backup og meta

Perasan Tak, Ada Banyak SALE Bermula Pada Waktu Tengah Malam, Inilah Sebabnya!

Perasan Tak, Ada Banyak SALE Bermula Pada Waktu Tengah Malam, Inilah Sebabnya!

Beli barang atau add to cart? Persoalan ini pasti sedang menghantui ramai individu, terutamanya kaum Hawa. Disebabkan kemajuan dalam bidang teknologi, semua benda kini berada di hujung jari. Begitu jugalah dengan butang ‘beli sekarang’ yang ada pada kebanyakan platform membeli-belah dalam talian.

Jika anda merupakan pengguna setia platform online ini, pasti anda tahu mengenai jualan murah yang sering diadakan selepas pukul 12 tengah malam.

Tetapi, pernahkah anda terfikir, mengapa mereka perlu lakukan jualan murah pada waktu tengah malam dan mengapa bukan pada waktu pagi atau petang?

Ramai buka aplikasi membeli-belah dalam talian sebelum tidur

 Membeli-belah dalam talian

Mungkin ramai yang sangka aktiviti ‘window shopping’ yang mereka lakukan sebelum tidur ini merupakan sesuatu yang tidak membawa sebarang mudarat.

Betul lah kan, apa agaknya yang akan terjadi jika kita tengok-tengok barang online sekejap sebelum tidur?

Tahukah anda, ada peningkatan yang ketara dalam jumlah pembeli yang gemar shopping online pada waktu tengah malam hingga 6 pagi?

Malah, menurut data yang sama, bilangan pembelian pada waktu tengah malam telah meningkat sebanyak 23% berbanding pada tahun 2017.

Kini, 1 daripada 15 pembelian di platform beli-belah atas talian dilakukan selepas pukul 12 tengah malam.

Malah, wanita merupakan penyumbang utama dalam aktiviti shopping tengah malam. Hampir 66% pembelian dilakukan oleh kaum Hawa.

Tetapi, ia bukanlah satu-satunya kajian yang menunjukkan trend yang luar biasa ini. Sebuah kajian yang dilakukan oleh Barclaycard pula mendapati ramai pembeli yang bertindak menekan butang ‘beli sekarang’ pada pukul 10.18 malam.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah banyak jualan murah dilakukan pada pukul 12 tengah malam!

Saya cuma beli barang online je, takkan itu pun salah?

Sebenarnya, tidak salah jika anda suka shopping online. Tetapi, adakah anda sedar impaknya terhadap pola tidur jika kerap melakukan aktiviti yang sama setiap malam?

Persoalannya bukan pada bagaimana anda membeli-belah, tetapi lebih kepada BILA anda ingin membeli barang secara atas talian.

Tahukah anda, aktiviti scrolling pada waktu malam mempunyai kesan yang negatif terhadap kesihatan anda? Tidur merupakan aktiviti yang amat penting untuk mental, fizikal dan emosi manusia.

Individu yang tidak cukup tidur sukar untuk fokus ketika melakukan tugasan setiap hari. Malah, mereka juga tidak dapat membuat keputusan yang tepat disebabkan jumlah tidur yang tidak mencukupi.

Malah, cahaya biru atau blue light yang dipancarkan oleh skrin telefon bimbit sebenarnya mengehadkan pengeluaran melatonin iaitu hormon yang mengawal kitaran tidur.

Jika anda mempunyai masalah tidur, online shopping pada waktu malam hanya akan membuatkan keadaan jadi makin teruk.

Oleh sebab itu, cuba kurangkan masa anda di hadapan skrin. Sebanyak manapun telefon bimbit anda ‘menggoda’, jangan sesekali buka telefon bimbit pada waktu tengah malam.

Bukan sahaja anda akan dapat tidur dengan lebih lena, malah simpanan anda juga tidak akan dibelanjakan untuk membeli barang-barang yang tidak diperlukan.

Lebih berisiko untuk banyak berbelanja semasa membeli-belah

 Membeli-belah dalam talian

Menurut tinjauan yang dilakukan oleh Eachnight terhadap 1,000 responden di Amerika syarikat, mereka mendapati pembelian pada waktu tengah malam juga akan menyebabkan ramai pelanggan berbelanja lebih.

Dapatan mereka juga menunjukkan ramai yang membuka platform beli-belah atas talian untuk membeli baju, kasut, barang kemas dan jam tangan hingga mencecah harga $165 (RM 668) semalam!

Tambah lagi, mereka mendapati golongan milenial lebih berisiko untuk berbelanja dan beli barang lebih berbanding gen X dan baby boomers.

Ada sebabnya mengapa ramai yang tiba-tiba akan berbelanja lebih apabila membeli-belah pada waktu malam. Apabila kita semakin penat, lebih mudah untuk kita ‘terperangkap’ dan membuat keputusan tanpa berfikir panjang.

Malah, ada juga yang sanggup berhutang dan melakukan pembelian menggunakan kad kredit ketika membeli-belah.

Oleh sebab itu, jika anda ingin melakukan pembelian yang besar, elakkan daripada melakukannya pada waktu tengah malam ya!

Kegembiraan serta-merta semasa beli barang

 Membeli-belah dalam talian

Ada satu bentuk ‘kegembiraan’ yang datang ketika kita membeli-belah secara atas talian. Malah, kegembiraan inilah yang akan membuatkan anda kembali membuka aplikasi online yang sama berkali-kali.

Kegembiraan yang turut dikenali dengan nama Instant gratification ini mungkin merupakan satu lagi punca yang mendorong ramai individu untuk membuka aplikasi shopping pada waktu malam.

Apabila badan sudah penat, otak kita akan menjadi mangsa mudah untuk semua aplikasi membeli-belah dalam talian ini.

Tidur yang tidak cukup akan membuatkan kita menginginkan sesuatu yang positif atau menggembirakan tanpa memikirkan kesan negatif yang bakal berlaku.

Oleh sebab itu, ramai individu yang bertindak beli barang kemas yang mahal serta baju yang berjenama pada waktu malam.

Ramai yang terpengaruh dengan kegembiraan serta-merta ini pada waktu malam, dan ramai juga yang bangun tidur dengan rasa menyesal!

Malah, jualan murah yang dilakukan pada waktu tengah malam juga bertujuan untuk mengeksploitasi pengguna ketika minda mereka berada di dalam keadaan yang paling mudah untuk dipengaruhi.

Cuba tanya diri anda, perlukah anda beli set pinggan-mangkuk berharga RM300 itu sekarang? Eh, tapi tengah sale, sekarang harganya RM200 sahaja!

Jangan lakukan pembelian secara semberono! Rasanya, di dalam almari ada lagi pinggan-mangkuk yang tidak pernah berusik…

Jangan membeli-belah pada waktu malam!

Memang menyeronokkan jika kita menghabiskan waktu malam dengan aktiviti window shopping secara maya.

Melihat barang-barang yang dijual boleh buatkan kita rasa gembira, lebih-lebih lagi jika ia dijual dengan harga yang murah.

Namun, sebelum beli barang, beringatlah ya! Jangan sesekali berbelanja lebih daripada kemampuan.

Pastikan anda membuat sebarang pembelian yang besar pada waktu siang supaya anda boleh melakukan pilihan dengan lebih bijak!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Retail Focus. 2020. Sleepy Online Shopping. June 30. Accessed January 18, 2021. https://www.retail-focus.co.uk/sleepy-online-shopping/.
  2. Stylist. n.d. Can’t sleep? Your late-night online shopping habit could be to blame. Accessed January 18, 2021. https://www.stylist.co.uk/health/sleep-insomnia-late-night-online-shopping-spending-cause/325894.
  3. Stylist. 2020. How to sleep: why your late-night online shopping habit could be to blame for your restless nights. Accessed January 18, 2021. https://www.stylist.co.uk/health/sleep/cant-sleep-reduce-screentime-before-bed/296361.
  4. The Sun. 2016. VAMPIRE ECONOMY Why 10pm is the peak time for online shopping and we are mostly buying clothes. October 27. Accessed January 18, 2021. https://www.thesun.co.uk/living/2055002/why-10pm-is-the-peak-time-for-online-shopping-and-we-are-mostly-buying-clothes/.

Versi Terbaru

29/04/2021

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Usah Pentingkan Diri! Ini Sebabnya JANGAN Beli Barang Yang Tak Perlu Semasa COVID-19 Melanda

Suka Simpan Barang Lama Yang Tak Berguna Hingga Penuh Rumah? Ini Tanda SAKIT MENTAL


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 29/04/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan