backup og meta

Manfaat Mandi Air Panas Boleh Kurangkan Risiko Diabetes, Benarkah?

Manfaat Mandi Air Panas Boleh Kurangkan Risiko Diabetes, Benarkah?

Terdapat banyak manfaat mandi air panas yang tidak boleh kita nafikan. Aktiviti berendam di spa atau tab mandian air panas ini dapat membantu melegakan ketegangan otot dan dalam masa sama, memberikan ketenangan minda.

Lebih daripada itu, terdapat kajian mengatakan mandi air panas boleh membantu mengawal diabetes. Tetapi adakah ia benar?

Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui kesahihannya. Semoga bermanfaat! 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis sila dapatkannya di sini.

Masalah diabetes 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit diabetes dikenali sebagai punca utama buta, kegagalan buah pinggang, serangan jantung, strok dan amputasi anggota tubuh bahagian bawah.

Diabetes adalah penyakit kronik yang berlaku sama ada apabila badan tidak menghasilkan insulin yang mencukupi – bagi diabetes jenis 1 atau tubuh tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkannya dengan berkesan – diabetes jenis 2.

Insulin adalah hormon yang dihasilkan pankreas. Ia memainkan peranan penting dalam mengawal paras gula dalam badan.

Sekiranya tubuh tidak dapat menghasilkan atau menggunakan insulin dengan betul, keadaan hiperglisemia atau peningkatan kepekatan glukosa dalam darah boleh berlaku.

manfaat mandi air panas

Individu yang mengalami masalah hiperglisemia secara berterusan boleh menjejaskan mata, buah pinggang, saraf dan jantung serta cenderung membawa kepada komplikasi serius.

Diabetes jenis 2

Masalah diabetes jenis 2 merupakan penyakit kencing manis paling biasa serta turut menjejaskan kanak-kanak dan juga remaja, terutamanya disebabkan oleh obesiti kanak-kanak.

Namun, diabetes jenis 2 ini boleh dicegah atau diperlahankan kesannya secara semula jadi dengan melakukan perubahan gaya hidup sihat, aktiviti fizikal secara berkala, mengekalkan berat badan normal dan menghindari penggunaan tembakau.

Di samping itu, ada kajian menyatakan bahawa mengamalkan mandian dengan air panas secara berkala juga dapat membantu mengurangkan risiko ini.

Manfaat mandi air panas: Mencegah diabetes jenis 2? 

Berdasarkan kajian penyelidik dari Hospital Kohnodai, Jepun, mandi air panas dengan kerap membantu paras hemoglobin glikat (HbA1c). 

Hemoglobin glikat (HbA1c) adalah ukuran kawalan gula dalam darah yang merujuk kepada molekul darah di mana glukosa atau gula melekat padanya.

manfaat mandi air panas

Tahap HbA1c lebih tinggi menunjukkan seseorang individu itu mengalami gula dalam darah yang tinggi.

Pelbagai bentuk terapi haba, seperti mandian air panas dan sauna, disyorkan sebagai cara untuk mengurangkan tahap lemak badan serta meningkatkan tahap hemoglobin glikat.

Kajian tersebut juga mendapati bahawa peningkatan kekerapan mandi dikaitkan dengan penurunan paras hemoglobin glikat – selepas melakukan penyesuaian dengan usia, jantina, indeks jisim badan (BMI) dan penggunaan insulin.

Secara tepatnya, purata kekerapan mandi air panas 4.2 kali seminggu untuk tempoh purata 16 minit dikaitkan dengan:

  • Penurunan berat
  • BMI
  • Lilitan pinggang
  • Tekanan darah diastolik
  • Paras HbA1c

Penyelidik juga menyimpulkan bahawa pendedahan harian kepada haba boleh memperbaiki keadaan pesakit diabetes jenis 2 serta mengurangkan faktor risiko berkaitannya.

Walau bagaimanapun setakat ini, tiada bukti kukuh yang menyokong mandian air panas sebagai bentuk terapi yang berkesan untuk merawat kencing manis ini.

Manfaat mandi air panas yang lain

Selain dipercayai dapat membantu mengatasi risiko masalah diabetes, amalan mandi air panas yang kerap juga dikaitkan dengan kawalan tekanan darah tinggi dan pengurusan berat lebih baik.

Ia turut dapat melancarkan aliran darah dan seterusnya mengurangkan tekanan darah dan kekejangan saluran darah. 

Amalan ini juga boleh membunuh bakteria, meningkatkan imuniti dan melegakan simptom selesema dan flu serta membantu mengatasi kesukaran tidur jika anda mandi air panas pada waktu malam. 

manfaat mandi air panas

Langkah berwaspada

Pun begitu ada langkah berjaga-jaga yang perlu diambil oleh pesakit diabetes sebelum menikmati manfaat mandi air panas.

Elakkan luka terbakar

Masalah diabetes boleh menyumbang kerosakan saraf dan menjadikan kaki kurang sensitif terhadap suhu. 

Jadi untuk elakkan luka terbakar, pastikan suhu air pada 40.5°C atau lebih rendah.

Lindungi kesihatan jantung

Walaupun manfaat mandi air panas boleh memberikan anda ketenangan minda, haba berlebihan boleh menyebabkan jantung berdegup kencang.

Individu dengan masalah jantung berisiko mengalami kerosakan jantung serius.

Baca juga:

Jaga tahap insulin untuk dapatkan manfaat mandi air panas

Anda perlu lebih kerap memeriksa kadar glukosa semasa berendam dalam air panas kerana wujud risiko masalah tahap glukosa darah rendah.

Kekal terhidrat juga membantu mengekalkan suhu teras dan kestabilan glukosa darah.

Berbincanglah dengan doktor untuk mengetahui sama ada anda boleh melakukannya atau tidak.

Elakkan jangkitan 

Untuk memperolehi manfaat mandi air panas, anda perlu memastikan tab mandian itu bersih bagi mengurangkan risiko jangkitan mikoorganisma berbahaya.

Anda juga disarankan untuk menghindari berendam dalam air ketika mengalami luka terbuka kerana ia meningkatkan kemungkinan untuk bakteria masuk ke dalam tubuh.

Sebaiknya lakukan rundingan dan pemeriksaan doktor untuk lebih kepastian sama ada anda boleh mencuba mandian air panas atau tidak.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Hot bath could boost type 2 diabetes management. https://www.diabetes.co.uk/news/2016/aug/hot-bath-could-boost-type-2-diabetes-management-97414776.html, Accessed on Oct 28, 2021
  2. Study suggests regular hot baths are associated with improving various risk factors for type 2 diabetes. https://www.eurekalert.org/news-releases/634165,  Accessed on Oct 28, 2021
  3. Simple Steps to Preventing Diabetes. https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/disease-prevention/diabetes-prevention/preventing-diabetes-full-story/, Accessed on Oct 28, 2021
  4. How to keep your cool during the hottest time of year. https://www.cdc.gov/diabetes/library/features/manage-diabetes-heat.html, Accessed on Oct 28, 2021
  5. Johannes Naumann, Diana Biehler, Tania Lüty, and Catharina Sadaghiani (2017). Prevention and Therapy of Type 2 Diabetes—What Is the Potential of Daily Water Intake and Its Mineral Nutrients? https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5579707/, Accessed on Oct 28, 2021
  6. American Diabetes Association (2010). Standards of Medical Care in Diabetes—2010. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2797382/, Accessed on Oct 28, 2021 

Versi Terbaru

03/11/2021

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Pesakit Diabetes Jenis 2 Mudah Dapat Sakit Jantung, JANGAN Jadi Mangsa Seterusnya!

BAHAYA! Cepat Penat Mungkin Petanda Paras Insulin Terlalu Tinggi! Semak 6 Simptom Lain


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/11/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan