Selalunya, tekanan darah perlulah berada di dalam lingkungan kurang daripada 140/90. Namun, tekanan darah sekitar 120/80 lebih efektif untuk mengelakkan sakit jantung, strok dan juga kematian disebabkan hipertensi.
Tetapi, bukan mudah untuk pesakit tekanan darah tinggi mencapai sasaran tersebut, lebih-lebih lagi jika bacaannya lebih rendah.
Menurut Dr. Michael Gibson, Profesor Perubatan di Harvard Medical School, simptom seperti keletihan, pening kepala dan pengsan boleh berlaku kepada mereka yang mempunyai tekanan darah yang terlalu rendah.
Malah, setiap jenis ubat untuk merawat hipertensi mempunyai kesannya yang tersendiri. Sebagai contoh, beberapa jenis diuretik boleh menyebabkan pesakit terpaksa ke tandas berkali-kali.
Selain itu, pesakit juga mungkin akan mengalami masalah disfungsi erektil daripada pengambilan beta-blockers, kaki membengkak disebabkan calcium-channel blockers dan batuk-batuk daripada inhibitor ACE.
Tambahan lagi, pesakit selalunya memerlukan lebih daripada satu ubat untuk mengawal hipertensi yang dialami. Malah, pengambilan 2 jenis ubat juga lebih berkesan berbanding 1 jenis sahaja.
Oleh sebab itu, jika anda mengalami kesan sampingan disebabkan ubat tekanan darah tinggi, doktor mungkin akan merendahkan dosnya untuk menyelesaikan masalah yang anda alami.
Berjumpa doktor untuk cari penyelesaian
Jangan sesekali berhenti makan ubat disebabkan semua kesan sampingan yang anda alami. Sebaliknya, bercakaplah dengan doktor atau ahli farmasi tentang masalah anda.
Selain itu, pesakit juga haruslah:
- Mengambil ubat seperti yang dijadualkan. Jangan sesekali berhenti makan ubat dan pastikan bekalan sentiasa mencukupi.
- Bersabar jika ubat tidak berkesan. Kadangkala, ia mungkin mengambil masa untuk menentukan dos sebenar yang berkesan untuk anda.
- Pastikan doktor anda tahu jika anda mengambil sebarang ubat-ubatan atau suplemen secara over-the-counter. Ubat-ubatan ini boleh mengganggu keberkesanan ubat yang diberikan oleh doktor.
- Hadir janji temu bersama doktor. Kondisi anda perlu dipantau oleh doktor dari masa ke masa untuk memastikan tekanan darah anda berada di bawah kawalan.
Mungkin bukan disebabkan tekanan darah tinggi

Apabila anda rasa penat, letih dan tidak bertenaga, simptom ini boleh juga berlaku disebabkan perkara lain dan bukannya berkaitan dengan kesan sampingan ubat hipertensi.
- Mempunyai berat badan berlebihan? Jika anda berdengkur, apnea tidur boleh menyebabkan anda mengalami simptom yang sama.
- Adakah anda tertekan? Stres boleh menyebabkan anda penat dan letih.
- Adakah anda sedang mengalami depresi? Mereka yang alami depresi turut merasai simptom badan letih dan lemah.
- Adakah anda makan secara sihat? Diet yang seimbang bersama senaman yang sederhana dapat membantu meningkatkan tenaga anda.
Jika anda mempunyai masalah seperti di atas, cuba bercakap dengan doktor anda. Kadangkala, simptom yang berlaku bukannya disebabkan oleh kesan sampingan ubat.
Oleh sebab itu, tidak rugi jika anda mendapatkan konsultasi daripada doktor.