#1. Kutip gigi yang telah tercabut
Bukan untuk dibuat kenangan sebaliknya anda perlu kutip gigi yang telah tercabut itu jika ia terjatuh di kawasan berhampiran.
Namun penting untuk anda tahu agar memegang gigi tersebut pada hujungnya dan bukan akarnya untuk mengelakkan ia rosak.
Setelah itu, sila periksa sama ada ia masih lagi berada pada kondisi yang baik dan simpan ia di dalam telapak tangan anda.
#2. Cuci gigi dengan air jika kotor
Normal untuk gigi yang tercabut menangkap kekotoran terutamanya jika ia jatuh di kawasan yang kotor seperti jalan raya.
Oleh itu, anda perlu bertindak segera dengan mencucinya menggunakan air bersih dan elakkan sabun atau sebarang bahan kimia.
Selain itu, anda juga diingatkan untuk tidak menggosok atau membalut gigi tersebut menggunakan kain, fabrik atau tisu.

#3. Pasang kembali pada soketnya
Selepas kutip dan cuci gigi kekal tercabut, anda perlu cuba untuk memasangnya kembali pada soketnya (kawasan gusi gigi terbabit).
Caranya adalah dengan memegang hujung gigi tersebut dan dengan perlahan memasukkannya kembali ke dalam soket atau di atas soket.
Kemudian, pastikan ia kekal berada di situ dengan sentiasa menutup mulut dan menyokong kedudukannya dengan jari atau tangan anda.
#4. Pastikan gigi kekal lembap
Untuk pengetahuan anda, gigi anda masih berpeluang untuk dipasang kembali jika ia kekal berada dalam keadaan yang lembap.
Jika ia tidak mampu diletakkan kembali pada soketnya, anda boleh simpan ia di dalam mulut pada kawasan sebelah pipi.
Sebagai alternatif, anda juga boleh menyimpan ia sementara di dalam susu atau tempat penyimpan gigi kecemasan.
#5. Berjumpa dengan doktor gigi
Akhir sekali, anda perlu datang membawa gigi tersebut berjumpa dengan doktor gigi untuk memasangnya kembali pada soket.
Namun, adalah dinasihatkan untuk anda melakukan langkah ini sebelum tempoh waktu 30 minit untuk menyelamatkan gigi kekal anda.
Sekiranya tidak sempat, anda masih berpeluang walaupun ia berada di luar kawasan mulut lebih dari sejam andai bernasib baik.

Jika tidak, ini yang akan terjadi pada gigi!
Hakikatnya, sudah pasti wujud sebab di sebalik tempoh 30 minit dan 5 langkah menyelamatkan gigi kekal ini diperkenalkan.
Ia tidak wajar dipandang enteng dengan berfikiran bahawa anda boleh sewenang-wenangnya menggantikan ia dengan gigi palsu.
Ini kerana gigi kekal tercabut yang tidak diselamatkan dengan cara yang betul akan membuat ia rosak dan tidak lagi boleh dipasang serta berfungsi.
Selain itu, ia juga akan membawa kepada pelbagai lagi kesan sampingan yang lain termasuklah:
- Merosakkan imej diri
- Menjejaskan kesejajaran gigi yang tinggal
- Menjejaskan kekuatan & kesihatan gigi lain
- Melemahkan kemampuan untuk mengunyah makanan
- Menjatuhkan semangat untuk bercakap
Oleh itu, segeralah bertindak jika gigi kekal tercabut dengan mengamalkan 5 langkah ini dalam tempoh masa 30 minit.
Jika terlambat, anda juga masih boleh cuba membawa gigi tersebut berjumpa doktor gigi untuk berkonsultasi.
Akhir kata, selamatkanlah gigi anda dalam usaha mengekalkan senyuman terindah!