Apakah kesan tidak makan ubat kencing manis? Bagi mereka yang sudah mengetahui apa itu diabetes, pastinya tahu peranan ubat-ubatan kencing manis sebagai rawatan kencing manis.
Ikuti artikel ini untuk penerangan lebih lanjut
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
Apa itu diabetes?
Sebelum kita mengetahui kesan tidak makan ubat kencing manis, pasti ramai yang tidak mengetahui apa itu diabetes yang sebenar.
Diabetes merujuk kepada keadaan bagaimana tubuh badan anda menggunakan gula atau glukosa.
Perlu diketahui bahawa glukosa berperanan sebagai ‘makanan’ atau sumber tenaga bagi sel tubuh agar ia dapat berfungsi dengan baik.
Masalah diabetes berlaku apabila tubuh badan anda tidak dapat menggunakan glukosa dalam darah dengan baik, lalu menyebabkan glukosa ini kekal berada dalam aliran darah.
Kesannya, paras gula darah anda meningkat dan menyebabkan diabetes serta komplikasi yang lain.
Nah, sekarang anda sudah mengetahui apa itu diabetes secara ringkas.
Kesan tidak makan ubat kencing manis
Mungkin ada sebahagian daripada penghidap diabetes yang ingin menghentikan pengambilan ubat sebagai rawatan kencing manis.
Ini berlaku apabila mereka melihat paras gula darah mereka telah mencapai tahap seperti apa yang disasarkan sebelum ini.
Namun, sebarang penghentian pengambilan ubat perlulah dibincangkan bersama doktor terlebih dahulu.
Doktor anda mungkin akan bertanya beberapa perkara yang berkaitan dengan tujuan anda untuk menghentikan pengambilan ubat.
Antara perkara yang mungkin ditanya oleh doktor ialah:
- Adakah ubat rawatan kencing manis memberikan kesan sampingan kepada anda?
- Adakah kesan sampingan tersebut menjejaskan kualiti hidup anda?
- Adakah anda sukar untuk patuh dengan saranan pengambilan ubat?
Doktor juga mungkin akan mendapatkan kepastian daripada anda bagaimana anda akan mengawal paras gula darah tanpa pengambilan ubat.
Boleh dikatakan sebarang keputusan untuk menghentikan pengambilan ubat perlu dibincangkan terlebih dahulu agar ia tidak menjejaskan paras gula darah anda.
Ubat kencing manis sebagai rawatan kencing manis yang berkesan
Metformin adalah jenis ubat yang biasa digunakan dalam merawat pesakit kencing manis jenis 2.
Namun, sekiranya anda mahu menghentikan pengambilannya kerana paras gula anda semakin terkawal, doktor sebenarnya boleh mengurangkan dos agar ia sesuai dengan paras gula darah semasa anda.
Malah, anda juga berpotensi untuk menghentikan pengambilannya jika gaya hidup anda benar-benar mengikuti seperti apa yang disarankan.
Doktor akan memantau paras gula darah anda selama beberapa bulan selepas menghentikan pengambilan ubat.
Namun, jika ia kembali tidak terkawal, anda mungkin memerlukan kembali pengambilan Metformin ini.
Ini kerana, diabetes bukanlah satu penyakit yang boleh sembuh secara sepenuhnya.
Ia adalah sejenis penyakit yang progresif atau berterusan.
Walaupun anda berusaha untuk mengekalkan gaya hidup sihat tanpa bergantung dengan ubat, ia mungkin hanya bersifat sementara.
Menghentikan pengambilan ubat rawatan kencing manis bukanlah satu penyelesaian jangka masa panjang.
Kesan tidak makan ubat kencing manis: Fahami risikonya
Perlu diketahui bahawa ubat rawatan kencing manis seperti Metformin yang anda ambil tidak akan menghilangkan punca kepada penyakit diabetes tersebut.
Ini kerana fungsi ubat tersebut untuk mengawal paras gula darah anda sahaja agar ia tidak terlalu tinggi.
Oleh sebab itu, secara umumnya, pengambilan ubat rawatan kencing manis tidak boleh dihentikan untuk mengelakkan paras gula darah menjadi tidak terkawal.
Baca juga: