backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Wanita Period Memang Cepat Moody? Cuba 7 Cara Ini Untuk Stabilkan Hormon!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 01/04/2022

    Wanita Period Memang Cepat Moody? Cuba 7 Cara Ini Untuk Stabilkan Hormon!

    Alamak, dah period! Pada masa ini, mulalah rasa nak moody, sakit kepala dan malas bekerja. Bagi wanita di luar sana yang sudah bosan menghadap semua simptom ini, pasti anda tercari-cari cara stabilkan hormon period supaya anda boleh melalui hari-hari ‘berdarah’ ini dengan tenang.

    Tidak dinafikan, naik turun hormon boleh menyebabkan perubahan yang drastik terhadap fizikal dan emosi seorang wanita. Sebagai contoh, perubahan hormonlah yang bertindak mengawal selera makan, berat badan dan mood kaum Hawa.

    Malah, tahap hormon seorang wanita juga berubah mengikut kitaran haid masing-masing.

    Tetapi, wujudkah cara stabilkan hormon period tanpa mengambil sebarang ubat-ubatan? Sebenarnya, sebahagian besar daripada mood swing yang anda alami ketika haid itu berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat!

    Dengan cara mengambil diet yang berkhasiat, bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat yang lain, kaum Hawa sebenarnya boleh mengawal hormon mereka dan menjalani hidup yang lebih tenang.   

    Nak tahu bagaimana wanita boleh mengawal hormon mereka? Jom ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    7 cara stabilkan hormon period   

    Buntu dan tidak tahu bagaimana ingin mengatasi masalah hormon ketika datang bulan? Jangan risau, kami ada beberapa cara yang mungkin dapat membantu:

    1. Cuba bersenam dan gerakkan badan

    cara stabilkan hormon period

    Sebenarnya, hampir semua jenis senaman dapat membantu wanita mengawal mood swing. Senaman yang paling mudah ialah berjalan atau berjoging selama 20 minit. Aktiviti ini boleh melapangkan minda dan mengurangkan stres.

    Senaman aerobik juga amat digalakkan untuk wanita yang sedang haid. Ia boleh membawa perubahan yang sangat memberangsangkan terhadap badan, metabolisme, kesihatan jantung dan juga mood wanita secara am.

    Bukan itu sahaja, regangan yang dilakukan pada akhir senaman juga boleh membuatkan otot dan minda anda relaks selepas penat bersenam.

    Baca juga:

    2. Dapatkan tidur yang mencukupi

    Tidak dinafikan, kekurangan tidur boleh menyebabkan masalah hormon dalam kalangan wanita. Melalui tidurlah, badan akan rehat dan bertenaga semula.

    Jika kita tidak mendapatkan tidur yang mencukupi, banyak fungsi badan tidak dapat dijalankan dengan sempurna.

    Malah, tidur yang tidak cukup, walaupun sedikit, boleh mempengaruhi memori dan mood seseorang. Jadi, sebagai cara stabilkan hormon period, jangan lupa tidur malam dengan cukup!

    3. Makan secara sihat sebagai cara stabilkan hormon period        

    Siapa sangka makan secara sihat boleh membuatkan mood kita menjadi lebih baik.

    Jadi, tinggalkan semua makanan segera yang tidak berkhasiat dan fokus pada pengambilan makanan yang lebih sihat. 

    Tambah lebih banyak sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh dalam diet anda.

    Selain itu, kurangkan garam dan gula dalam makanan. Makanan yang penuh garam boleh menyebabkan simptom haid seperti perut kembung dan sakit payudara menjadi semakin teruk.

    4. Minum lebih banyak air

    cepat kurus

    Inilah masanya untuk anda isi botol air sepenuh-penuhnya! 

    Minum banyak air bukan sahaja bermanfaat terhadap kesihatan, ia juga boleh mengurangkan simptom kembung perut dan memudahkan pencernaan.

    Tak suka air kosong? Cuba tambahkan perasa dengan hirisan lemon, limau atau timun. Barulah senang nak telan nanti!

    5. Makan makanan yang kaya dengan zat besi

    Anda perlulah meningkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi sebelum dan selepas haid untuk menggantikan darah yang hilang. 

    Oleh sebab itu, tambah makanan yang kaya dengan zat besi seperti daging pejal dan daging merah ke dalam diet anda.

    Jika anda seorang vegetarian atau tidak suka makan daging, cuba berbincang dengan doktor mengenai keperluan mengambil suplemen tambahan.

    6. Tinggalkan kafein dan alkohol

    cara stabilkan hormon period

    Walaupun kopi dan kafein mungkin dapat menenangkan anda buat seketika, namun kedua-dua minuman ini boleh mengganggu tidur anda.

    Tanpa tidur yang mencukupi, hormon akan turun naik. Mood wanita pun akan berubah-ubah. Malah, minuman yang anda ingat boleh membuatkan anda relaks ini sebenarnya hanya akan mencetuskan lebih banyak depresi dan kegelisahan.

    7. Ingin stabilkan hormon? Tinggalkan makanan manis

    Kalau boleh, tinggalkan makanan manis. Makanan bergula bukan sahaja akan membuatkan anda cepat lapar, malahan jumlah kalorinya yang banyak juga akan membuatkan wanita sukar untuk turun berat badan.

    Selain itu, jangan lupa ikut sunnah Nabi ketika makan iaitu makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. 

    Sebenarnya, ada banyak hikmah di sebalik nasihat ini, terutamanya untuk mengelakkan kita daripada makan terlalu banyak.

    Kesimpulan

    cara stabilkan hormon period

    Ada banyak cara stabilkan hormon period secara semula jadi tanpa bantuan ubat. Jika tip di atas tidak berkesan buat anda, mungkin sudah tiba masanya untuk anda mendapatkan pemeriksaan doktor.

    Masalah hormon yang abnormal merupakan tanda penyakit dan perlu dirawat secepat mungkin.

    Bukan itu sahaja, kadangkala ada masalah hormon yang tidak boleh dielakkan. Antaranya ialah faktor seperti usia dan masalah kesihatan tertentu. Walaupun begitu, masih ada cara stabilkan hormon period secara semula jadi tanpa bantuan ubat.

    Pastikan anda makan secara sihat, bersenam dengan kerap, lakukan aktiviti yang sihat dan mengurangkan stres seperti bermeditasi dan dapatkan tidur yang cukup setiap hari. Semua ini sudah cukup untuk meningkatkan tahap kesihatan hormon anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 01/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan