Pembedahan histerektomi juga membantu mengurangkan kesakitan kronik dan pendarahan berat yang disebabkan oleh fibroid, endometriosis, dan keadaan lain.
Apabila simptom-simptom ini hilang selepas pembedahan, anda mungkin berasa lebih bertenaga untuk melakukan aktiviti fizikal, yang berpotensi menyebabkan penurunan berat badan.
Berat badan naik kesan buang rahim?
Walaupun prosedur buang uterus tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan penurunan berat badan, tetapi ia mungkin ada hubung kait dengan kenaikan berat badan bagi sesetengah individu.
Dalam kajian yang dijalankan pada tahun 2009 menunjukkan wanita perimenopause yang menjalani histerektomi tanpa menyingkirkan kedua-dua belah ovari berisiko tinggi mengalami kenaikan berat.
Keadaan itu jika dibandingkan dengan mereka yang belum menjalani pembedahan buang rahim.
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang diperlukan untuk memahami sepenuhnya kaitan antara histerektomi dengan kenaikan berat badan.

Kurangkan risiko pertambahan berat badan
Untuk mengurangkan risiko kenaikan berat badan kesan buang rahim, dapatkan rundingan doktor mengenai keselamatan untuk anda melakukan aktiviti senaman ringan.
Bergantung pada prosedur dan tahap kesihatan, anda mungkin akan dapat melakukan latihan kecergasan berimpak rendah setelah beberapa minggu.
Contoh latihan berintensiti rendah adalah:
- Berenang
- Senamrobik air
- Yoga
- Tai chi
- Berjalan
Selain itu, adalah penting untuk memberi tumpuan kepada diet anda selepas pembedahan. Ia adalah untuk mengelakkan kenaikan berat badan dan untuk menyokong badan ketika dalam proses penyembuhan.
Cuba hadkan makan makanan ringan sementara menunggu masa untuk anda pulih sepenuhnya. Sebaiknya, pilihlah makanan seperti:
- Gandum atau bijirin penuh
- Buah-buahan dan sayur-sayuran segar
- Sumber protein tanpa lemak

Anda harus ingat bahawa pembedahan buang uterus ini adalah pembedahan utama, jadi penting untuk memberikan tumpuan kepada proses pemulihan.
Selalunya, selepas tempoh beberapa minggu, anda akan berasa lebih baik walaupun mengalami kenaikan beberapa kilogram berat sepanjang tempoh tersebut.
Kesan sampingan buang rahim
Terdapat beberapa kesan sampingan pembedahan histerektomi yang tidak langsung mempunyai kaitan dengan berat badan.
Sekiranya anda masih mengalami kitaran haid sebelum pembedahan, prosedur histerektomi akan menghentikannya.
Sudah pasti dengan ketiadaan uterus, anda tidak akan mempunyai peluang untuk hamil.
Kedua-dua keadaan ini; kehilangan kesuburan dan kitaran haid mungkin memberi manfaat bagi sesetengah individu wanita.
Pun begitu, ada juga wanita yang berasa kehilangan. Disebabkan itu, mereka mungkin mengalami rasa sedih setelah menjalani histerektomi.
Sekiranya anda mengalami menopaus selepas prosedur, kesan lain yang cenderung terjadi adalah seperti:
- Insomnia
- Rasa panas dan berpeluh (hot flashes)
- Perubahan emosi
- Kekeringan faraj
- Penurunan nafsu seks

Antara kesan buang rahim untuk jangka masa pendek termasuklah:
- Rasa sakit pada bahagian pembedahan
- Bengkak, kemerahan, atau lebam kawasan prosedur pembedahan
- Sensasi terbakar atau gatal berhampiran tempat pembedahan
- Rasa kebas pada bahagian histerektomi atau kaki
Keadaan yang dialami biasanya akan beransur-ansur berkurangan dan akhirnya hilang apabila anda pulih sepenuhnya.
Kesimpulannya
Maka dapat disimpulkan di sini bahawasanya tidak ada kaitan antara penurunan berat badan dengan kesan buang rahim.
Jika berat badan anda menurun selepas pembedahan histerektomi, ia mungkin disebabkan punca yang tidak berkaitan prosedur tersebut.
Sebaiknya, lakukan rundingan dan pemeriksaan doktor jika berat anda semakin berkurangan kerana dibimbangi ada masalah kesihatan lain yang mungkin menyebabkan keadaan itu.