backup og meta

Zakar Ungu, Apa Sebab Kondisi MEMBIMBANGKAN Ini Berlaku Kepada Lelaki?

Zakar Ungu, Apa Sebab Kondisi MEMBIMBANGKAN Ini Berlaku Kepada Lelaki?

Tidak dinafikan, batang zakar yang besar dan kuat adalah satu kebanggaan buat lelaki. Disebabkan itu, mereka sangat pantang apabila dipersoalkan mengenai saiz dan bentuk alat sulit mereka itu. Namun, kaum Adam seringkali mengabaikan aspek warna zakar mereka. Untuk pengetahuan anda, ada satu kondisi yang akan menyebabkan zakar lelaki berubah menjadi warna ungu. Menakutkan, bukan? Jom ikuti artikel untuk tahu lebih lanjut mengenainya!

Apakah itu batang zakar ungu?

Sebelum pergi lebih lanjut mengenai kondisi ini dengan mendalam lagi, wajar untuk kita tahu warna zakar lelaki yang normal terlebih dahulu. 

Buat anda yang tertanya-tanya, warna zakar yang normal adalah bergantung kepada warna kulit individu itu sendiri. Ini bermaksud tiada sebarang garis panduan yang menyatakan bahawa sebarang warna itu adalah normal atau tidak. Jadi, jangan terlalu risau, ya?

Tetapi, sekiranya batang zakar anda berubah warna dan tidak langsung melambangkan warna kulit anda, maka segera berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan. Lebih-lebih lagi, jika warna alat sulit anda berubah menjadi ungu!

Adakah batang zakar ungu normal?

Untuk pengetahuan anda, kondisi batang zakar ungu ini boleh berlaku kepada kebanyakan lelaki dewasa yang normal. Perubahan warna ini mungkin didasari oleh faktor peningkatan pengaliran darah di kelenjar atau saluran pada zakar, yang selalunya berlaku ketika lelaki mengalami rangsangan seksual. Jadi, ia mungkin satu perkara yang normal.

Selain itu, kondisi zakar ungu ini mungkin juga disebabkan oleh penyakit jangkitan kelamin atau sexually transmitted diseases (STD). Dalam kebanyakan kes, ia boleh dirawat.

Namun, adakah ia perkara yang normal berlaku kepada zakar lelaki? Jawapannya mungkin ya atau mungkin tidak. Ia sangat bergantung kepada sebab ia berlaku.

Apakah sebab batang zakar lelaki berubah menjadi ungu?

Untuk mengetahui sama ada kondisi zakar ungu ini adalah normal atau tidak, kita perlu tahu sebab ia berlaku terlebih dahulu. Berikut merupakan sebab-sebab zakar lelaki berubah warna menjadi ungu:

#1. Kondisi kulit

Untuk pengetahuan anda, kondisi kulit seperti ruam, kurap, kudis atau panau boleh berlaku di mana sahaja pada tubuh badan kita termasuklah pada alat kemaluan. Jadi, tidak hairanlah jika sebarang kondisi kulit mengakibatkan perubahan warna atau tekstur pada zakar.

Sebagai contoh, ada satu kondisi kulit bernama Lichen sclerosus yang kebiasaannya akan menyerang bahagian alat sulit. Kondisi ini akan mengakibatkan berlakunya tompokan berwarna putih pada kulit. Namun, ia akan berubah menjadi warna seakan ungu setelah kulit menjadi nipis akibat kondisi ini.

Kebiasaannya, kondisi ini akan berlaku dalam kalangan lelaki yang tidak bersunat. Kesannya bukan sahaja akan mengubah warna zakar lelaki buat seketika, namun juga akan mengakibatkan kesan parut dan kehilangan fungsi seksual yang normal. 

Jika anda khuatir kondisi ini berlaku kepada anda, segeralah berjumpa pakar urologi untuk mendapatkan ubatan dan rawatan dalam kadar segera. Namun, dalam kebanyakan kes, individu yang mengalaminya akan disyorkan untuk bersunat.

#2. Pembengkakan

Selain kondisi kulit seperti yang dinyatakan, zakar ungu mungkin juga berlaku akibat kerosakan salur darah kecil pada zakar, lantas menyebabkan darah terkumpul pada permukaan kulit. Apabila ini berlaku, ia akan mengakibatkan pembengkakan pada zakar, sekali gus menjadikan ia berubah warna menjadi ungu.

Terdapat beberapa punca masalah ini berlaku, termasuklah:

  • Beronani
  • Bersukan
  • Aktiviti fizikal
  • Seks ganas
  • Zakar tersepit pada zip seluar
  • Zakar dicubit

Kadangkala, ia mungkin menyakitkan apabila disentuh. Jika ia tidak sembuh dengan sendirinya, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan doktor. 

#3. Purpura

Apa itu purpura? Untuk pengetahuan anda, ia adalah sejenis kondisi yang mengakibatkan tompokan berwarna seakan-akan ungu pada permukaan zakar. Tidak seperti pembengkakan, purpura mungkin disebabkan oleh beberapa punca, seperti:

  • Pendarahan atau pembekuan darah pada zakar
  • Kekurangan nutrisi
  • Kesan sampingan ubat-ubatan
  • Inflamasi saluran darah

#4. Hematoma

Hematoma mungkin berlaku akibat pembengkakan, cuma ia berlaku di dalam tisu organ alat sulit anda. Sekiranya kondisi ini berlaku kepada anda, ia akan merosakkan saluran darah yang berada jauh di dalam kulit. 

Kesannya, ia akan menyebabkan kehilangan keupayaan darah untuk mengalir dalam saluran atau kelenjar lantas mengakibatkan masalah pendarahan. Sekiranya anda mengesyaki anda mengalami masalah ini, segera dapatkan rawatan doktor.

zakar lelaki

#5. Reaksi alahan ubatan

Setiap individu mempunyai reaksi terhadap ubatan yang berbeza-beza. Dalam beberapa kes, pengambilan ubatan mungkin akan menyebabkan reaksi alahan yang dikenali sebagai sindrom Stevens-Johnson. 

Sindrom ini boleh dikenali melalui ruam yang berwarna seakan ungu pada permukaan zakar, juga pada beberapa anggota tubuh badan yang lain. Ruam ini boleh mengakibatkan kulit membengkak dan bersisik. Jika lambat dirawat, ia mungkin akan mengakibatkan komplikasi lain yang boleh membawa maut.

Buat anda yang tertanya-tanya, berikut merupakan ubatan yang berisiko tinggi mengakibatkan sindrom ini:

  • Antibiotik berasaskan sulfur
  • Ibuprofen
  • Naproxen
  • Ubatan antiepilepso
  • Ubatan antipsikotik
  • Sebarang jenis antibiotik

Selain batang zakar ungu, terdapat banyak lagi reaksi alahan yang boleh berlaku disebabkan ubatan. Jadi, sila berhati-hati dalam pengambilan sebarang ubatan dengan mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan doktor, ya?

#6. Batang zakar ungu sebab STD

Selain sebab-sebab yang boleh dikatakan normal di atas, terdapat satu lagi sebab kondisi zakar ungu berlaku iaitu STD.

Buat anda yang belum tahu, STD adalah penyakit jangkitan kelamin yang boleh berlaku kepada mana-mana individu, tidak kira lelaki atau wanita. Sebagai contoh yang paling mudah, STD yang boleh memberi kesan kepada warna zakar lelaki adalah sifilis atau herpes.

STD bukan sahaja akan memberi kesan kepada warna zakar lelaki, malahan juga menyebabkan beberapa perkara pada alat kemaluan, seperti:

  • Kesakitan
  • Kegatalan
  • Keradangan
  • Kepenatan
  • Sakit ketika membuang air kecil
  • Demam

Ia adalah satu perkara yang serius kerana ia bukan sahaja akan mengubah warna zakar lelaki menjadi seakan ungu, namun ia juga akan memberi komplikasi kepada alat sulit anda sekiranya lambat mendapatkan rawatan.

Konklusi

Kesimpulannya, terdapat banyak perkara yang menyebabkan kondisi zakar ungu dan bukannya hanya sekadar mitos yang mengatakan batang zakar lelaki berubah warna menjadi seakan ungu kerana terlalu banyak melakukan hubungan seks sahaja.

Ia mungkin berlaku akibat beberapa kondisi kesihatan lain yang memerlukan rawatan segera. Jadi, jika anda syak diri anda mengalami kondisi ini, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dengan kadar segera.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.medicalnewstoday.com/articles/320963.php#causes. Accessed on January 22, 2020.

https://www.healthline.com/health/mens-health/purple-penis#sti. Accessed on January 22, 2020.

https://www.menshealth.com.au/why-your-penis-might-turn-purple. Accessed on January 22, 2020.

https://www.menshealth.com/health/g19408900/purple-penis-causes/. Accessed on January 22, 2020.

Versi Terbaru

19/09/2023

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Ini Apa Yang Patut Anda Tahu Tentang Petanda Penyakit Priapisme, BAHAYA!

Kemaluan Lelaki Gatal Seperti Digigit Semut? Ada 5 Punca Perlu Diberi Perhatian!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 19/09/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan