Sama seperti air garam, bunga cengkih juga mempunyai ciri antimikrobial yang dapat membantu menentang masalah bau mulut.
Jika anda mempunyai masalah bau mulut yang busuk, cuba hisap bunga cengkih beberapa kali sehari. Tetapi, jangan pula gunakan serbuk cengkih untuk tujuan ini!
Serbuk cengkih mempunyai konsentrasi yang lebih pekat dan boleh menyebabkan mulut anda jadi pedih dan sakit.
3.Jangan lupa, cuci bahagian lidah sekali!
Kadangkala, kita jadi terlalu taksub memberus gigi hingga kita lupa untuk memberikan tumpuan kepada tempat yang sepatutnya iaitu lidah kita.
Jika anda mempunyai masalah nafas berbau, cuba berikan perhatian lebih kepada kawasan lidah anda.
Apabila bakteria mula melakukan ‘tugasnya’ ke atas saki baki makanan yang terdapat di celahan gigi, mereka akan mula merembeskan sejenis bahan yang boleh menyebabkan halitosis.
Halitosis merupakan masalah bau mulut yang tidak dapat diselesaikan dengan pencuci mulut ataupun gula-gula pudina. Malah, memberus gigi berkali-kali seharipun mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah ini.
Oleh sebab itu, mereka yang mempunyai masalah bau mulut yang kronik perlu berjumpa doktor untuk rawatan lebih lanjut.
4.Elak nafas berbau, gunakan cecair kumur!

Baru lepas makan makanan yang mengandungi banyak bawang putih? Cara yang terpantas untuk memastikan mulut kekal segar adalah dengan menggunakan pencuci mulut.
Jika anda tidak pernah menggunakan cecair pencuci mulut, inilah masanya untuk memasukkannya ke dalam rutin penjagaan gigi anda. Dengan saiznya yang mini dan harganya yang berpatutan, produk ini boleh dibawa ke mana-mana sahaja dengan mudah.
Ia bukan sahaja membantu anda mengelakkan pembentukan plak dan gingivitis, pencuci mulut juga memastikan bau mulut anda sentiasa wangi, tidak kiralah apa yang anda makan sebentar tadi.
5.Jangan lupa makan sayur dan buah
Selain menggunakan pencuci mulut berflorida, anda juga boleh mengambil snek ringan yang terdiri daripada sayur-sayuran dan buah-buahan untuk menyegarkan nafas anda.
Snek sebegini juga berfungsi seakan-akan berus gigi semula jadi dan dapat menyembunyikan bau tidak enak daripada makanan yang anda makan sebelumnya.
6.Nafas berbau hilang jika anda minum air secukupnya
Cuba tanya diri anda, adakah anda minum air dengan mencukupi? Apabila mulut anda tidak dapat menghasilkan air liur, bakteria yang menyebabkan bau mulut akan terhasil.
Mulut yang kering boleh juga berlaku disebabkan faktor lain seperti kesan sampingan ubat-ubatan dan penyakit tertentu.
Malah, bau mulut yang busuk juga boleh berlaku setelah anda bangun tidur atau selepas melakukan senaman yang intensif.
Oleh sebab itu, jangan lupa minum air dengan mencukupi. Jika anda mempunyai telefon pintar, cuba muat turun aplikasi yang boleh mengingatkan anda untuk minum air secukupnya.
Kesimpulan

Jika masalah nafas berbau masih berkekalan walaupun anda telah mencuba semua tip di atas, ia mungkin berpunca daripada sesuatu yang lebih serius.
Oleh sebab itu, pastikan anda berjumpa dengan doktor gigi secepat mungkin untuk menentukan masalah sebenar bau mulut anda.
Masalah bau mulut selalunya boleh dielakkan dengan melakukan rutin penjagaan gigi. Anda boleh mulakan rutin ini dengan memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi berflorida.
Selain itu, pastikan anda lakukan amalan flossing dengan kerap dan minum air yang mencukupi. Tinggalkan amalan merokok dan kurangkan pengambilan kafein untuk pastikan nafas anda sentiasa harum dan segar.