Pernahkah anda dengar mengenai xylitol? Selalunya, xylitol terdapat di dalam produk penjagaan kesihatan mulut seperti ubat gigi dan juga makanan seperti gula-gula pudina dan gula-gula getah. Malah, amalan memberus gigi juga tidak lengkap rasanya tanpa ubat gigi yang mempunyai bahan ini.
Namun, tahukah anda apakah maksud sebenar xylitol? Xylitol merupakan sejenis gula alkohol.
Walaupun ia sejenis gula, xylitol merupakan sejenis pemanis yang tidak akan menyebabkan gigi mereput dan mengandungi 40% kalori yang lebih rendah daripada gula!
Selain itu, xylitol juga merupakan sejenis bahan yang boleh dijumpai secara semula jadi di dalam pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran dan cendawan.
Walau bagaimanapun, xylitol selalunya diekstrak daripada sejenis cecair yang dijumpai di bawah pohon Birch.
Dijumpai pada akhir abad ke-19, penggunaan xylitol tidak meluas hinggalah pada tahun 1970.
Xylitol menjadi popular di Eropah disebabkan kekurangan gula semasa perang dunia kedua. Namun, potensi sebenarnya dalam kesihatan oral ditemui oleh penyelidik di Turku University di Finland.
Memberus gigi menggunakan xylitol menghalang pembentukan kaviti
Semua orang sudah biasa mendengar mengenai xylitol di dalam ubat gigi masing-masing. Walau bagaimanapun, bukan semua orang tahu cara sebenar bahan ini berfungsi untuk menghalang pembentukan kaviti.
Xylitol di dalam ubat gigi bertindak menghalang pembentukan bakteria yang menyebabkan kaviti.
Bakteria yang menyebabkan masalah pada kawasan gigi ini dikenali dengan nama Streptococcus mutans. S. mutans merupakan penyebab utama gigi mereput dan enamel menjadi rosak.
Untuk pengetahuan anda, gula yang kita makan setiap hari merupakan sumber makanan untuk bakteria ini.
Apabila S. mutans makan gula di kawasan gigi, ia akan menyebabkan proses fermentasi berlaku. Proses ini akan menghasilkan asid laktik yang boleh merosakkan enamel gigi dan menyebabkan kaviti.
Walau bagaimanapun, tidak seperti gula biasa, xylitol merupakan sejenis gula alkohol yang tidak melalui proses fermentasi. Oleh sebab itu, S. mutans tidak boleh memproses gula ini untuk membesar.
Lama-kelamaan, jumlah bakteria S. mutans di dalam mulut akan semakin berkurangan.
Plak juga tidak akan terbentuk sebanyak dahulu dan tahap keasidan mulut juga akan berkurang.
Menurut sebuah kajian daripada Oral Health and Preventive Dentistry pada tahun 2008, ubat gigi yang mengandungi xylitol mampu melawan bakteria yang menyebabkan kaviti dengan cara menghalang pembentukan asid.
Ubat gigi xylitol atau florida?
Ubat gigi yang mengandungi kombinasi xylitol dan florida amat efektif untuk memastikan mulut sentiasa sihat.
Memberus menggunakan ubat gigi yang mengandungi xylitol dapat membantu melindungi gigi daripada sebarang kerosakan manakala florida pula memperbaiki kerosakan yang berlaku pada permukaan gigi.
Menurut Dr. David Okano dari University of Utah School of Dentistry, jangan tertipu dengan ubat gigi semula jadi yang tidak mengandungi sebarang xylitol atau florida.
Ubat gigi yang tidak mengandungi kedua-dua bahan ini tidak dapat menghalang sebarang kerosakan gigi yang bakal berlaku.
Selain daripada nafas yang lebih segar, ubat gigi yang dijual di atas nama ‘semula jadi’ dan ‘tidak mempunyai sebarang bahan kimia’ ini tidak dapat memberikan apa-apa kebaikan terhadap kesihatan mulut anda.
Seperti yang telah dijelaskan sebentar tadi, xylitol berfungsi menghalang bakteria daripada merosakkan gigi.
Florida pula bertindak menguatkan enamel (lapisan perlindungan di sekeliling gigi anda). Sebab itulah kita memerlukan ubat gigi yang mengandungi kedua-dua xylitol dan florida.
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan selama bertahun-tahun, penggunaan ubat gigi yang mengandungi florida dan xylitol dapat melindungi gigi dan memperbaiki kesihatan mulut.
Walau bagaimanapun, pastikan anda memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk mendapatkan senyuman yang paling sihat! Tapi, pastikan anda memberus gigi dengan betul! Ikut tip kami di bawah:
Halang pembentukan kaviti pada gigi, guna produk mengandungi xylitol
Xylitol bukan sahaja boleh didapati di dalam ubat gigi, ia juga boleh dijumpai di dalam gula-gula getah dan gula-gula berpudina.
Jika anda ingin membeli manisan yang mengandungi xylitol, anda perlulah membaca senarai bahan yang dicetak di bahagian belakang pembungkus makanan.
Secara amnya, jika xylitol yang terkandung di dalam makanan tersebut bertujuan untuk melindungi mulut anda, ia haruslah disenaraikan sebagai bahan yang pertama.
Penggemar gula-gula xylitol boleh mengambilnya sebanyak 3-5 kali sehari. Jumlah sebanyak 5 gram sudah memadai kerana pengambilan xylitol yang berlebihan boleh menyebabkan anda cirit-birit.
Selain itu, xylitol juga telah disahkan selamat oleh agensi-agensi besar di seluruh dunia seperti WHO dan FDA.
Oleh sebab itu, tidak ada alasan untuk anda tidak memilih ubat gigi yang mengandungi xylitol atas alasan ia tidak selamat untuk dimakan.
Kesimpulan
Jelaslah penggunaan ubat gigi xylitol amat penting untuk memastikan kesihatan mulut kekal terjaga.
Walau bagaimanapun, penjagaan gigi perlulah dilakukan seumur hidup. Oleh sebab itu, jangan sesekali lupa untuk memberus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Kemudian, pastikan anda melakukan flos gigi!
Jika boleh, berjumpalah dengan doktor gigi sekurang-kurangnya 2 kali setahun untuk memastikan gigi anda sentiasa sihat. Lagipun, bukankah kita akan gunakannya sepanjang hayat?
[embed-health-tool-bmi]