang pernah mengalami rawatan kesuburan seperti IVF agak berisiko untuk mengalami kehamilan luar rahim.

    Bukan itu sahaja, masalah ketidaksuburan juga memungkinkan anda untuk mengalami kehamilan jenis ini.

    #3. Tabiat merokok

    Sekiranya anda merokok sebelum mula hamil, ia juga boleh memberikan risiko untuk mengalami kehamilan sebegini. 

    Semakin banyak anda merokok, maka semakin tinggi risiko untuk ia berlaku. 

    #4. Keradangan atau jangkitan

    Jika anda pernah mengalami jangkitan seksual seperti gonorea atau klamidia, ia boleh menyebabkan keradangan pada tiub fallopian dan juga organ yang lain.

    Keradangan inilah yang boleh menyebabkan telur tersekat dan menyebabkan kehamilan ektopik.

    #5. Penggunaan alat kawalan kehamilan

    Faktor risiko ini amat jarang menyebabkan kehamilan ektopik, namun ia tidak mustahil untuk berlaku.

    Sekiranya anda masih lagi hamil walaupun telah memakai alat IUD, ini bermakna ia adalah kehamilan luar rahim. 

    #6. Pembedahan pada kawasan tiub fallopian

    Jika anda pernah menjalani sebarang pembedahan pada kawasan tiub ini, anda juga berisiko tinggi untuk mendapat kehamilan luar rahim.

    Komplikasi kehamilan di luar rahim yang boleh berlaku

    Sekiranya kehamilan ektopik berlaku, ia boleh menyebabkan tiub fallopian pecah.

    Jika tidak dirawat, ini boleh menyebabkan pendarahan yang banyak sehingga mengancam nyawa. 

    Bagaimana untuk mencegahnya?

    Anda tidak boleh menghalang kehamilan ini daripada berlaku, namun anda boleh mengurangkan risikonya.

    Antara yang boleh dilakukan adalah memastikan anda tidak bertukar-tukar pasangan untuk elak jangkitan seksual.

    Selain itu, anda juga perlu berhenti merokok dengan segera jika merancang untuk hamil. 

    Kesimpulan

    Sekiranya anda mengalami sebarang simptom kehamilan luar rahim seperti yang telah dinyatakan di atas, segera berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

    Pemeriksaan awal boleh memberikan peluang kepada anda untuk mendapat rawatan lebih awal.

    Ini juga boleh mengelak risiko tiub fallopian pecah dan meragut nyawa anda. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 10/12/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan