backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Ada Pro Dan Kontra Jika Lewat Menopaus, Setiap Wanita Harus Ambil Peduli!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 24/05/2022

    Ada Pro Dan Kontra Jika Lewat Menopaus, Setiap Wanita Harus Ambil Peduli!

    Bila bercakap mengenai umur menopause, tidak ada usia yang tepat tentang bila ia akan berlaku. Ada kalanya, umur wanita menopause mungkin pada awal kehidupan dan ada juga yang mengalami late onset menopause.

    Eh, apa pula late onset menopause ini? Ia bermaksud menopaus lewat. 

    Sempena Hari Wanita Sedunia, Hello Doktor akan mengupas keadaan tersebut serta kesan menopause pada wanita.  #IWD2022 #StandStrong

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Umur menopause lewat

    Menopaus adalah peringkat dalam kehidupan apabila wanita berhenti mengalami kedatangan haid bulanan. Ia adalah bahagian normal proses penuaan dan menandakan berakhirnya fasa subur dan pembiakan bagi wanita.

    Apabila usia anda meningkat, kitaran pembiakan – telah berfungsi secara berterusan sejak akil baligh – mula perlahan dan bersedia untuk berhenti.

    Apabila menopaus semakin hampir, ovari akan kurang menghasilkan hormon yang dipanggil estrogen. Apabila penurunan ini berlaku, kitaran haid akan mula berubah. Ia boleh menjadi tidak teratur dan kemudian berhenti.

    Seperti namanya, menopaus lewat ialah menopaus yang berlaku lebih lambat dalam kehidupan wanita – ia merujuk pada umur di mana menopaus bermula.

    umur menopause

    Kebanyakan umur wanita menopause adalah pada usia 45-55 tahun. Tetapi ada juga yang mula mengalaminya pada awal 40-an.

    Sebaliknya, sesetengah wanita mungkin bermula kemudian apabila mereka sudah berusia 55 tahun atau lebih, yang dikenali sebagai umur menopause lewat.

    Kehamilan & umur menopause lewat 

    Walaupun jarang berlaku, wanita masih boleh hamil dan bersalin pada awal 50-an. Ini boleh melambatkan menopaus kerana tubuh akan menyesuaikan diri dengan perubahan hormon yang dibawa oleh kehamilan.

    Mana-mana kehamilan mempunyai kesan yang besar pada tahap hormon wanita. Jika wanita dalam lingkungan 50-an mengalami kehamilan, ia juga akan menjejaskan hormonnya.

    Sebagai seorang wanita, anda harus sedar walaupun tidak mengalami pendarahan haid selama 12 bulan, risiko untuk mengandung masih ada.

    umur menopause

    Kesan menopause pada wanita

    Walaupun menopaus lewat mungkin mempunyai beberapa faedah, namun terdapat juga beberapa risiko yang berkaitan dengannya, seperti:

    Kebaikan umur menopause lewat: Risiko strok dan masalah kardiovaskular lebih rendah

    Penyelidik mendapati menopaus lewat berpotensi menurunkan risiko strok wanita, serta masalah kardiovaskular. 

    Satu penjelasan yang mungkin untuk ini ialah estrogen mempunyai kesan yang baik pada jantung. 

    Ia membantu mengekalkan fleksibiliti dinding jantung, membolehkannya mengecut dan mengembang untuk mengepam darah dengan cekap ke seluruh badan. Ini sekali gus membantu mengurangkan risiko masalah kardiovaskular.

    Wanita yang dalam menopaus tidak lagi menghasilkan sebarang estrogen, ini bermakna tiada lagi manfaat untuk kesihatan jantung. Keadaan ini menjadikan wanita yang sudah menopaus berisiko tinggi mendapat sakit jantung. 

    umur menopause

    Kebaikan umur wanita menopause lewat: Jangka hayat lebih lama

    Dalam kajian lain menunjukkan wanita mengalami menopaus lewat mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding yang lain.

    Umumnya, penyelidik masih tidak pasti mengapakah ini berlaku dan kenapa wanita yang mengalami menopaus awal boleh mempunyai jangka hayat lebih pendek.

    Namun antara sebab yang dipercayai adalah menopaus awal secara amnya meletakkan wanita pada risiko diabetes jenis 2 lebih tinggi dan masalah kesihatan lain.

    Kebaikan: Ingatan yang lebih baik

    Satu faedah menopaus lewat ialah mempunyai daya ingatan yang lebih baik. Apabila semakin tua, adalah normal untuk otak mengalami penurunan kognitif.

    Walau bagaimanapun, penyelidikan mendapati individu mengalami menopaus lewat mempunyai kognisi lebih baik berbanding wanita lain yang sebaya.

    Antara kemungkinan pencetus keadaan ini yang dikemukakan oleh penyelidik ialah estrogen juga boleh mempunyai kesan perlindungan pada neuron atau sel otak.

    Ini bermakna semakin lama tubuh wanita menghasilkan estrogen, lebih banyak perlindungan otak mereka terhadap penurunan kognitif.

    Baca juga:

    Keburukan umur menopause lewat: Risiko kanser meningkat

    Salah satu risiko paling ketara yang dikaitkan dengan menopaus lewat adalah ia boleh meningkatkan risiko kanser ovari, rahim dan payudara.

    Walaupun estrogen mempunyai beberapa kesan yang baik terhadap kesihatan seseorang, dalam masa yang sama ia juga mempunyai kesan negatif pada badan.

    Dalam menopaus lewat, jumlah estrogen yang lebih tinggi boleh meningkatkan risiko kanser rahim. Selain itu, paras estrogen tinggi juga mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko kanser payudara dan ovari.

    Kesan menopaus pada wanita yang lewat ini secara amnya meningkatkan risiko lebih tinggi untuk mendapat kanser berbanding yang lain.

    Kesimpulan umur menopause lewat 

    Hakikatnya, tidak ada cara untuk mengawal bila menopaus boleh dan akan berlaku. Banyak faktor memainkan peranan sama ada seorang wanita itu akan mengalami menopaus lewat atau tidak.

    Bagi wanita yang masih mengalami kitaran haid pada usia lewat 50-an dan 60-an, mereka haruslah berjumpa doktor. Namun seperkara yang tidak boleh kita abaikan adalah sistem pembiakan setiap wanita berbeza.

    Sama seperti setiap remaja perempuan mula mengalami haid pertama pada usia yang berbeza, menopaus juga terjadi pada umur yang tidak sama untuk setiap wanita.

    Perkara yang paling penting untuk diingat adalah untuk kekal sihat dan mengutamakan kesihatan anda.

    Jika mempunyai kebimbangan terhadap keadaan diri, jangan teragak-agak untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan kepastian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 24/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan