backup og meta

Ini 6 Teknik Penjagaan Bayi Buat Ibu Bapa Baru, Ambil Tahu Awal, Nanti Senang!

Ini 6 Teknik Penjagaan Bayi Buat Ibu Bapa Baru, Ambil Tahu Awal, Nanti Senang!

Setiap pasangan suami isteri mengimpikan cahaya mata yang sering menjadi simbolik cinta dalam kehidupan berumah tangga. Apa yang ibu bapa baharu mungkin tidak tahu adalah betapa susahnya hendak menguruskan anak terutamanya pada 4 minggu pertama selepas kelahiran bayi. Dalam situasi tersebut, kebanyakan pasangan suami isteri mudah panik memandangkan mereka tidak tahu cara menguruskan anak dengan betul. Artikel ini akan memberikan sedikit pencerahan dan tip kepada pasangan suami isteri baharu berkenaan dengan cara penjagaan bayi baru lahir.

#1. Cara penjagaan bayi baru lahir: pegang dengan betul

Apabila anda melihat si manja buat pertama kalinya, anda pasti berasa teruja.

Mana tidaknya, anda dan pasangan sudah bersabar untuk 40 minggu lamanya menunggu kehadiran cahaya mata yang bakal mengubah corak kehidupan anda.

Jangan lupa untuk mencuci tangan sehingga bersih sebelum anda menyentuh anak anda.

Sistem imun mereka masih lagi sedang terbentuk dan langkah ini boleh menghindarkan jangkitan kuman.

Selain itu, anda juga perlu mempelajari cara penjagaan bayi baru lahir seperti pegang bayi yang betul:

  1. Memegang di bahu
  2. Posisi buaian
  3. Posisi di perut
  4. Pegangan di pinggang
  5. Pegangan muka ke muka
  6. Pegangan kerusi
  7. Pegangan di atas paha
  8. Pegangan bola

Walau bagaimanapun, anda tidak perlu menguasai kesemuanya. 

Pilih sahaja yang mana anda selesa dan ia juga boleh bergantung kepada aktiviti yang ingin anda lakukan seperti mendodoi, menyusu dan sebagainya.

#2. Mandikan bayi anda atau lap badan mereka

cara penjagaan bayi baru lahir

Bergantung kepada situasi, bukan semua bayi perlu mandi setiap hari.

Apa yang perlu anda lakukan adalah bersihkan badan mereka secara kerap menggunakan tuala basah bersih.

Jika anda ingin memandikan anak, pastikan semua peralatan tersedia. Jangan tinggalkan anak anda bersendirian di dalam tab mandi untuk mengambil barang yang anda lupa!

Pastikan suhu air suam (tidak terlalu sejuk atau terlalu panas) dan gunakan sabun dengan pH neutral.

Aktiviti memandikan anak boleh jadi perkara yang menyeronokkan buat anda dan si manja. 

#3. Cara penjagaan bayi baru lahir: jaga tali pusat bayi dengan baik

Tali pusat merupakan struktur anatomi yang paling penting untuk janin di dalam perut memandangkan ia adalah pembekal utama nutrien dan oksigen.

Apabila bayi sudah lahir, struktur ini sudah tidak mempunyai fungsi dan ia akan dipotong, meninggalkan tunggul tali pusat.

Ia akan tertanggal sendiri dalam tempoh 1 hingga 3 minggu selepas lahir.

Mungkin ramai yang menggunakan swab alkohol untuk membersihkan baki tali pusat bayi.

Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan perbuatan itu boleh membunuh bakteria yang membantu tunggul untuk mengering dan tertanggal kelak.

Oleh itu, anda disarankan untuk mendedahkannya pada udara supaya ia kekal kering dan lipat sedikit lampin yang dipakai bayi supaya ia tidak menutupi struktur tersebut.

#4. Urutan lembut dan refleksologi boleh membantu perkembangan fizikal

cara penjagaan bayi baru lahir

Urutan bayi boleh memberikan pelbagai jenis kebaikan dari aspek perkembangan fizikal dan mental bayi.

Menurut Persatuan Urutan Bayi Antarabangsa (IAIM), aktiviti ini boleh merangsang perkembangan sistem pencernaan dan aliran darah bayi.

Ini boleh menghindarkan keadaan kesihatan seperti:

  1. Kram
  2. Gas
  3. Kolik (tangisan kuat dan berpanjangan dalam kalangan bayi yang sihat)
  4. Sembelit

Urutan bayi juga boleh membantu melegakan ketegangan otot, kesakitan tumbuh gigi dan merangsang tumbesaran bayi pramatang.

#5. Cara penjagaan bayi baru lahir: Pilih pakaian yang sesuai 

Pakaian yang dikenakan terhadap bayi anda perlulah memberikan keselesaan untuk mereka bergerak bebas.

Apabila mereka baru lahir, bayi boleh dibedung untuk memberikan keselesaan kepada mereka.

Teknik membedung, secara ringkasnya adalah membalut badan, kaki dan tangan bayi menggunakan selimut atau kain lembut.

Ia merupakan salah satu cara untuk mengehadkan pergerakan bayi terutamanya apabila mereka mudah tersentak dengan bunyi atau pergerakan di sekeliling (refleks Moro).

Jika mereka tidak dibedung pada peringkat awal, mereka mudah terjaga daripada tidur disebabkan oleh refleks tersebut.

Perkara ini boleh mengganggu tidur yang merupakan elemen terpenting bagi bayi untuk membesar.

#6 Tidurkan bayi anda dan beri susu badan apabila mereka lapar

cara penjagaan bayi baru lahir

Dalam tempoh 24 jam, bayi yang berusia sehingga 3 bulan lazimnya perlu mendapatkan tidur yang cukup di antara 14 hingga 17 jam.

Perkara ini tidak bermakna mereka perlu tidur secara berterusan sehingga 14 jam.

Kebanyakan daripada bayi mempunyai masa tidur pendek 2 hingga 3 kali sepanjang hari dan tidur malam yang panjang.

Jika mereka mengantuk atau sedang tidur, jangan pula anda kejutkan untuk bermain dengan mereka.

Ini antara cara penjagaan bayi baru lahir paling penting.

Tidur sangat penting untuk memastikan tumbesaran si manja berada pada tahap yang optimum.

Jika bayi lapar (mempunyai refleks hisap, menangis dan sebagainya), berikan susu ibu dan elakkan pemberian makanan atau minuman lain untuk 6 bulan pertama.

Kebiasaannya mereka akan menyusu setiap 2 hingga 3 jam sekali dalam tempoh 10 hingga 20 minit bagi setiap penyusuan.

Selepas menyusu, jangan lupa untuk sendawakannya!

Konklusi

Anda boleh mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman atau doktor sekiranya keliru dalam menempuhi cabaran sebagai ibu bapa baharu.

Memang tidak dinafikan, peranan ibu bapa dalam cara penjagaan bayi baru lahir bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk dilaksanakan.

Jika anda rasa ia terlalu berat, jangan malu untuk meminta pertolongan.

[embed-health-tool-baby-poop-tool]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Washing and bathing your baby. (https://www.nhs.uk/conditions/baby/caring-for-a-newborn/washing-and-bathing-your-baby/). Diakses pada 18 Januari 2021.
  2. Penjagaan bayi baru lahir: Strategi bagi ibu bapa yang tertekan. (http://www.myhealth.gov.my/penjagaan-bayi-baru-lahir-strategi-bagi-ibu-bapa-yang-tertekan/). Diakses pada 18 Januari 2021.
  3. Colic. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/colic/symptoms-causes/syc-20371074). Diakses pada 18 Januari 2021.
  4. Swaddling, a child care practice: historical, cultural and experimental observations. (https://pediatrics.aappublications.org/content/35/3/521). Diakses pada 18 Januari 2021.
  5. Sleep and Your 1- to 3-Month-Old. (https://kidshealth.org/en/parents/sleep13m.html). Diakses pada 18 Januari 2021.

Versi Terbaru

29/09/2022

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Jom Belajar Cara Urut Si Manja, Manfaat Bukan Untuk Bayi Saja, Tapi Juga Ibu

Hidung Tersumbat Buat Bayi Tidak Mahu Menyusu? Ini Cara Rawatan Di Rumah


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 29/09/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan