Kondisi ini akan menjadikan klitoris lebih besar dan tampak seperti zakar dan lubang faraj langsung tidak kelihatan. Ini adalah punca sebenar kejadian jantina khunsa.

Perbezaan ketara khunsa vs pondan
Pun begitu, pondan bukan khunsa seperti yang didakwa kebanyakan pihak!
Maksud khunsa adalah individu yang mempunyai dua alat sulit. Pondan atau mak nyah pula merujuk kepada individu yang mempunyai biologi lelaki tetapi mempunyai identiti wanita. Ia sebenarnya bukan satu gangguan pada fizikal sebaliknya gangguan pada mental yang sangat membimbangkan.
Sains semata-mata tidak mempunyai keupayaan untuk mendalami misteri kecelaruan jantina. Bagi golongan ini, penampilan dan perlakuan mereka yang tampak seperti wanita adalah tidak selari dengan kromosom, hormon atau struktur anatomi tubuh badan mereka.
Pendek kata, mereka tahu mereka adalah lelaki secara fizikal namun percaya mereka adalah wanita secara mental. Apa yang lebih menakutkan, mereka sanggup menukar jantina daripada lelaki menjadi perempuan secara total dengan melakukan pembedahan transeksual!
Bagaimana pembedahan transeksual dilakukan?
Ia adalah tidak semudah yang disangka. Terdapat 3 langkah yang perlu dijalani oleh mereka yang berniat untuk menjalani pembedahan ini, iaitu:
#1. Penilaian kesihatan mental
Pertama sekali, mereka akan dinilai melalui mental mereka dan pakar terapi akan menentukan sama ada mereka mengalami gender dysphoria atau kecelaruan jantina.
Selepas itu, pakar terapi akan menerangkan mengenai cara dan risiko pembedahan transeksual kepada mereka yang melakukannya.
#2. Terapi hormon
Sebelum melakukan pembedahan, doktor akan memberikan suntikan hormon bagi mengubah karakteristik tubuh badan seperti bulu, otot dan saiz payudara, bentuk alat kemaluan dan mungkin suara.
Namun, ia tidak akan mengubah sepenuhnya karakteristik jantina kelahiran. Pembedahan masih perlu dijalankan.
#3. Pembedahan
Menurut kajian, seramai 75% individu transgender tidak melakukan pembedahan ini. Ini ekoran kerana kosnya yang agak mahal serta risiko di kemudian hari.
Berikut adalah risiko atau komplikasi yang mungkin terjadi:
- Kematian tisu kulit pada alat kemaluan
- Gangguan pada salur dan pundi kencing yang seterusnya akan mengakibatkan kerosakan buah pinggang
- Fistula – sambungan tidak normal di antara 2 organ yang berbeza
Jadi, ia mempunyai risiko yang sangat menakutkan. Selain itu, ia juga adalah perbuatan yang melanggar syarak. Dari segi perubatan atau kerohanian, kedua-duanya akan mendatangkan akibat yang negatif.
Sekiranya ada individu anda kenali yang mempunyai kecelaruan jantina dan ingin melakukan pembedahan ini, ingatkan mereka bahawa ia tidak seharusnya dilakukan.
Apa yang lebih baik, bawa mereka berjumpa pakar psikologi dan pakar dalam agama untuk menyelesaikan masalah jiwa yang mereka alami.

Ia adalah masalah yang berkaitan dengan jiwa
Hakikatnya, di Malaysia sahaja memang ramai individu yang mungkin mengalami masalah berkaitan jiwa mereka sendiri. Lebih membimbangkan, kebanyakan mereka juga adalah daripada golongan selebriti yang mampu memberi impak besar kepada golongan masyarakat.
Antara nama yang sangat dikenali adalah dua usahawan kosmetik terkemuka Sajat dan Safiey Illias serta seorang anak muda yang merupakan influencer media sosial iaitu Faiz Roslan.
Pun begitu, tiada siapa yang tahu keadaan sebenar mereka ini. Oleh itu, kita sebagai netizen dan orang awam janganlah terlalu mudah menjatuhkan hukum kepada mereka ini.
Sebaiknya, apa kata kita menyelami jiwa mereka dan membawa mereka ke jalan yang benar? Bukankah kita juga mempunyai tanggungjawab untuk berdakwah ke atas mereka yang mungkin kurang arif mengenai agama?
Konklusi
Kesimpulannya, pondan bukan khunsa. Oleh itu, tiada sebarang alasan untuk individu yang mengalami kecelaruan jantina ini untuk berpakaian dan berkelakuan seperti jantina berbeza dengan jantina kelahiran mereka.
Pun begitu, anda juga perlu tahu bahawa ia adalah masalah yang berkenaan dengan jiwa mereka. Jadi, jangan menghukum golongan pondan atau mak nyah ini. Sebaiknya, bimbing mereka ke jalan yang benar.
Ya, tidak salah untuk menegur. Namun, jangan sampai mencaci dan menghina. Ketahuilah bahawa mereka juga adalah insan biasa yang mempunyai hati dan perasaan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.