“Kenapa asyik mengantuk ketika period? Masuk kali ini, dah 5 kali menguap di tempat kerja. Bukan itu sahaja, sepanjang hari rasa letih dan tidak bersemangat… Adakah ini sebahagian daripada simptom haid?”
Haa… Adakah anda mengalami masalah yang sama? Jom, dapatkan info lebih lanjut mengenai simptom datang haid terutamanya tentang masalah mengantuk!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Kenapa asyik mengantuk semasa haid?
Tanda anda keletihan semasa period:
- Rasa gelisah dan stres
- Sukar tidur malam
- Mudah marah dan sering moody
- Penat, letih dan mengantuk
- Sakit badan
- Cirit-birit
Mengantuk merupakan satu simptom period yang lazim dalam kalangan kaum Hawa.
Ramai wanita yang mengakui mereka sering rasa penat dan tidak bersemangat sepanjang hari.
Ini tidak termasuk dengan simptom haid yang lain seperti pening kepala, sakit perut, masalah jerawat, sakit payudara, mood swing dan pelbagai lagi.
Tetapi, mengapa semua ini berlaku? Simptom period sebenarnya terjadi disebabkan ketidakseimbangan hormon dalam badan!
Menurut sebuah kajian yang dilakukan oleh Active Iron, 49% wanita rasa mengantuk, letih dan penat disebabkan haid masing-masing.
Benar, mengantuk ketika period merupakan sesuatu yang normal. Namun, tidaklah sampai keletihan yang melampau!
Kesakitan dan pendarahan yang melampau ketika haid merupakan sesuatu yang abnormal.
Jika anda rasa letih dan mengalami pelbagai simptom lain seperti pendarahan yang berat, mungkin ada penyakit lain yang menjadi dalang di sebaliknya.
Selain simptom haid, ada lagi ke punca badan penat ketika period?
Sehingga hari ini, pakar mempunyai pendapat yang berbeza mengenai keletihan ketika haid. Ada yang berpendapat ia berlaku disebabkan ketidakseimbangan hormon.
Namun, bukan itu sahaja. Ada beberapa lagi penyebab lain yang menjadi punca mengantuk ketika haid:
1. Sukar tidur malam
Kenapa asyik mengantuk? Mungkin sebab anda tidak tidur lena!
Masalah tidur merupakan isu lazim di negara kita. Hampir 35% orang dewasa mempunyai insomnia yang menyebabkan kualiti tidur mereka merudum.
Walau bagaimanapun, wanita lebih berisiko untuk mengalami masalah tidur disebabkan ketidakseimbangan hormon ketika haid.
Kurang tidur pada waktu malam menyebabkan wanita rasa mengantuk sepanjang hari.
Ada banyak sebab mengapa wanita tidak boleh tidur, antaranya disebabkan kesakitan ketika senggugut atau pening kepala yang mengganggu kualiti tidur malam.
Tip: Wanita yang mengalami senggugut pada waktu malam boleh mengambil ubat tahan sakit untuk mengurangkan kesakitan pada waktu malam.
2. Tahap zat besi dalam badan rendah
Wanita yang mengalami pendarahan berat ketika haid mungkin akan menghidap anemia.
Apabila badan tidak dapat zat besi yang mencukupi, ia tidak dapat menghasilkan hemoglobin, sejenis protein penting yang membantu sel darah menghantar oksigen yang mencukupi ke seluruh badan.
Selain itu, tahap zat besi yang rendah dalam badan juga boleh menyebabkan keletihan. Sebab itulah, ramai wanita yang rasa mengantuk sepanjang hari ketika haid!
3. Rasa mengidam makanan manis
Siapa sangka, makanan sebenarnya boleh menjadi punca keletihan!
Jadi, jangan layan sangat rasa mengidam ketika haid. Jika anda makan terlalu banyak makanan yang manis, tahap gula dalam darah akan meningkat.
Kenaikan kadar gula boleh menyebabkan keletihan yang berpanjangan.
Tip: Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Elakkan makanan ringan dan kafein untuk kurangkan keletihan ketika haid.
Baca juga:
- Haid Berpanjangan Tapi Keluar Sikit-sikit? Ini 9 Puncanya, Ada Yang Disebabkan Penyakit Bahaya!
- Kaum Hawa Kena Makan 7 Suplemen Ini Ketika Haid Untuk Elak Dan Kawal PMS!
Cara mengurangkan keletihan disebabkan simptom haid
Benar, kita tidak boleh mengelakkan simptom haid secara 100%.
Walau bagaimanapun, ada beberapa langkah yang boleh anda lakukan untuk kekal cergas ketika period:
- Pastikan anda tidur malam dengan mencukupi. Tidur dan bangun pada waktu yang sama supaya hormon lebih stabil.
- Makan secara sihat. Elakkan mengikut nafsu makan. Kadar gula dalam darah yang terlalu tinggi akan menyebabkan keletihan. Cuba makan lebih kerap namun dalam saiz hidangan yang kecil.
- Minum air dengan mencukupi. Dehidrasi merupakan punca utama keletihan. Jadi, pastikan anda minum air sekurang-kurangnya 8 gelas setiap hari.
- Bersenam dengan kerap. Semua orang perlu bersenam. Ia dapat meningkatkan kesihatan kardiovaskular dan juga peredaran darah. Lama-kelamaan, anda akan rasa lebih cergas dan kurang letih!
Jangan risau, anda boleh tangani keletihan disebabkan simptom haid!
Ladies, jangan risau sekiranya anda sering rasa letih ketika haid. Ini merupakan perkara yang normal dan boleh diatasi dengan mudah.
Elakkan pengambilan makanan segera, minuman beralkohol dan rokok. Amalkan pemakanan yang sihat, tidur yang mencukupi dan kekal aktif.
Selain itu, anda juga boleh berehat dan tidur sebentar pada waktu siang untuk mengatasi keletihan!
[embed-health-tool-ovulation]