backup og meta

Eh, Mana Satu Ye Gigi Kacip? Jom Kenali Gigi Kacip Dan Ketahui Fungsinya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 29/09/2021

    Eh, Mana Satu Ye Gigi Kacip? Jom Kenali Gigi Kacip Dan Ketahui Fungsinya!

    Setiap kali anda tersenyum di hadapan cermin, pasti anda akan memerhatikan gigi anda yang tersusun cantik. Anda sedar tak, setiap batang gigi yang menghiasi senyuman anda mempunyai fungsi yang tersendiri, termasuklah gigi kacip anda.

    Tapi, yang mana satu gigi kacip ya?

    Gigi kacip merupakan gigi yang berada di bahagian depan. Bilangan gigi kacip selalunya 8 batang – 4 di bahagian atas dan 4 lagi di bahagian bawah.

    Gigi kacip juga adalah antara gigi susu yang pertama untuk tercabut dan bertukar menjadi gigi kekal.

    Disebabkan posisi mereka, gigi kacip merupakan gigi yang paling banyak dilihat oleh orang lain dan merupakan bintang utama dalam senyuman anda.

    Fungsi gigi kacip

    fungsi gigi kacip

    Fungsi utama gigi kacip adalah memotong makanan. Di dalam bahasa latin, perkataan asal gigi kacip ialah incidere yang bermaksud untuk memotong. Gigi kacip mempunyai 1 akar dan bahagian bawah yang tajam dan menirus.

    Gigi kacip pula terbahagi kepada dua jenis – gigi kacip tengah dan gigi kacip sisi. Malah, saiz gigi kacip juga berbeza mengikut posisi mereka.

    Gigi yang berada di bahagian tengah selalunya lebih besar. Manakala gigi kacip di bahagian bawah pula lebih pendek dan kecil saiznya.

    Selain menggigit makanan, gigi kacip juga mempunyai fungsi yang lain. Sebagai contoh, ia juga:

  • Bertindak menyokong bibir anda. Gigi kaciplah yang memberikan bibir anda bentuk seperti sekarang.
  • Membantu anda menyebut huruf tertentu seperti ‘t’ dan ‘th’ tanpa sebarang masalah.
  • Membantu meletakkan rahang pada tempatnya yang betul ketika menutup mulut.
  • Bilakah gigi kacip akan mula keluar?

    fungsi gigi kacip

    Selalunya, gigi kacip tengah merupakan gigi pertama bayi. Kemudian, gigi kacip tengah bahagian bawah pula akan muncul apabila bayi menginjak usia 6 hingga 10 bulan.

    Gigi kacip sisi bahagian atas pula akan muncul apabila bayi berumur 8 hingga 12 bulan.

    Gigi kacip juga merupakan gigi kanak-kanak yang pertama akan tercabut. Ibu bapa boleh berjaga-jaga ketika anak berumur 6 atau 7 tahun.  

    Selain itu, gigi kacip akan bertukar menjadi gigi kekal apabila anak anda berumur 7 atau 8 tahun ke atas.

    Selalunya, gigi susu milik kanak-kanak perempuan akan mula tercabut lebih awal berbanding kanak-kanak lelaki.

    Sebagai panduan, kanak-kanak selalunya akan kehilangan 4 batang gigi setiap 6 bulan. Selain itu, gigi susu selalunya mempunyai warna yang lebih putih berbanding gigi kekal.

    Menjaga gigi kacip dengan betul

    Penjagaan gigi kacip yang betul sama dengan penjagaan gigi secara am. Selepas makan, bakteria akan makan gula yang tertinggal pada kawasan gigi dan menguraikannya kepada asid.

    Asid ini boleh merosakkan enamel pada gigi dan menyebabkan pembentukan lubang yang dikenali sebagai kaviti.

    Penjagaan gigi yang betul juga boleh mengelakkan pembentukan plak yang boleh menyebabkan gingivitis, sejenis penyakit yang membuatkan gusi menjadi merah, bengkak dan sakit.

    Untuk melindungi gigi kacip, anda haruslah melakukan penjagaan oral secara rutin.

    Disebabkan gigi kacip terletak di bahagian hadapan mulut, sebarang perubahan warna dan kerosakan dapat dilihat dengan jelas.

    Oleh sebab itu, gigi kacip perlulah dijaga sejak bayi lagi untuk memastikan anak anda mendapat gigi yang cantik.

    Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, anda haruslah memberus gigi kacip bayi dua kali sehari untuk mengelakkannya daripada rosak.

    Jangan lupa berus gigi dua kali sehari!

    fungsi gigi kacip

    Orang dewasa pula perlulah memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Jika anda suka memberus gigi selepas makan, pastikan anda tunggu selama 30 minit sebelum memberus.

    Enamel yang berada pada permukaan gigi boleh menjadi lembut ketika makan. Oleh sebab itu, anda perlulah menunggu sekurang-kurangnya 30 minit untuk memastikan enamel tersebut keras semula.

    Selain itu, lakukan amalan flossing untuk mengelakkan sebarang pembentukan bakteria atau plak di bahagian gigi yang tersembunyi.

    Bakteria yang bersembunyi di bawah plak boleh menyebabkan gigi menjadi reput dan meningkatkan risiko anda untuk menghidap penyakit gusi.

    Plak yang terlalu lama terbiar pada permukaan gigi pula boleh bertukar menjadi tartar. Tartar terbentuk apabila bakteria di dalam mulut bercampur dengan protein dan partikel makanan lain di dalam mulut.

    Tartar tidak boleh dibuang sendiri tanpa bantuan doktor gigi. 

    Malah, jika ia dibiarkan begitu sahaja, ia boleh menyebabkan gingivitis, atau lebih serius lagi, periodontitis yang boleh menyebabkan gigi menjadi longgar, sakit ketika mengunyah dan nafas yang berbau busuk.

    Kesimpulan

    Gigi kacip merupakan bahagian hadapan gigi yang selalu kita tunjuk kepada orang ramai. Selain menjadi ‘star’ kepada senyuman anda, gigi kacip juga mempunyai pelbagai fungsinya yang tersendiri.

    Sama seperti gigi lain, penjagaan gigi kacip juga sama. Pastikan anda memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Selain itu, amalkan juga tabiat flossing setiap hari untuk mengelakkan pembentukan plak.

    Jika anda mempunyai masalah dengan gigi anda, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar segera.

    Malah, jika anda rasa rendah diri dengan gigi kacip anda, berbincanglah dengan doktor mengenai prosedur yang boleh dilakukan untuk memberikan gigi yang cantik. 

    Penulis tahu, ramai yang rasa takut dengan doktor gigi. Jangan rasa begitu! Doktor gigi juga manusia sama seperti kita. Malah, mereka juga ingin membantu anda menyelesaikan semua masalah yang berkaitan dengan gigi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 29/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan