backup og meta

Ada Diabetes? Anda Berisiko Tinggi Dapat 6 Penyakit Tulang Dan Sendi Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 12/01/2022

    Ada Diabetes? Anda Berisiko Tinggi Dapat 6 Penyakit Tulang Dan Sendi Ini!

    Umum mengetahui bahawa terdapat pelbagai masalah pada tubuh badan yang mungkin boleh terjadi akibat diabetes, selain daripada kadar glukosa tidak terkawal.

    Ini kerana penderita penyakit kencing manis itu juga mungkin tinggi risiko untuk mengalami pelbagai jenis kondisi yang berkaitan dengan tulang dan sendi mereka.

    Persoalannya, apakah antara akibat kencing manis terhadap tulang dan sendi? Jom teruskan membaca!

    Akibat diabetes pada tulang & sendi anda

    Seperti mana yang telah kami nyatakan, memang wujud pelbagai jenis risiko, kondisi dan komplikasi jika anda ada kencing manis termasuklah pada tulang dan sendi.

    Berikut adalah antara akibat diabetes terhadap tulang dan sendi yang mungkin boleh berlaku:

    #1. Sendi Charcot

    Lebih dikenali sebagai neuropatik artropati, ia adalah sejenis penyakit yang biasa akan berlaku apabila terjadinya kerosakan pada sistem saraf tubuh badan.

    Akibat penyakit diabetes, saraf pada sendi tertentu mungkin boleh rosak lantas jadi punca timbulnya simptom-simptom seperti hilang deria rasa pada sendi yang terjejas.

    akibat diabetes

    Selain itu, anda juga mungkin akan mengalami kekebasan, kesemutan atau kesakitan pada sendi terbabit yang boleh jadi lebih teruk jika tidak segera dirawat.

    Biasa berlaku pada sekitar kawasan kaki, progres penyakit ini mungkin boleh diperlahankan dengan mengehadkan aktiviti fizikal berat serta rawatan lanjutan.

    #2. Bahu Beku

    Penyakit bahu beku atau frozen shoulder adalah antara kesan akibat kencing manis yang mungkin agak kurang terkenal kerana jarang terjadi kepada individu.

    Ia akan mengakibatkan rasa pedih, sakit serta tidak selesa pada bahu yang sekali gus menyebabkan pergerakan kawasan di sekitar bahu itu terhad dan terjejas.

    Biasa berlaku pada sebelah bahu sahaja, penyebab kepada penyakit ini masih tidak dapat dipastikan namun diabetes dikatakan adalah salah satu faktor risiko.

    Untuk mengawal dan merawat, penderita dikehendaki melakukan terapi fizikal yang agresif pada peringkat awal lagi untuk mengelakkan bahu anda daripada menjadi kaku atau ‘beku’.

    Akibat diabetes #3. Osteoporosis

    Osteoporosis adalah penyakit akibat kencing manis yang akan jadi punca ketumpatan tulang di dalam tubuh badan menjadi lemah dan mudah patah ataupun pecah.

    Diabetes jenis 1 adalah salah satu daripada faktor risiko penyakit ini selain kurangnya pengambilan nutrisi yang penting untuk tulang seperti kalsium dan zat besi.

    Ketika di peringkat awal, tiada simptom yang akan muncul sehingga ia jadi lebih teruk dan boleh mengakibatkan ketinggian serta postur tubuh badan anda terjejas.

    Dalam usaha mengelakkannya, anda perlu mengamalkan diet lebih sihat, suplemen lebih tepat serta aktiviti fizikal yang lebih kerap untuk kesihatan tulang anda.

    akibat diabetes

    Akibat diabetes #4. Osteoartritis

    Osteoartritis adalah penyakit akibat kencing manis yang akan jadi punca kerosakan sendi di dalam tubuh badan lantas menyebabkan kekejangan dan kesakitan.

    Diabetes jenis 2 adalah salah satu daripada faktor risiko penyakit ini kerana ia juga adalah antara punca anda mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

    Kaedah untuk mengawal dan merawat penyakit ini adalah dengan mengekalkan berat badan sihat, terapi fizikal, senaman, urutan serta ubatan untuk diabetes.

    Dalam pada itu, anda juga mungkin perlu menjalani pembedahan penggantian lutut atau pinggul (artroplasti sendi) sekiranya ia sudah berada di tahap paling teruk.

    #5. Penyakit DISH

    Penyakit Diffuse Idiopathic Skeletal Hyperostosis (DISH) akan berlaku apabila tendon dan ligamen mengeras lantas memberi kesan pada tulang belakang.

    DISH dikaitkan dengan diabetes jenis 2, barangkali disebabkan oleh proses perembesan insulin yang akan menjejaskan proses pertumbuhan tulang baru.

    Jika ia berlaku, anda mungkin akan mengalami kesakitan, kekejangan serta kekurangan dalam aspek mengawal pergerakan pada sekitar kawasan terjejas.

    Selain pembedahan pembuangan tulang yang perlu dibuat jika tulang sudah rosak dengan teruk, anda mungkin perlu untuk ambil ubat tahan sakit daripada doktor.

    #6. Kontraktur Dupuytren

    akibat diabetes

    Akhir sekali, anda juga mungkin lebih tinggi risiko untuk mengalami Kontraktur Dupuytren iaitu sejenis penyakit di mana jari tangan anda membengkok ke atas.

    Penyakit akibat diabetes ini adalah disebabkan oleh tisu penyambung yang jadi penghubung di antara tapak tangan dengan jari tangan menebal dan memarut.

    Antara faktor risiko yang paling utamanya adalah jika anda ada diabetes dalam tempoh lama dan akan menyebabkan perubahan pada sistem metabolik tubuh badan.

    Suntikan enzim, steroid atau kolagen mungkin boleh bantu mengurangkan keradangan selain  pembedahan aponeurotomi untuk memulihkan tisu yang telah rosak.

    Konklusinya, terdapat pelbagai kesan dan akibat angkara penyakit diabetes yang boleh terjadi. Disebabkan itu, adalah penting untuk kencing manis itu dikawal dan dirawat segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 12/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan