backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Cekal! Ibu Ini Kongsi Dugaan 4 Kali Berdepan Dengan Kelahiran Bayi Pramatang

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Annes Nadia · Disemak pada 13/12/2023

    Cekal! Ibu Ini Kongsi Dugaan 4 Kali Berdepan Dengan Kelahiran Bayi Pramatang

    Menjaga bayi pramatang 7 bulan atau kurang daripada 9 bulan 10 hari sememangnya pengalaman yang agak mencabar buat setiap pasangan suami isteri.

    Hanya individu yang benar-benar berada di dalam ‘kasut’ mereka sahaja dapat merasakan cabaran dalam membesarkan bayi pramatang 7 bulan tersebut.

    Kali ini, Hello Doktor akan membawa anda untuk menyelami kisah pengorbanan seorang ibu bernama Norazleena Yaha dalam membesarkan tiga kelahiran bayi pramatangnya.

    Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui kisah kecekalan hati ibu ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini.

    Memahami risiko penjagaan bayi pramatang 7 bulan

    Sebelum mengetahui kisah daripada ibu bayi pramatang 7 bulan ini, mari kita fahami dahulu tentang kelahiran bayi pramatang dan ciri-cirinya.

    Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam statistik tahun 1998, kira-kira 8% bayi pramatang dilahirkan di Malaysia setiap tahun.

    Untuk pengetahuan anda, kelahiran bayi pramatang diklasifikasikan sebagai kelahiran bayi yang dilahirkan sebelum usia kandungan mencapai 37 minggu.

    Manakala bayi yang dikatakan matang atau cukup bulan pula lahir di antara 37 ke 42 minggu usia kandungan.

    Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan juga dikatakan mempunyai saiz fizikal yang kecil dan komplikasi kelahirannya bergantung kepada usia kandungan.

    Bayi cukup bulan biasanya mempunyai purata berat sekitar 3 kg semasa dilahirkan. Lebih awal tempoh kelahiran bayi, semakin kurang berat mereka.

    Kebanyakan bayi pramatang mempunyai berat kurang daripada 2.3 kg ketika lahir.

    Pengalaman melahirkan bayi pramatang 7 bulan

    bayi pramatang 7 bulan

    Kini kita sudah mengetahui secara ringkas mengenai kelahiran bayi pramatang. Ayuh kita ikuti pula kisah Norazleena Yaha yang juga merupakan Pengasas Persatuan Bayi Pramatang Malaysia (BPM).

    Menurut Norazleena, perjalanan membesarkan bayi pramatang 7 bulan ini bukanlah sesuatu hal yang mudah.

    Sebagai seorang ibu yang telah berdepan dengan kandungan bayi pramatang sebanyak 4 kali, tiada lagi pilihan lain yang harus dia lakukan selain perlu menghadapinya dengan tabah.

    Perasaan sedih, sebak dan takut seringkali tersimpul di dalam hatinya selama bergelar ibu bayi pramatang.

    Perjalanan sebagai ibu bayi pramatang bermula dengan kelahiran puteri sulungnya yang ketika itu berusia 31 minggu kandungan, dilahirkan dengan berat 800 gram (sekarang berusia 9 tahun).

    Manakala, bayi pramatang keduanya juga dilahirkan tidak cukup bulan iaitu berusia 28 minggu dengan berat 600 gram.

    Berkongsi dugaan pertamanya sebaik melahirkan premature baby, mahu tidak mahu, Norazleena terpaksa berpisah dengan si anak yang perlu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neotal (NICU) selama tiga bulan.

    Sudahlah baru habis bertarung nyawa melahirkan si manja, kini pula terpaksa berpisah dengan bayinya. Namun dia sedar, perpisahan ‘sementara’ itu perlu bagi memastikan si manjanya mendapat penjagaan yang terbaik daripada pakar.

    Meneruskan perkongsiannya, menurut Norazleena lagi, bayi ketiganya turut dilahirkan pramatang.

    Namun, dia masih bersyukur kerana biarpun kandungannya kali ini berusia 36 minggu, tetapi bayinya mempunyai berat 2 kg.

    Tidak terhenti di situ, Norazleena berdepan pula dengan dugaan lain untuk kelahiran keempatnya.

    Kandungan ke-4 ini juga adalah pramatang, namun kali ini dia diduga dengan insiden memilukan apabila bayinya itu tidak dapat diselamatkan.

    Cabaran

    Ujar Norazleena, paling menyedihkannya lagi adalah apabila dia turut mengalami masalah kewangan dan kesibukan masa semasa berulang-alik dari rumahnya di Puncak Alam ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras sepanjang membesarkan anak-anaknya.

    Bukan itu sahaja, melihat anak membesar tanpa di pangkuan sendiri dan tinggal selama berbulan-bulan di NICU juga turut memberi kesan terhadap emosinya sebagai ibu baru.

    Selain itu, Norazleena  turut berkongsi mengenai pengalamannya yang perlu menguruskan anak pramatang yang dijangkiti dengan penyakit Respiratory Syncytial Virus (RSV).

    Anak dijangkiti penyakit Respiratory Syncytial Virus (RSV)

    rawatan RSV

    Penyakit RSV ini mungkin jarang didengari namun ia kerap terjadi pada golongan kanak-kanak.

    Tambah menakutkan lagi, jangkitan RSV ini lebih berbahaya kepada golongan bayi pramatang!

    “Tanda RSV pada bayi pramatang kebiasaannya ialah demam, batuk kering, selesema, sakit tekak, anak bernafas dengan laju dan kadangkala tone suara anak juga semakin tak jelas,” ujar Norazleena yang berkongsi info daripada doktor yang merawat anaknya.

    RSV ini juga boleh tersebar melalui sentuhan pada objek atau permukaan yang dicemari virus.

    Ia boleh juga disebarkan daripada satu individu kepada individu yang lain atau sentuhan pada cecair selepas batuk atau bersin.

    Tidak ada ubat khusus untuk merawat jangkitan penyakit RSV. Walau bagaimanapun, terdapat tip penjagaan bayi pramatang yang dikongsikan oleh pakar boleh membantu mengurangkan angka kematian bayi akibat penyakit RSV ini.

    Berkongsi mengenai caranya menjaga anak pramatang dijangkiti RSV, Norazleena berkata, dia amat mengutamakan kebersihan tangan, pakaian dan selimut anak mereka.

    Ia bukan sahaja perlu dilakukan oleh ibu bapa, malah ahli keluarga yang lain seperti abang atau kakak, atau mereka yang turut tinggal bersama di rumah.

    Selain itu, elakkan mereka yang mengalami simptom demam teruk daripada mendekati anak anda dan jangan merokok atau menghisap vape di hadapan kanak-kanak yang berisiko.

    Ini kerana, merokok akan melemahkan saluran pernafasan dan struktur paru-paru anak anda.

    bayi pramatang 7 bulan

    Namun begitu, adakah semua ibu bapa sentiasa peka akan jangkitan RSV ini?

    Kepentingan kesedaran RSV dalam kalangan ibu bapa

    “Ramai lagi ibu bapa di luar sana yang mengambil remeh terhadap isu RSV ini.

    Apabila anak mereka demam, mereka menganggap bahawa ia merupakan demam biasa sahaja. Mereka hanya memilih untuk pergi ke klinik tanpa merujuk kepada pakar di hospital,” kata Norazleena lagi.

    Berbeza pula dengan Norazleena sendiri sebagai ibu bayi pramatang 7 bulan, dia akan terus membawa anaknya ke hospital apabila keadaan mereka tidak beransur pulih selepas 2 hari.

    Katanya, kemungkinan kesedaran mengenai RSV ini tidak begitu meluas disebabkan penyebaran maklumat yang terhad mengenai penyakit tersebut di Malaysia.

    Oleh itu, Norazleena sebagai Pengasas BPM telah menjalankan suatu usaha untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bayi pramatang melalui saluran Facebook BPM.

    Untuk makluman anda, organisasi ini telah ditubuhkan pada tahun 2019 dengan bertujuan untuk memberi sokongan fizikal dan mental kepada ibu bapa yang mempunyai bayi pramatang dan menyediakan pendidikan buat mereka.

    Oleh itu, adalah amat penting bagi ibu bapa untuk sentiasa peka terhadap kesihatan bayi pramatang 7 bulan anda. Segeralah membawa anak anda berjumpa dengan pakar di hospital sekiranya keadaan mereka semakin kronik.

    Konklusinya, kelahiran bayi pramatang 7 bulan sememangnya mencabar buat pasangan suami isteri di luar sana. Sudah menjadi lumrah, setiap manusia akan diuji dengan pelbagai jenis dugaan. Namun begitu, percayalah bahawa setiap ujian yang menimpa, pasti terdapat hikmah di sebaliknya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Annes Nadia · Disemak pada 13/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan