backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Pantang Larang Bayi Hidap G6PD, Si Kecil Tak Boleh Makan Ini, Mak Ayah Kena Alert!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 01/09/2022

    Pantang Larang Bayi Hidap G6PD, Si Kecil Tak Boleh Makan Ini, Mak Ayah Kena Alert!

    Pernahkah anda dengar mengenai penyakit G6PD atau glucose-6-phosphate dehydrogenase deficiency?

    Penyakit ini turut dikenali sebagai ‘favism’ kerana kebanyakan pesakit G6PD alah kepada kacang fava atau kacang parang.

    G6PD merupakan satu penyakit yang berlaku secara turun temurun dan boleh menyebabkan pesakit alami hemolisis, terutamanya selepas terdedah kepada beberapa jenis jangkitan, makanan ataupun ubat-ubatan.

    Ibu bapa mana yang tidak risau jika anak mereka didiagnosis dengan penyakit G6PD.

    Baca lebih lanjut tentang Keibubapaan di sini.

    Usah risau, pesakit G6PD sebenarnya boleh hidup sihat seperti orang lain jika mereka kekal berpantang serta tidak mengambil makanan dan ubat-ubatan tertentu.

    Oleh sebab itu, ia mungkin menjadi cabaran untuk ibu bapa dalam penyediaan makanan lebih-lebih lagi jika anda tidak pasti apa sebenarnya yang boleh menyebabkan anak anda diserang anemia.

    Namun, sebelum itu mari kita baca serba sedikit tentang penyakit G6PD dalam kalangan kanak-kanak dan simptom-simptomnya.

    Apa sebenarnya penyakit G6PD?

    Kekurangan G6PD merupakan satu penyakit genetik yang lazim berlaku dalam kalangan lelaki.

    Penyakit ini berlaku apabila badan tidak mempunyai sejenis enzim yang dikenali sebagai glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD).

    Enzim ini mempunyai fungsi yang amat penting iaitu melindungi darah daripada pecah ketika ia sedang melawan jangkitan atau ketika mereka mengambil ubat-ubatan tertentu.

    Dalam kalangan pesakit G6PD, enzim ini tidak dihasilkan dengan cukup atau tidak dapat berfungsi dengan baik. Masalah yang sering dihadapi oleh pesakit ialah anemia hemolitik dan jaundis yang berpanjangan.

    Jaundis yang berpanjangan merupakan kondisi perubatan yang amat lazim dalam kalangan bayi yang baru lahir. Ini akan menyebabkan mereka mudah terdedah kepada komplikasi lain.

    Anemia pula akan berlaku apabila badan pesakit tidak lagi mampu untuk menggantikan darah yang hilang.

    Individu yang menghidap G6PD mempunyai kondisi ini sejak lahir. Walau bagaimanapun, bukan semua pesakit G6PD terkesan dengan penyakit ini dengan cara yang sama.

    Simptom yang perlu ibu bapa perhatikan

    Anak anda mungkin menghidap hemolisis jika:

    1. Muka mereka pucat. Anemia akan menyebabkan kulit menjadi pucat akibat kekurangan darah.
    2. Mata dan lidah yang kekuning-kuningan. Mereka yang menghidap G6PD akan alami jaundis ketika darah merah dalam badan mereka mula pecah.
    3. Air kencing berwarna coklat atau kuning gelap.
    4. Rasa letih.
    5. Susah bernafas dan degupan jantung laju.
    6. Demam.

    Kanak-kanak yang diserang anemia hemolitik mungkin akan mengalami peningkatan suhu dalam masa 24 hingga 48 jam seterusnya.

    Mereka juga akan jadi letih, rasa loya dan alami cirit birit. Dalam masa 6 hingga 24 jam, air kencing mereka akan jadi amat gelap dan wajah mula kelihatan pucat.

    Jika anak anda mempunyai  kekurangan G6PD dan mengalami simptom di atas, pastikan anda membawanya berjumpa doktor secepat mungkin.

    Dalam kes yang teruk, pesakit boleh menghidap hypovolemic shock akibat kehilangan darah dan cecair yang terlalu banyak daripada badan.

    Apa yang pesakit G6PD harus elakkan?

    Kepada ibu bapa, anda tidak perlu terlalu risau tentang keadaan anak anda kerana kebanyakan kanak-kanak dapat hidup seperti biasa walaupun mengalami G6PD.

    Namun, ada beberapa jenis ubat dan makanan yang boleh menyebabkan sel darah merah dalam badan pecah.

    Oleh sebab itu, mari kita lihat beberapa jenis makanan dan ubat-ubatan yang tidak boleh diambil oleh pesakit G6PD:

    1. Kacang parang

    penyakit g6pd

    Hati-hati ya, jangan pernah bagi anak anda makan kacang parang! Pesakit G6PD boleh menghidap favism iaitu anemia hemolitik selepas makan kacang parang.

    Pada awalnya, pakar tidak tahu wujudnya favism dalam kalangan mereka yang mempunyai G6PD. Mereka sangkakan reaksi ini terhasil akibat alergi terhadap debunga.

    Walau bagaimanapun, setelah kajian selama bertahun-tahun dijalankan, mereka berjaya mengenal pasti bahan kimia yang bertanggungjawab iaitu vicine dan convicine.

    Kedua-dua bahan kimia ini dapat ditemui dengan konsentrasi yang amat tinggi di dalam kacang parang, namun tidak di dalam kekacang jenis lain.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, elakkan makan makanan yang berasaskan soya. Selain itu, jangan makan makanan yang diperbuat dengan tepung yang mengandungi kacang parang.

    2. Ubat anti malaria

    penyakit g6pd

    Primaquine, sejenis ubat anti malaria didapati dapat mencetuskan anemia hemolitik dalam kalangan pesakit G6PD.

    Ubat ini merupakan satu-satunya ubat yang dapat menyingkirkan parasit malaria yang dorman daripada badan pesakit. 

    Malah, ubat ini amat penting untuk mengelakkan malaria daripada menjangkiti pesakit semula.

    Disebabkan kepentingan ubat ini dalam menyembuhkan malaria, ia sering diberikan kepada pesakit sebagai rawatan utama.

    Namun, WHO telahpun mengeluarkan rekomendasi atas penggunaan primaquine. Menurut mereka, ubat ini tidak boleh digunakan ke atas mereka yang mempunyai penyakit G6PD.

    Selain itu, ada sesetengah air tonik yang mengandungi quinine. Oleh sebab itu, berhati-hati sebelum membeli air tonik dan baca dulu senarai ramuan untuk pastikan makanan tersebut selamat.

    3. Naftalena dalam ubat gegat

    Naftalena mungkin merupakan salah satu perkara yang ibu bapa kepada anak-anak penyakit G6PD boleh terlepas pandang.

    Bahan kimia yang terkandung dalam ubat gegat boleh menyebabkan pesakit G6PD diserang anemia hemolitik. 

    Bau ubat gegat juga kadangkala cukup untuk mencetuskan reaksi yang sama.

    Selain itu, anak anda juga mungkin tidak boleh menggunakan ubat gigi yang mempunyai pudina. Mereka juga perlu elak daripada makan gula-gula yang berperisa menthol.

    Kesimpulannya, anak dengan penyakit G6PD boleh hidup normal seperti kanak-kanak lain, cuma ibu bapa perlu ‘alert’ dengan pantang larang yang perlu dipatuhi di atas.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 01/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan