backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Bagaimana Penjagaan Mulut Yang Buruk Boleh Mempengaruhi Kesihatan Anda?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 27/12/2022

Bagaimana Penjagaan Mulut Yang Buruk Boleh Mempengaruhi Kesihatan Anda?

Apabila menyebut berkenaan penjagaan mulut yang buruk, perkara yang hanya timbul di fikiran kita hanyalah kesihatan mulut dan gigi sahaja. Mana mungkin ia berkaitan dengan anggota tubuh badan yang lain.

Namun, apa yang anda fikirkan ternyata tidak tepat. Ia sememangnya berkait dengan fungsi tubuh yang lain. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mulut, sila dapatkan di sini.

Benarkah penjagaan mulut yang buruk beri kesan kepada anggota tubuh yang lain?

Mulut manusia dipenuhi dengan pelbagai bakteria, namun kesemua bakteria ini tidak berbahaya.

Walau bagaimanapun, jika anda mengabaikan kesihatan mulut anda, bakteria ini akan semakin banyak lalu menyebabkan beberapa jangkitan pada mulut.

Antara jangkitan yang boleh berlaku adalah seperti penyakit gusi dan juga pereputan gigi.

Penyakit-penyakit ini pula boleh menyebabkan beberapa kesan buruk terhadap keadaan kesihatan lain seperti diabetes dan penyakit berkaitan jantung.

Kesan pengabaian penjagaan mulut dan gigi terhadap kesihatan

Kesihatan mulut yang buruk sememangnya boleh menjejaskan bahagian tubuh badan anda yang lain. Antara penyakit-penyakit yang boleh muncul akibat tidak menjaga kesihatan gigi adalah:

Endokarditis

penjagaan mulut buruk

Apabila bakteria dari mulut anda memasuki aliran darah dan tiba di kawasan tertentu pada jantung anda, lapisan dalam jantung atau injap anda akan dijangkiti.

Keadaan ini dikenali sebagai endokarditis. Perkara ini boleh berlaku khususnya bagi mereka yang mengalami kecacatan jantung kongenital, injap jantung yang rosak/ buatan, atau kecacatan jantung yang lain.

Penyakit kardiovaskular

Beberapa kajian menunjukkan bahawa bakteria mulut sebenarnya boleh menyebabkan penyakit jantung, strok, dan penyumbatan arteri.

Sekiranya bakteria dari gusi menjangkiti aliran darah, plak mungkin terbentuk pada arteri dan mengeras.

Ini adalah satu keadaan yang berbahaya dan boleh menyebabkan penyumbatan jantung serta masalah aliran darah.

Keadaan ini juga boleh meningkatkan risiko untuk terkena serangan jantung, darah tinggi, dan juga strok.

Pneumonia dan jangkitan pernafasan lain

Apabila bakteria dari mulut anda masuk ke bahagian paru-paru, akan berlaku penyakit radang paru-paru dan penyakit pernafasan lain.

Antara penyakit pernafasan lain yang berisiko untuk berlaku adalah seperti bronkitis akut, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), dan penyakit paru-paru radang kronik yang boleh menghalang aliran udara dari paru-paru.

Kanser

penjagaan mulut buruk

Penjagaan mulut yang buruk juga melibatkan tabiat merokok dan penggunaan produk tembakau.

Tabiat seperti ini boleh menyebabkan beberapa kanser seperti kanser mulut dan tekak.

Bukan itu sahaja, penyakit gusi juga dikaitkan dengan beberapa jenis kanser lain seperti pankreas, ginjal, dan kanser darah.

Penyakit buah pinggang

Jangkitan pada gusi seperti penyakit periodontal boleh menyebabkan penyakit buah pinggang.

Oleh sebab penghidap penyakit gusi sering mempunyai sistem imun yang lemah, mereka lebih berisiko untuk alami penyakit buah pinggang.

Ini boleh menyebabkan penyakit yang lebih serius, seperti kegagalan buah pinggang dan penyakit kardiovaskular.

Diabetes

Menurut beberapa pakar perubatan, mereka yang menderita penyakit gusi lebih sukar untuk mengawal dan menguruskan paras gula darah mereka.

Kesannya, ia boleh menyebabkan diabetes. Selain itu, mereka yang menghidap diabetes juga lebih mudah untuk diserang penyakit gusi.

Artritis reumatoid

Artritis reumatoid juga boleh menjadi salah satu kesan penjagaan mulut yang buruk terhadap kesihatan.

Menurut National Rheumatoid Arthritis Society, mereka yang menderita penyakit gusi juga cenderung untuk mengalami keadaan ini.

Kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu keradangan mulut dari gingivitis yang boleh meningkatkan keradangan pada seluruh badan.

Ini kemudiannya akan meningkatkan risiko terkena artritis reumatoid, iaitu penyakit radang yang melemahkan dan menyakitkan.

Keadaan lain yang boleh berlaku akibat penjagaan mulut yang buruk

Selain itu, terdapat juga beberapa keadaan lain yang boleh berpunca akibat daripada kesihatan mulut dan gigi yang buruk. Antara penyakit tersebut ialah:

Osteoporosis

penjagaan mulut buruk

Kehilangan gigi dan kehilangan tulang periodontal sering dikaitkan dengan masalah osteoporosis. Osteoporosis adalah sejenis penyakit di mana kualiti tulang menjadi semakin buruk seperti pereputan tulang.

Penyakit Alzheimer

Penjagaan mulut yang buruk juga boleh mempengaruhi otak anda.

Bahan-bahan dari gusi yang meradang boleh membunuh sel-sel otak dan juga menyumbang kepada kehilangan ingatan.

Apabila bakteria dari mulut memasuki aliran darah, gingivitis juga boleh menyebabkan penyakit Alzheimer dan demensia.

Individu yang mempunyai kebersihan mulut yang teruk atau penyakit gusi mungkin berisiko tinggi untuk mendapat penyakit Alzheimer berbanding mereka yang mempunyai gigi dan gusi yang sihat.

HIV dan juga AIDS

Salah satu gejala yang sering dikaitkan dengan HIV dan AIDS adalah masalah pada mulut.

Masalah kerosakan gigi dan gusi yang kerap mungkin merupakan tanda seseorang itu mengalami HIV atau AIDS.

Jadi, adalah sangat penting untuk mengetahui bahawa penjagaan mulut yang buruk boleh merisikokan pesakit HIV untuk mendapat jangkitan.

Ketidaksuburan

Kajian telah menunjukkan bahawa, salah satu kesan penjagaan mulut yang buruk terhadap kesihatan adalah masalah ketidaksuburan pada wanita.

Kajian telah membuktikan bahawa wanita yang mempunyai masalah kesihatan mulut akan lebih sukar untuk hamil berbanding wanita yang mempunyai gigi dan gusi yang sihat.

Mati pucuk

Kebersihan mulut yang buruk juga boleh menyebabkan peningkatan risiko disfungsi ereksi atau mati pucuk pada lelaki.

Penyakit periodontal kronik (CPD) adalah jangkitan yang berlaku apabila terdapat keradangan pada tisu gusi.

Ia boleh mengakibatkan kehilangan gigi jika tidak dirawat.

Selain itu, bakteria daripada jangkitan ini juga boleh memasuki aliran darah, menyekat aliran darah ke alat kelamin, dan membuatkan ereksi menjadi lebih sukar.

Kesimpulan

Keadaan-keadaan yang dinyatakan seperti di atas ini adalah antara masalah yang boleh berlaku disebabkan kesihatan mulut yang tidak dijaga dengan baik.

Oleh itu, pastikan penjagaan mulut dan gigi anda baik untuk elakkan risiko penyakit-penyakit tersebut. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 27/12/2022

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan