backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Bayi Sukar Berak Tak Tahu Punca, Mama Boleh Cuba 7 Petua Ini Di Rumah

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 27/10/2023

    Bayi Sukar Berak Tak Tahu Punca, Mama Boleh Cuba 7 Petua Ini Di Rumah

    Si manja alami masalah sembelit atau sukar untuk membuang air besar, pastinya menimbulkan kegusaran di hati para ibu bapa, betul tak? Jangan risau, kami ada 7 petua bagi bayi berak yang boleh membantu mengatasi keadaan itu.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Bayi sukar berak sebab sembelit?

    Sebelum mengetahui petua bagi bayi berak, jom kita fahami secara ringkas masalah sukar buang air besar yang dialami si kecil ini.

    Sembelit biasanya ditakrifkan apabila si kecil membuang air besar kurang daripada tiga kali seminggu dan mengeluarkan najis yang keras, kering atau merekah permukaannya.

    Pergerakan usus yang jarang, kurang menjadi kebimbangan bagi bayi menyusu badan kerana tabiat membuang air besar yang berbeza.
    Bayi yang berusia lebih 6 minggu, mungkin tidak membuang air besar lebih daripada seminggu.

    Namun, sembelit sering dialami bayi yang mula mengambil makanan pejal dan diberikan susu formula.

    Terdapat juga bayi yang mungkin mengalami sembelit disebabkan oleh masalah perubatan seperti penyakit Hirschprung, hipotiroidisme atau penggunaan ubatan tertentu.

    Berita baiknya, kebanyakan masalah sembelit ini boleh diatasi dengan rawatan di rumah. 

    Baca juga: 

    Tanda bayi alami sembelit

    Berikut beberapa tanda yang perlu diperhatikan jika si manja mengalami sembelit:

    • Masih tidak berak walaupun selepas mencuba remedi di rumah selepas beberapa hari
    • Perubahan konsistensi najis – daripada lembut ke keras
    • Meneran semasa cuba membuang air besar
    • Darah dalam najis
    • Kurang selera makan
    • Perut keras atau buncit
    • Wujud simptom sakit abdomen

    Gejala sembelit pada bayi berbeza-beza bergantung kepada umur dan diet mereka. Pergerakan usus sebelum bayi mula mengambil makanan pejal haruslah lembut, seperti konsistensi mentega kacang atau mungkin lebih cair.

    7 petua bagi bayi berak 

    Rawatan rumah untuk sembelit pada bayi termasuk:

    1.Urutan

    Urutan lembut juga boleh membantu melegakan sembelit.

    Ini adalah cara urutan bayi sembelit:

    • Gunakan hujung jari untuk membuat gerakan membulat pada perut mengikut arah jam
    • Lakukan gerakan membulat sekitar pusat bayi
    • Pegang lutut dan kaki bayi bersama dan tolak perlahan-lahan ke arah perut
    • Berikan tekanan perlahan bermula pada sangkar rusuk ke bawah melepasi pusat dengan bahagian depan jari

    petua bagi bayi berak

    2. Mandian air suam, antara petua bagi bayi berak

    Berikan bayi mandian air suam untuk menenangkan otot perut dan membantu mereka berhenti meneran. Ia juga boleh melegakan ketidakselesaan berkaitan sembelit.

    3. Jus buah 

    Antara cara bagi bayi berak adalah dengan memberikan mereka 1-2 auns jus buah-buahan asli tanpa gula seperti jus prun, pir atau epal.

    Ini kerana gula dalam jus sukar dihadam, membolehkan lebih banyak cecair memasuki usus. Ini dapat membantu meningkatkan kekerapan dan kandungan air dalam najis. Air tambahan ini dapat melembutkan najis.

    Ibu bapa harus berunding dengan pakar pediatrik sebelum memberikan bayi jus buat kali pertama.

    4. Penghidratan 

    Bayi kecil biasanya tidak memerlukan cecair tambahan kerana mereka mendapat penghidratan daripada susu ibu atau susu formula.

    Bagi bayi berusia lebih 6 bulan, yang mula mengambil makanan pejal boleh mendapat manfaat daripada minuman air tambahan antara suapan.

    5. Perubahan diet lain, salah satu petua bagi bayi berak 

    Perubahan diet tertentu boleh membantu melegakan sembelit, tetapi ia bergantung kepada umur dan diet bayi.

    Bayi yang mengambil susu formula mungkin mendapat manfaat dengan mencuba formula yang berbeza. Berundinglah dengan doktor untuk mendapatkan lebih kepastian.

    Si manja yang mengambil makanan pejal, mungkin akan mendapat manfaat daripada pengambilan makanan berserat seperti:

    petua bagi bayi berak

    • Puri brokoli atau lobak merah
    • Bijirin penuh seperti oatmil, gandum atau bijirin barli
    • Puri pic, pir atau prun

    6. Senaman 

    Seperti individu dewasa, senaman dan pergerakan cenderung merangsang usus bayi.

    Bagi bayi yang belum boleh merangkak atau berjalan, ibu bapa boleh membantu mereka bersenam untuk melegakan sembelit.

    Gerakkan kaki bayi secara perlahan semasa mereka berbaring – seperti gerakan mengayuh basikal. 

    Petua bagi bayi berak #7. Mengambil suhu rektum

    Doktor mungkin mengesyorkan untuk mengambil suhu rektum dengan termometer bersih yang dilincirkan untuk membantu pergerakan usus. Doktor boleh menunjukkan cara untuk melakukan kaedah ini dengan selamat.

    Penting untuk ibu bapa tidak menggunakan kaedah ini dengan kerap, kerana ia boleh memburukkan lagi sembelit.

    Kesannya, bayi mungkin mula tidak mahu berak tanpa bantuan, atau mula mengaitkan membuang air besar dengan ketidakselesaan.

    Pemeriksaan doktor

    Amat disarankan untuk membawa bayi mendapatkan pemeriksaan doktor jika mereka terus tidak membuang air besar atau wujud simptom lain seperti:

    petua bagi bayi berak

    • Darah dalam najis
    • Mudah meragam
    • Tanda sakit atau kembung perut yang teruk

    Sekiranya rawatan di rumah tidak berkesan, doktor mungkin akan memberikan preskripsi ubat seperti:

    • Laksatif (julap)
    • Pelembut najis
    • Enema
    • Suppositori

    Kesimpulan 

    Sembelit boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kerengsaan pada bayi. Beberapa petua bagi bayi berak yang dikongsikan di atas dapat membantu mengatasi keadaan tersebut.

    Sekiranya sembelit berterusan walaupun selepas perubahan diet atau disertai dengan gejala lain seperti perut buncit atau muntah-muntah, bawalah si manja untuk pemeriksaan doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 27/10/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan