Siapa yang tidak mahukan senyuman yang menawan? Kini, semuanya boleh menjadi kenyataan jika anda sanggup melakukan prosedur kosmetik gigi untuk membetulkan masalah gigi yang anda alami.
Walaupun kebanyakan prosedur ini hanyalah untuk tujuan kosmetik semata-mata, namun ia juga boleh bertindak sebagai langkah pemulihan bagi mereka yang mempunyai masalah dengan gigi mereka.
Sebenarnya, prosedur kosmetik pada kawasan gigi bukanlah terhad kepada pemakaian pendakap gigi sahaja. Ada banyak lagi kosmetik pergigian yang mungkin anda tidak tahu.
Mari ketahui prosedur yang paling kerap dijalankan dan bagaimana ia dapat membantu anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mulut, sila dapatkan di sini.
Pendakap gigi
Pendakap gigi untuk tujuan kosmetik
Pemakaian pendakap gigi merupakan rawatan yang dilakukan untuk meluruskan atau menggerakkan gigi. Rawatan ini juga mampu mencantikkan susunan gigi dan membetulkan fungsinya.
Selain itu, pendakap gigi juga boleh membantu anda untuk mempunyai gigi dan gusi yang lebih sihat.
Gigi akan digerakkan secara perlahan-lahan ke arah yang sepatutnya menggunakan pendakap gigi.
Lama-kelamaan, tulang pada kawasan rahang akan berubah untuk membolehkan pergerakan gigi dan akarnya.
Siapa yang memerlukan pendakap gigi?
Individu yang memakai pendakap gigi selalunya mempunyai masalah:
- Gigi yang senget.
- Terlalu banyak jarak atau tidak ada jarak di antara gigi.
- Masalah overjet, overbite atau underbite.
- Tidak yakin dengan senyuman masing-masing.
Pemakaian pendakap gigi mungkin makan masa berbulan-bulan hinggalah 2 ½ tahun.
Selalunya, sebarang masalah gigi yang pesakit alami akan dapat dirawat dalam masa 1 atau 2 tahun.
Venier (Veneer)
Kosmetik pergigian menggunakan venier
Venier merupakan sejenis ‘penutup’ yang nipis yang diperbuat khas daripada seramik gred perubatan. Penutup ini akan diletakkan di atas gigi semula jadi dan nampak amat realistik.
Juga dikenali dengan nama ‘Hollywood teeth’, venier merupakan sejenis prosedur kosmetik yang boleh menelan belanja ribuan ringgit.
Siapa yang memilih untuk menggunakan venier?
Pemakaian venier amat berguna untuk mereka yang tidak boleh melakukan rawatan lain seperti pendakap gigi dan sebagainya.
Malah, venier juga merupakan solusi yang bersifat kekal dan tahan lama.
Venier selalunya digunakan untuk merawat masalah:
- Penyahwarnaan gigi.
- Gigi pecah atau sumbing.
- Gigi reput.
- Gigi senget.
- Ruang di antara gigi.
Pemutihan gigi
Pemutihan gigi untuk tujuan kosmetik
Lama-kelamaan, warna gigi boleh berubah disebabkan beberapa perkara. Sebagai contoh, pengambilan makanan dan minuman boleh meninggalkan kesan pada permukaan gigi.
Selain itu, amalan merokok, umur dan pengambilan ubat-ubatan tertentu juga boleh menyebabkan gigi bertukar warna.
Proses pemutihan gigi merupakan satu prosedur yang mudah dan cepat. Ia boleh diselesaikan dalam masa 1 hari.
Doktor gigi akan membuang sebarang plak, tar dan sebagainya daripada permukaan gigi.
Kemudian, gigi akan diputihkan menggunakan sejenis peluntur yang akan membuatkan gigi lebih putih daripada sebelumnya.
Siapa yang perlu melakukan pemutihan gigi?
Prosedur ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang ingin memutihkan gigi. Walau bagaimanapun, ia mungkin tidak berkesan kepada semua orang.
Sebagai contoh, mereka yang mempunyai gigi yang kekuningan mungkin dapat melakukan prosedur ini dengan baik. Namun, gigi yang berwarna coklat atau kelabu sukar untuk melalui proses penyahwarnaan.
Selain itu, mereka yang melakukan prosedur ini mungkin akan mengalami gigi sensitif. Perkara ini berlaku apabila peroksida di dalam peluntur yang digunakan menyebabkan iritasi pada kawasan saraf gigi.
Walau bagaimanapun, sensitiviti ini bersifat sementara dan akan kembali pulih dalam masa beberapa minggu.
Invisalign
Kosmetik pergigian baharu menggunakan invisalign
Invisalign merupakan alternatif kepada pendakap gigi tradisional. Walau bagaimanapun, pendakap gigi tak nampak ini mempunyai kos yang jauh lebih tinggi.
Invisalign mempunyai beberapa kelebihan seperti lebih mudah dikeluarkan ketika makan, tidak memerlukan lawatan ke klinik dengan kerap dan bersifat lutsinar.
Namun, jika ia hilang atau pecah, lebih banyak kos yang anda perlu keluarkan untuk rawatan.
Selain kosnya yang tinggi, invisalign juga perlu dipakai selama 22 jam sehari.
Oleh sebab itu, sebelum anda mengambil keputusan untuk membuat invisalign, pastikan anda berhubung dengan doktor terlebih dahulu.
Pertimbangkan juga mengenai kos tambahan yang perlu anda bayar serta alternatif lain yang ada.
Implan
Kosmetik pergigian menggunakan implan
Implan gigi digunakan untuk menggantikan gigi yang hilang atau rosak. Doktor gigi akan memasukkan skru titanium yang kecil ke dalam rahang sebagai sokongan kepada silara gigi.
Implan ini juga nampak semula jadi dan sukar untuk dibezakan dengan gigi lain.
Apabila tulang dan tisu mulai bergabung dengan implan tersebut, ia akan berada kekal di tempatnya untuk satu jangka masa yang panjang.
Mengapa perlu lakukan implan?
Implan mungkin sesuai untuk anda jika:
- Anda mempunyai satu atau lebih gigi yang hilang.
- Mempunyai tulang rahang yang telah membesar sepenuhnya.
- Mempunyai kawasan tulang yang cukup.
- Mempunyai tisu mulut yang sihat.
- Tidak menghisap rokok.
Setiap pembedahan mempunyai risikonya yang tersendiri seperti jangkitan, kerosakan saraf ataupun masalah sinus.
Walau bagaimanapun, sebarang masalah mengenai pemasangan implan amat jarang berlaku.
Jika anda perhatikan sekeliling, prosedur kosmetik pergigian merupakan sesuatu yang semakin mendapat perhatian ramai. Malah, ramai yang anggap prosedur ini sebagai satu pelaburan yang berbaloi.
Oleh sebab itu, pastikan anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu mengenai prosedur kosmetik gigi yang paling sesuai untuk anda.
Tidak kisahlah anda memilih untuk memakai pendakap gigi, venier ataupun invisalign, semua prosedur ini dapat membuatkan anda senyum dengan lebih yakin!
[embed-health-tool-bmi]