Masalah mati pucuk atau disfungsi erektil merupakan sesuatu yang lazim dalam kalangan lelaki. Walau bagaimanapun, ramai lelaki yang masih belum tahu mengenai punca utama mati pucuk. Ada juga yang menganggap masalah ini sebagai sesuatu yang berlaku secara semula jadi dan tidak boleh dielakkan.
Kaum adam perlu tahu, masalah untuk mengekalkan ereksi mungkin berlaku sekali-sekala. Ia merupakan sesuatu yang normal dan mungkin berlaku disebabkan stres.
Namun, jika ia berlaku dengan kerap sehingga menjejaskan hubungan antara suami dan isteri, masalah ini perlu diperiksa oleh pakar dengan kadar segera.
Sebenarnya, ada banyak faktor yang menjadi punca utama mati pucuk. Antaranya ialah umur, ubat-ubatan, tekanan perasaan, pembedahan dan luka disebabkan kemalangan.
Di bawah, kami akan terangkan setiap punca dengan lebih terperinci.
Punca utama mati pucuk
Punca 1: Umur punca mati pucuk
Umur merupakan antara punca utama mati pucuk. Seperti yang dijelaskan sebentar tadi, ada yang menganggap masalah mati pucuk berlaku disebabkan umur yang semakin meningkat naik.
Walau bagaimanapun, masalah ereksi tidak selalunya berkaitan dengan umur. Malah, ada lelaki yang mempunyai kesihatan seksual yang baik walaupun sudah berusia.
Walaupun umur merupakan salah satu punca risiko disfungsi erektil, ada banyak cara yang boleh anda lakukan untuk merawat dan mencegahnya. Antaranya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
Punca 2: Ubat-ubatan dan rawatan
Mungkin ramai yang tidak tahu, ubat-ubatan yang anda sedang ambil sekarang mungkin merupakan punca utama mati pucuk. Malah, masalah ereksi sebenarnya boleh berlaku disebabkan pengambilan ubat tekanan darah tinggi atau antidepresan.
Ubat-ubatan ini bertujuan untuk merawat penyakit atau kondisi yang pesakit alami, namun kesan sampingannya boleh menyebabkan lelaki mengalami masalah ereksi.
Jika anda mempunyai masalah ini, jangan sesekali berhenti makan ubat. Pastikan anda berjumpa doktor untuk sesi konsultasi. Beliau mungkin akan memberikan ubatan lain yang tidak akan memberikan kesan sampingan tersebut.
Antara ubat yang mungkin membuatkan anda mengalami disfungsi erektil seperti:
- Diuretik.
- Ubat tekanan darah tinggi.
- Antihistamin.
- Antidepresan.
- Ubat untuk penyakit Parkinson.
- Ubat untuk masalah aritmia.
- Ubat penenang.
- Hormon.
- Ubat kemoterapi.
- Ubat kanser prostat.
- Ubat anti sawan.
Punca 3: Tekanan perasaan dan depresi punca mati pucuk
Lelaki dalam setiap peringkat umur akan berhadapan dengan tekanan perasaan. Kadangkala, stres mungkin berlaku disebabkan tekanan di tempat kerja, masalah perhubungan, keluarga dan sebagainya.
Menurut Healthy Male Australia, lelaki di bawah umur 30 tahun amat berisiko untuk mengalami masalah disfungsi erektil disebabkan stres dan kegelisahan. Namun, mati pucuk yang berlaku disebabkan tekanan perasaan ini selalunya bersifat jangka pendek.
Lelaki yang berusia 30 tahun ke atas pula mengalami masalah peribadi dan professional. Kedua-dua masalah ini boleh menjadi punca utama mati pucuk untuk lelaki yang bekerjaya.
Untuk lelaki yang berusia 50 tahun ke atas pula, mereka selalunya mengalami masalah disfungsi erektil disebabkan usia yang telah lanjut. Mereka juga mungkin tertekan kerana mengalami masalah hidup seperti kehilangan pasangan atau tidak dapat menyesuaikan diri dengan persaraan.
Stres dan kegelisahan merupakan sebahagian daripada kehidupan. Kita semua tidak dapat melarikan diri daripada mengalami tekanan perasaan.
Oleh sebab itu, jika mengalami masalah mati pucuk disebabkan disfungsi erektil, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin.
Ada banyak rawatan yang boleh dilakukan untuk memperbaiki masalah disfungsi erektil disebabkan tekanan perasaan dan stres.
Punca 4: Pembedahan
Tahukah anda, pembedahan kanser prostat mempunyai kesan sampingan yang serius?
Salah satunya adalah masalah mati pucuk. Namun, bukan semua pembedahan yang dilakukan untuk merawat kanser prostat akan menyebabkan kemandulan.
Terdapat risiko untuk pesakit alami disfungsi erektil selepas pembedahan disebabkan wujudnya saraf yang amat sensitif di bahagian kanan dan kiri prostat. Saraf ini amat mudah untuk tercedera sewaktu pembedahan.
Walau bagaimanapun, jika kanser telah merebak pada saraf tersebut, kemungkinan besar ia perlu dibuang untuk elak kanser daripada menjadi semakin teruk.
Oleh sebab itu, tidak mustahil pembedahan boleh menjadi salah satu punca utama mati pucuk.
Punca 5: Mati pucuk disebabkan kecederaan atau luka
Lelaki berisiko untuk mengalami kecederaan pada alat sulit disebabkan kawasan zakar dan skrotum yang tidak dilindungi oleh sebarang tulang.
Selalunya, masalah mati pucuk yang berlaku disebabkan kecederaan kerana:
- Aktiviti sukan dan rekreasi seperti mendaki gunung, berbasikal, bola sepak dan besbol.
- Kemalangan di tempat kerja seperti pendedahan terhadap bahan kimia yang berbahaya.
- Jatuh.
- Aktiviti seksual.
Luka pada kawasan kemaluan selalunya sembuh tanpa sebarang masalah.
Walau bagaimanapun, jika anda rasa sakit yang berpanjangan, bengkak atau muncul ruam pada kawasan kemaluan, pastikan anda berjumpa doktor.
Mati pucuk boleh berlaku jika saluran darah yang membekalkan oksigen pada kawasan zakar terluka.
Oleh sebab itu, lelaki mungkin alami masalah disfungsi erektil disebabkan luka yang mereka alami. Tetapi, ada juga lelaki yang alami masalah sukar untuk menghilangkan ereksi disebabkan kecederaan.
Jika ini yang berlaku, pastikan anda ke hospital dengan segera. Ereksi yang tidak boleh hilang secara semula jadi merupakan satu kecemasan dan perlu diperiksa oleh doktor secepat mungkin.
Kesimpulan
Masalah mati pucuk boleh sembuh jika anda mengambil langkah proaktif dengan berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
Tolak ketepi dahulu rasa malu dan utamakan kesihatan diri. Jika tidak, anda tidak akan tahu punca sebenar masalah mati pucuk yang dialami.