Menopaus merupakan satu fasa normal bagi wanita – semua kaum Hawa pasti akan mengalaminya. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak pasti mengenai umur menopause wanita. Malah, ada juga yang tidak tahu mengenai 3 tahap menopause yang berbeza!
Menopaus berlaku apabila wanita berhenti datang haid. Manakala, perimenopaus pula bermaksud ‘sekitar menopaus’. Ia merupakan satu tempoh masa di mana wanita akan mengalami perubahan tertentu sebelum benar-benar mencecah fasa putus haid.
Kadangkala, pramenopaus dan perimenopaus digunakan untuk menerangkan tahap menopause yang sama. Walau bagaimanapun, kedua-dua terma ini sebenarnya mempunyai makna yang berbeza.
Ketika pramenopaus, wanita tidak mengalami sebarang simptom perimenopaus atau menopaus. Pada waktu ini, wanita masih lagi subur dan berada dalam usia reproduktif.
[embed-health-tool-ovulation]
Masih keliru mengenai tahap menopause dan cara untuk membezakannya? Jangan risau, kami akan terangkan lebih lanjut mengenainya dalam artikel di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
3 fasa menopause yang berbeza, apa yang anda perlu tahu?
Seorang wanita dikatakan telah menopaus apabila dia tidak datang haid selama 12 bulan berturut-turut tanpa sebab lain. Wanita yang mengalami menopaus mempunyai tahap estrogen dan hormon lain yang lebih rendah.
Kaum Hawa tidak perlu takut dengan menopaus. Ia merupakan satu proses yang normal, semula jadi dan akan berlaku kepada semua wanita.
Kebanyakan wanita akan alami menopaus ketika berusia 40 hingga 58 tahun. Namun, usia purata adalah 51 tahun.
Sebarang perubahan yang membawa kepada menopaus akan berlaku secara perlahan-lahan.
Pada waktu ini, tahap hormon estrogen wanita tidak teratur. Ia akan meningkat dan menurun tanpa sebab. Perubahan hormon ini akan menyebabkan gangguan pada kitaran haid wanita.
Inilah masanya wanita dikatakan sedang mengalami perimenopaus. Malah, tempoh masa perubahan ini mungkin berlangsung selama 4 hingga 8 tahun sebelum menopaus yang sebenar berlaku.
Sebagai panduan, kami terangkan secara lebih lanjut di bawah:
Tahap menopause 1: Pramenopaus
Wanita yang dikatakan mengalami pramenopaus tidak akan berdepan sebarang simptom.
Malah, maksud pramenopaus sendiri ialah ‘sebelum menopaus’. Pada fasa ini, wanita dikatakan sedang berada dalam tempoh reproduktif dan boleh melahirkan anak.
Ketika pramenopaus, tidak ada sebarang perubahan yang boleh dilihat pada badan wanita.
Walau bagaimanapun, perubahan hormon mungkin akan berlaku secara perlahan-lahan sehingga akhirnya wanita mencecah perimenopaus.
Tahap menopause 2: Perimenopaus
Perimenopaus berlaku ketika wanita berusia 40 tahun ke atas. Perubahan yang paling ketara ialah munculnya simptom-simptom yang berlaku disebabkan penurunan hormon estrogen dan hormon seks lain.
Simptom perimenopaus berbeza mengikut individu. Namun, kebanyakannya akan mengalami sekurang-kurangnya satu daripada simptom di bawah:
- Masalah haid tidak teratur atau tidak datang haid.
- Haid yang lebih berat atau lebih ringan daripada biasa.
- Muka dan badan yang rasa panas secara tiba-tiba (hot flashes).
- Vagina kering.
- Masalah membuang air kecil.
- Masalah tidur (insomnia).
- Perubahan mood.
Simptom perimenopaus selalunya hampir sama dengan simptom menopaus.
Walau bagaimanapun, simptom ini akan menjadi semakin teruk apabila usia wanita makin bertambah.
Tempoh perimenopaus adalah sekitar 4 hingga 8 tahun. Ketika ini, hormon estrogen akan berkurangan secara perlahan-lahan.
Wanita masih boleh mengandung ketika perimenopause. Walau bagaimanapun, kehamilan ini mungkin lebih sukar jika dibandingkan dengan kehamilan yang berlaku ketika wanita masih lagi muda.
Baca juga:
- Kaum Hawa, Kenali 5 Tanda Awal Anda Sedang Alami Fasa Perimenopause!
- Hilang Minat Melakukan Seks Salah Satu Petanda Menopause, Periksa 4 Tanda Lain!
Tahap menopause 3: Menopaus
Umur menopause wanita selalunya adalah di antara 45 hingga 55 tahun. Walau bagaimanapun, ada wanita yang alami menopaus seawal usia 30 hingga 40 tahun.
Namun, menurut The Global Library of Women’s Medicine, usia purata ialah 51 tahun.
Secara normal, wanita tidak akan alami menopaus secara tiba-tiba. Simptom juga akan datang secara perlahan-lahan.
Tahap menopause yang berbeza juga menandakan bahawa perubahan ini akan berlaku secara perlahan-lahan dan bukannya dengan mengejut.
Tanda dan simptom menopaus mungkin berbeza mengikut wanita. Namun, kebanyakannya akan mengalami masalah haid yang tidak teratur sebelum period benar-benar terhenti. Ini merupakan sesuatu yang normal.
Walau bagaimanapun, masih ada kemungkinan untuk wanita hamil walaupun haid mereka tidak teratur. Jadi, wanita masih perlu berhati-hati dan kekal melakukan seks selamat.
Kesimpulan
Ada banyak terma yang menandakan perubahan dalam sistem reproduktif wanita.
Walaupun ia mengelirukan, wanita perlu faham tentang perbezaan antara menopaus, perimenopaus dan pramenopaus supaya mereka lebih bersedia pada masa hadapan. Umur menopause wanita juga berbeza. Sama jugalah dengan simptom yang dialami.
Jika anda mengalami simptom perimenopause atau menopaus yang serius, jangan malu untuk berjumpa doktor. Kadangkala, simptom yang abnormal mungkin menandakan penyakit lain.
Dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin dan jangan biarkan simptom menopaus mengganggu perjalanan hari anda.