Di sebalik semua kemudahan itu, masih ada segelintir kumpulan di dalam masyarakat yang memilih untuk tidak memberikan anak-anak mereka vaksin. Ada beberapa sebab dan faktor. Mari kita lihat apakah yang menjadi kebimbangan dan pegangan golongan ini.
1. Vaksin mengandungi bahan-bahan yang kotor
Bercakap tentang kotor, kandungan suntikan ini hakikatnya adalah air dan bahagian daripada bakteria atau virus terbabit. Ada juga beberapa bahan tambahan lain seperti merkuri dan aluminium yang bertujuan untuk memelihara dan membantu meningkatkan keberkesanannya.
Walau bagaimanapun, jangan bimbang. Bahan-bahan tambahan ini tidak berkumpul di dalam badan anak anda dan kadarnya adalah sangat sedikit. Lebih baik anda bimbangkan kandungan gula dan garam dalam makanan yang anda berikan pada mereka setiap hari.
2. Tidak halal kerana mengandungi bahan daripada khinzir
Soal hukum dalam agama ini tidak boleh diambil daripada sembang-sembang di kedai kopi atau di laman sosial. Ia harus berpandukan kepada ahlinya. Bagi menjawab persoalan hukum, Mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri telah menjawab menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Kata beliau, vaksin adalah satu keperluan di dalam masyarakat. Sesetengah vaksin yang mengandungi bahan daripada khinzir telah dirawat dengan bahan kimia, menjadikan ia halal untuk diambil.
3. Anak saya sihat, kenapa perlu dicucuk?
Konsep penting yang perlu difahami adalah vaksin tidak merawat, sebaliknya mencegah. Kalau selepas sakit baru tindakan diambil, namanya adalah rawatan.