
Sebagai sahabat, jiran, saudara atau kenalan bagi pasangan suami isteri yang baru sahaja menimang cahaya mata, anda pasti turut teruja ingin melihat wajah si comel. Selain persiapan hadiah yang sesuai, berikut merupakan 16 pantang larang yang perlu anda elakkan sewaktu menziarahi bayi baru lahir. Ibu bapa si bayi mungkin tidak mengatakan apa-apa jika anda melakukannya, tetapi sebagai orang yang bertimbang rasa elakkan melakukan perkara-perkara berikut:
1. Mencium bayi (Terutamanya pada bibir)
Ya, bayi memang terlalu comel untuk tidak dicium. Apatah lagi sewaktu mereka nyenyak tidur, anda mungkin berasa sangat geram dan mahu menciumnya. Tetapi, elakkan mencium bayi yang baru lahir, terutamanya pada bibir dan muka. Mereka mempunyai sistem imun yang lemah dan sangat terdedah kepada kuman dan bakteria. Jadi, fikirkanlah kemaslahatan bayi tersebut berbanding keterujaan anda. Jika anda tetap mahu menciumnya, minta izin kepada kedua ibu bapanya.
2. Merokok
Asap rokok yang melingkari baju, rambut dan nafas anda setelah merokok membahayakan kesihatan. Jadi sebelum singgah menziarahi bayi baru lahir, tukar baju anda kepada pakaian yang bersih. Jangan merokok sebelum atau sewaktu menziarahi bayi tersebut, sekalipun di luar rumah ibu bapa bayi tersebut.
3. Minum minuman panas ketika memegang bayi
Tidak ada yang lebih menakutkan daripada membiarkan seseorang menghirup teh panas mendidih di atas kepala bayi baru lahir. Walaupun ibu bapa si bayi mungkin tersenyum sahaja dengan keyakinan anda mendukung anaknya sambil menghirup teh panas, barangkali mereka juga sedang mengutuk anda dalam hati mereka. Jika anda mahu menikmati teh, silakan. Tetapi jangan melakukannya sambil memegang bayi baru lahir.
4. Membawa tetamu tak diundang
Ibu bapa si bayi ini baru sahaja menempuh fasa kelahiran yang memenatkan. Ditambah pula dengan keperluan menjaga bayi baru lahir yang sensitif dengan segala bunyi dan suasana. Mereka pasti bercakap dengan suara lembut, menyanyi perlahan-lahan dan berjalan dengan perlahan untuk tidak mengejutkan bayi kecil ini. Jadi, janganlah memandai-mandai membawa anak anda yang bising dan lasak untuk merosakkan suasana. Jika anda membawa anak, biarkan pasangan anda menguruskan mereka bermain sementara anda melihat si ibu dan bayi.
5. Datang lewat
Ibu bapa baru ini pasti sangat kepenatan menguruskan bayi baru lahir dan bukan anda seorang sahaja yang akan menziarahi mereka. Mereka perlu menetapkan masa untuk setiap orang yang datang dan memastikan mereka tidak tertidur sewaktu tetamu datang. Jadi, maklumkan anggaran masa kedatangan anda dan jika anda akan terlewat, maklumkan sebelumya.
6. Tidak membasuh tangan
Tangan anda mungkin kelihatan bersih tetapi mengandungi kuman daripada luar. Basuh tangan sebelum mendukung bayi atau gunakan hand sanitizer. Lebih baik lagi jika ibu bapa bayi baru lahir tersebut menyediakan hand sanitizer di sebelah bayi untuk kegunaan tetamu.
7. Datang sewaktu sakit
Jika anda sakit, bantulah diri anda dan bayi tersebut dengan membatalkan temu janji untuk datang berziarah. Lebih baik anda berehat daripada memenatkan diri keluar bahkan menyusahkan pula ibu bapa bayi baru lahir tersebut apabila anaknya sakit disebabkan jangkitan yang anda bawa.
8. Mengejutkan bayi
Ibu bayi baru lahir tersebut mungkin sudah tidak tidur hampir beberapa jam kerana tangisannya. Kebetulan pula sewaktu anda sampai, bayi sudah lena terlelap. Jangan mengejutkan bayi bangun hanya untuk melihat mata besar mereka melainkan ibu bayi tersebut yang membangunkannya.
9. Mendesak untuk mendukung bayi
Tunggu ibu bayi tersebut menawarkan anda mendukung bayi dan jangan mendesak. Si ibu mungkin sedang bersiap untuk menyusukan lagi atau sekadar menikmati mendukung anaknya selepas beberapa lama bayi dalam dukungan para tetamu yang datang.
10. Tetap mendukung bayi sewaktu menangis
Sudah jelas bayi tersebut menangis mahukan ibunya, sama ada kerana lapar, ingin menukar lampin, atau sekadar rindukan bau ibunya. Walaupun ibu bapa bayi baru lahir tersebut dapat berehat seketika sewaktu anda mendukungnya, mereka pasti mahu menenangkan bayi ketika dia mula menangis.
11. Mengabaikan tanda ingin menyusu
Anda mungkin tidak menyedari tanda-tanda bayi ingin menyusu. Jika bayi seperti mencari-cari puting, memasukkan jari ke dalam mulut dan kelihatan resah, ini masa yang sesuai untuk mengembalikannya kepada si ibu. Jika bayi menangis kuat kerana sudah terlalu lapar akibat anda tidak mengendahkan tanda-tanda ini, menekapkan mulut bayi kepada payudara si ibu akan menjadi sukar.
12. Membuatkan si ibu tidak selesa menyusukan
Penyusuan susu ibu adalah rumit dan mungkin menyebabkan tekanan emosi kepada si ibu kali pertama. Si ibu dan bayi masing-masing sedang belajar. Oleh itu, jangan menatap proses penyusuan sehingga si ibu berasa kekok dan tertekan untuk melakukannya dengan betul. Teruskan perbualan seperti biasa tanpa memberikan tumpuan berlebihan kepada penyusuan.
13. Memberikan nasihat tanpa diminta
Jika si ibu meminta nasihat anda, tawarkan nasihat yang bersesuaian. Jika tidak, usah memberi nasihat tanpa diminta yang cuma menambah tekanan kepada ibu bapa baru untuk mengikut 1001 gaya keibubapaaan yang diberikan 1001 tetamu.
14. Mengharap layanan
Ibu bapa bayi tersebut terlalu disibukkan dengan si kecil daripada memikirkan makanan dan minuman yang patut dihidangkan kepada tetamu. Daripada menyusahkan mereka, tawarkan bantuan anda ketika melihat mereka bersusah-payah membancuh air atau menyediakan makanan.
15. Duduk terlebih lama
Mungkin sukar untuk menentukan waktu yang sesuai untuk anda beredar. Jika ibu bapa bayi tersebut sudah kelihatan penat, walaupun mereka suka kehadiran anda, lebih baik anda beredar sekarang. Atau jika anda sudah menziarah selama 2 jam, ini masa yang sesuai untuk anda beredar.
16. Menyepahkan rumah
Sebelum pulang, kemaskan tempat anda dan jangan tinggalkan sisa untuk meringankan beban kerja harian ibu bapa bayi baru lahir ini.
16 pantang larang ini mungkin kelihatan remeh kepada anda. Tetapi inilah perkara kecil yang patut anda pertimbangkan di waktu pasangan suami isteri ini baru sahaja melangkah ke alam keibubapaan. Siapa tahu, mungkin jika setiap tetamu menjadi lebih bertimbang rasa, akan berkurang kes kemurungan dalam kalangan para ibu yang kita dengari setiap hari akibat tekanan yang mereka hadapi daripada awal kehamilan hinggalah sewaktu menguruskan bayi.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.