Penggunaan ultra bunyi sebenarnya agak berisiko terutamanya jika kecederaan berlaku pada tendon yang tidak dikesan oleh alat tersebut.
Pun begitu, kaedah ini mempunyai tempoh sembuh yang singkat dan pesakit boleh bekerja semula dalam masa yang singkat.
Teknik bedah buka bagi masalah jari bengkok

Pembedahan pembukaan adalah prosedur alternatif bagi kaedah perkutaneous. Ia melibatkan potongan bedah yang kecil bagi membolehkan pakar bedah untuk melihat struktur yang terkesan.
Ia bukanlah satu prosedur major yang memerlukan masa berjam-jam. Lazimnya kaedah ini boleh siap dalam masa 30 minit sahaja.
Jika lebih daripada 1 jari yang alami lekatan, ia mungkin mengambil masa yang lebih lama.
Langkah yang diambil ketika pembedahan adalah seperti berikut:
- Pakar bedah akan memberikan ubat bius setempat. Apabila kawasan tersebut sudah kebas, satu bukaan kecil akan dibuat pada tapak tangan.
- Lokasi tisu yang menyekat tendon akan dikenal pasti dan pakar bedah akan memotongnya dengan berhati-hati bagi membuka ruang kepada tendon untuk bergerak.
- Sebelum menamatkan prosedur, jari yang terkesan akan cuba dibengkok dan diluruskan untuk memastikan ia boleh bergerak bebas.
Apabila ubat bius sudah beransur-ansur hilang, jari yang dibedah boleh digerakkan semula.
Risiko komplikasi atau pembedahan semula kebiasaannya berada pada tahap yang minimum.
Dianggarkan 97% pesakit mengalami kesembuhan penuh selepas prosedur pembedahan dijalankan.
Kesembuhan selepas pembedahan pembukaan

Selepas pembedahan pembukaan, pesakit akan dipakaikan dengan balutan pada kawasan bedah. Ia perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kering.
Balutan tersebut hanya boleh dibuka selepas sehari dua manakala jahitan pada kulit akan dibuka selepas 10 hingga 14 hari.
Bergantung kepada jenis benang yang digunakan, ada juga yang akan meresap dengan sendirinya.
Tangan yang dibedah boleh mengalami kebengkakan dan kesakitan untuk beberapa hari. Namun masalah ini boleh diatasi dengan cara:
- Menggunakan ais selama 5 hingga 10 minit untuk beberapa hari.
- Memastikan kedudukan tangan terangkat dan berada lebih tinggi daripada paras jantung.
- Mengambil ubat anti radang seperti ibuprofen jika dipreskripsikan oleh doktor.
Kebanyakan pesakit boleh kembali bekerja selepas berehat beberapa hari namun bagi mereka yang melakukan tugas berat, doktor mungkin akan menyarankan tempoh berehat yang lebih lama (1 hingga 2 minggu).
Simptom lain seperti sakit kebiasaannya akan mengambil masa beberapa minggu untuk hilang.
Namun bagi masalah bengkak selepas pembedahan jari bengkok boleh mengambil masa 6 bulan sebelum ia sembuh sepenuhnya.
Bagi mereka yang menjalani pembedahan ini pada lebih daripada 1 jari tangan, masa sembuh akan menjadi lebih lama.
Konklusi
Masalah jari bengkok, walaupun nampak seperti tidak serius, boleh menjejaskan kualiti hidup.
Ia menyekat aktiviti jari tangan sehingga menyukarkan individu untuk melaksanakan perbuatan mikro seperti menulis, membuka tombol pintu menggunakan kunci dan sebagainya.
Sekiranya anda mengalami masalah yang sama, rujuk doktor perubatan untuk tindakan selanjutnya.