Kita selalu tersilap antara demam campak halus dengan cacar air yang lebih dikenali sebagai chickenpox. Jom ketahui apakah tanda demam campak yang boleh terjadi pada anak.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Memahami tanda demam campak pada anak
Measles atau demam campak adalah jangkitan pernafasan yang mudah menular. Ia menyebabkan ruam kulit seluruh tubuh bersama gejala seperti selesema. Persoalannya, kenapa boleh kena demam campak?
Jangkitan ini berpunca daripada virus jenis demam campak dan sangat berjangkit.
Dianggarkan 9 daripada 10 individu tidak divaksin campak akan dijangkiti jika berdekatan dengan individu yang telah dijangkiti.
Ia merebak melalui udara yang mengandungi titisan cecair yang dijangkiti virus daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin.
Individu yang dijangkiti virus ini biasanya akan menunjukkan tanda demam campak selepas 7 hingga 14 hari.
Mereka yang dijangkiti pula mudah menyebarkan penyakit ini bermula 4 hari sebelum dan selepas ruam berkembang, terutamanya semasa demam, hidung berair dan batuk.
- Tidak menerima suntikan vaksin campak
- Melancong ke luar negara, terutamanya kepada negara membangun
- Mengalami kekurangan vitamin A – cenderung mengalami gejala dan komplikasi teruk
Simptom demam campak
Antara tanda demam campak yang boleh dialami anak adalah batuk kuat, hidung berair, demam panas dan mata merah.
Anak juga boleh mengalami tanda demam campak seperti bintik Koplik – bintik merah kecil dengan biru-keputihan di tengah atau dalam mulut sebelum bermulanya ruam.
Ruam akan berkembang selepas 3 hingga 5 hari simptom bermula, adakalanya dengan demam panas sehingga 40°C.
Ruam merah atau coklat kemerahan akan bermula sebagai bintik merah rata pada dahi. Kemudian ia akan merebak ke seluruh muka, leher dan tubuh yang merangkumi tangan serta kaki.
Demam dan ruam yang dialami biasanya secara perlahan-lahan akan surut setelah beberapa hari.
Komplikasi kesan daripada tanda demam campak
Antara komplikasi campak yang berisiko untuk dialami termasuklah:
- Jangkitan telinga
- Jangkitan ronkitis, laringitis atau batuk kroup
- Pneumonia
- Encephalitis
- Masalah kehamilan
Bagaimana untuk merawat?
Tiada rawatan perubatan khusus yang boleh dilakukan untuk merawat campak yang biasanya berlanjutan sehingga beberapa minggu.
Pun begitu, ibu boleh membantu menguruskan simptom demam campak yang dialami anak dengan:
- Memastikan pengambilan cecair yang mencukupi buat anak
- Menggalakkan anak untuk berehat
- Memberikan ubat demam seperti paracetamol atau ibuprofen sekiranya anak demam. Jangan sesekali memberikan aspirin kepada anak yang mempunyai penyakit virus, kerana ia boleh menyebabkan sindrom Reye.
Umumnya, kanak-kanak yang mengalami tanda demam campak perlu mendapat pengawasan doktor. Mereka seharusnya direhatkan di rumah selama 4 hari setelah ruam muncul bersama langkah pantang larang demam campak.
Jika anak mempunyai masalah sistem pertahanan tubuh yang lemah, pastikan mereka duduk di rumah sehingga pulih sepenuhnya dan gejala hilang.
Bagaimana untuk mencegah?
Sudah tentu cara terbaik untuk melindungi anak adalah dengan memastikan mereka menerima suntikan vaksinasi campak.
Kebanyakan kanak-kanak di Malaysia telah kebal (immune) penyakit ini kerana sudah menerima suntikan vaksin MMR – campak, beguk dan rubella – dalam program suntikan vaksinasi kebangsaan.
Dos pertama bagi suntikan ini akan diberikan ketika si kecil berusia 9 bulan dan dos kedua pada usia 12 bulan.
Vaksin MMR ini boleh diberikan kepada bayi yang berusia 6 bulan sekiranya mereka akan melakukan perjalanan ke luar negara.
Ia merupakan perkara yang sangat penting untuk memastikan anak anda mendapatkan vaksin tepat pada waktunya.
Untuk mendapatkan lebih kepastian mengenai suntikan vaksin bagi anak, berundinglah dengan doktor.
Doktor juga boleh memberikan suntikan antibodi campak – disebut immune globulin – kepada mereka yang berisiko terkena campak.
Ia paling berkesan diberikan dalam jangka masa 6 hari selepas kontak.
Antibodi ini dapat mencegah campak atau mengelakkan daripada pengembangan tanda demam campak lebih teruk.
Suntikan vaksin campak juga dapat membantu melindungi individu yang tidak divaksin daripada sakit dan simptom demam campak setelah terdedah kepada virus ini jika mendapatkan suntikan dalam tempoh 3 hari.
[embed-health-tool-child-growth-chart]