backup og meta

Ini Cara Mudah Mengesan Diabetes Jenis 2, Ada Beberapa Ujian Kena Lalui

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 14/06/2023

    Ini Cara Mudah Mengesan Diabetes Jenis 2, Ada Beberapa Ujian Kena Lalui

    Selain memerhatikan simptom diabetes, anda juga mungkin perlu lakukan beberapa ujian makmal untuk melihat bacaan kencing manis dan mengetahui bacaan normal kencing manis anda.

    Ini yang diperlukan untuk mendiagnosis diabetes jenis 2.

    Tujuan ujian makmal dilakukan adalah untuk melihat kepada penanda gula darah anda. Ujian ini amat penting memandangkan ada sesetengah individu yang mempunyai simptom yang tidak disedari atau tidak jelas kelihatan.

    Selain itu, ia juga untuk menentukan sama ada simptom yang dialami tersebut adalah benar-benar disebabkan oleh diabetes jenis 2, bukannya simptom bagi keadaan kesihatan yang lain. 

    Untuk mendiagnosis dan mendapatkan bacaan diabetes jenis 2, anda mungkin perlu melakukan beberapa ujian seperti ujian hemoglobin A1C, puasa gula darah (FPG) atau ujian toleransi glukosa oral (OGTT). 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

    Ujian untuk mendapatkan bacaan kencing manis

    Berikut adalah ujian-ujian yang sering dilakukan untuk mendapatkan bacaan kencing manis bagi penghidap diabetes jenis 2. Ia akan menentukan sama ada bacaan tersebut adalah bacaan normal diabetes atau tidak.

    #1. Puasa gula darah atau ringkasnya FPG

    Puasa gula darah merupakan salah satu ujian untuk mendapatkan bacaan kencing manis seseorang individu. Ia digunakan untuk menentukan sama ada anda mempunyai diabetes atau pradiabetes

    Ujian ini akan dilakukan setelah anda berpuasa selama beberapa jam, biasanya dalam tempoh 8 jam. 

    Bagi yang menjalani ujian FPG ini, anda dinasihatkan untuk tidak makan atau minum apa-apa jenis makanan dan minuman kecuali air kosong sebelum ujian dilakukan. 

    Darah akan diambil daripada lengan anda semasa prosedur ujian ini dilaksanakan. Ujian pula biasanya akan dilakukan pada waktu pagi sebelum anda mula makan setelah 8 jam berpuasa. 

    Bacaan kencing manis

    Hasil bacaan kencing manis melalui FPG

    Hasil bacaan diabetes adalah seperti berikut:

    • Bacaan normal diabetes: kurang daripada 110 mg/dl (6.1 mmol/L)
    • Bacaan untuk pradiabetes: 110 mg/dl sehingga 125 mg/dl (6.1 – 6.9 mmol/L)
    • Bacaan untuk diabetes: 126 mg/dl atau lebih tinggi (7.0 mmol/L)

    #2. Ujian bacaan kencing manis hemoglobin A1c atau ringkasnya A1C

    Ujian ini adalah antara ujian bacaan diabetes yang paling kerap dilakukan untuk mengesan diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2. 

    Selain itu, ia juga digunakan untuk melihat perkembangan semasa pengurusan kencing manis anda. Ujian ini mempunyai pelbagai nama seperti hemoglobin A1C glycated hemoglobin, glycosylated hemoglobin, dan HbA1c. 

    Hasil keputusan ujian ini menunjukkan purata tahap gula darah tubuh badan anda bagi tempoh 2 hingga 3 bulan yang lalu. Ujian A1C mengukur peratusan hemoglobin darah anda. 

    Hemoglobin ialah sejenis protein yang berada dalam sel darah merah yang berfungsi membawa oksigen kepada sel tubuh. 

    Hemoglobin ini disaluti dengan gula. Jika semakin tinggi tahap A1C anda, itu bermaksud bahawa anda tidak menguruskan gula darah dengan baik dan berpotensi mendapat komplikasi berkaitan penyakit diabetes

    Hasil ujian juga digunakan untuk menentukan sama ada anda dikesan mempunyai pradiabetes atau tidak. Jika anda mempunyai pradiabetes, maka risiko untuk mendapat diabetes dan penyakit kardiovaskular adalah tinggi. 

    Kekerapan melakukan ujian A1C

    Kekerapan melakukan ujian ini adalah bergantung kepada tahap diabetes anda. Berikut adalah cadangan bilangan untuk anda melakukan ujian A1C:

  • Sekali dalam setahun sekiranya anda mempunyai pradiabetes
  • Dua kali dalam setahun sekiranya anda mempunyai diabetes jenis 2, tetapi tidak menggunakan suntikan insulin dan paras gula darah anda sentiasa berada pada julat sasaran anda
  • 4 kali dalam setahun sekiranya anda menghidap penyakit diabetes jenis 1
  • 4 kali dalam setahun sekiranya anda menghidap diabetes jenis 2, menggunakan suntikan insulin atau sukar untuk memastikan paras gula darah anda berada dalam julat sasaran 
  • Baca juga:

    #3. Ujian bacaan kencing manis toleransi glukosa oral atau ringkasnya OGTT

    Ujian OGTT ini berfungsi mengukur respons tubuh badan anda terhadap gula atau glukosa. Ia akan mengenal pasti sebarang perubahan dalam cara tubuh badan anda mengendalikan glukosa selepas makan. 

    Dalam erti kata lain, ia mengesan sama ada tubuh badan anda menghadapi kesukaran untuk memetabolisme pengambilan gula atau sumber karbohidrat. 

    Anda akan diminta untuk minum air gula dan paras gula darah anda akan diukur serta direkodkan sebelum dan selang masa selepas anda minum air gula tersebut. 

    Ujian OGTT ini dilakukan untuk menentukan sama ada anda mengalami pradiabetes, diabetes gestasi bagi wanita hamil, kerintangan insulin atau hipoglisemia reaktif.

    Bacaan kencing manis

    Sebelum ujian OGTT dilakukan, anda diminta untuk berpuasa dalam tempoh antara 8 hingga 12 jam. 

    Anda juga mungkin dinasihatkan untuk tidak mengambil sebarang ubat-ubatan sebelum ujian dilakukan kerana dikhuatiri ia boleh menjejaskan hasil ujian.

    Ketika ujian dilakukan, sampel darah anda akan diambil terlebih dahulu untuk mengukur paras gula darah. 

    Kemudian, anda akan diminta untuk minum air gula atau air glukosa yang sangat manis. 

    Selepas 30 minit, sampel darah akan diambil dan selepas 60 minit pula, sampel darah anda akan diambil sekali lagi. 

    Ada juga doktor yang akan mengambil sampel darah anda sekali sahaja iaitu selepas 2 jam anda meminum air gula tersebut.

    Hasil bacaan kencing manis melalui ujian OGTT

     Berikut adalah hasil ujian OGTT:

    • Bacaan normal diabetes: kurang daripada 140 mg/dl
    • Bacaan untuk pradiabetes: 140 mg/dl sehingga 199 mg/dl
    • Bacaan untuk diabetes: 200 mg/dl atau lebih tinggi

    Kurangkan risiko untuk anda mendapat diabetes

    bacaan kencing manis

    Sekiranya anda dikesan mempunyai risiko untuk mendapat diabetes seperti pradiabetes, masih tidak terlambat untuk anda menyelamatkan diri daripada mendapat diabetes secara kekal. 

    Ada kajian yang menunjukkan bahawa anda boleh mengurangkan risiko untuk mendapat diabetes jenis 2 sekiranya mengurangkan 7% daripada keseluruhan berat badan anda. 

    Anda boleh lakukannya dengan menjalani kehidupan yang aktif seperti berjalan cepat, berlari, berenang atau berbasikal setiap hari. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 14/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan