Dalam keadaan seperti leukemia, anemia berlaku akibat daripada pencerobohan atau pengumpulan sel kanser dalam sumsum tulang sehingga penghasilan sel darah merah menjadi terencat. Antara simptom anemia yang perlu anda perhatikan dalam anak-anak anda adalah:
- Kerap merasa letih dan lesu
- Senang tercungap-cungap apabila melakukan aktiviti fizikal sederhana
- Jantung berdebar-debar
- Rasa sakit atau pening kepala
- Kulit menjadi pucat
3. Mudah untuk lebam dan berdarah
Salah satu komponen penting yang dihasilkan oleh sumsum tulang adalah platelet. Platelet berfungsi untuk menutup luka, menutup kebocoran dalam salur darah dan menghalang pendarahan. Apabila sumsum tulang dicerobohi oleh sel-sel kanser leukemia, ia mengganggu semua fungsi sintetik sumsum tulang termasuklah keupayaan untuk menghasilkan platelet. Oleh yang demikian, penghidap leukemia akan mudah mendapat kesan lebam pada badan mereka akibat daripada gangguan keupayaan platelet ini. Mereka juga boleh mengalami pendarahan di gusi dan juga melalui hidung mereka.
4. Kerap mendapat jangkitan
Tanda ini merupakan satu tanda yang agak ironik untuk penghidap leukemia kerana dalam badan mereka terdapat jumlah sel darah putih yang cukup banyak. Sel darah putih adalah komponen penting dalam sistem imun badan kerana ia memainkan peranan untuk melindungi badan kita daripada jangkitan.
Namun yang demikian, sel-sel darah putih yang terhasil dalam leukemia bukanlah sel-sel darah putih yang normal ataupun matang.
Oleh yang demikian, ia tidak mampu untuk melawan jangkitan, menyebabkan seseorang itu kerap mendapat dijangkiti patogen. Jika anak anda kerap mendapat jangkitan, itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem imun mereka.
5. Sakit sendi dan tulang
Kanak-kanak yang menghidap leukemia boleh mengalami rasa sakit pada bahagian sendi dan juga tulang mereka. Simptom ini terjadi akibat daripada pengumpulan sel-sel kanser di bahagian permukaan tulang atau di dalam sendi itu sendiri.
6. Kelenjar membengkak
Selain sumsum tulang, kelenjar (lymph nodes) juga boleh mengalami pengumpulan sel-sel kanser. Kanak-kanak ataupun ibu bapa mungkin akan perasan kewujudan benjolan atau pembengkakan kelenjar ini di bahagian leher, sekitar tulang selangka (clavicle), celah kangkang dan juga di bahagian ketiak.
Kelenjar di bahagian dada (thymus) dan leher yang membengkak berupaya untuk menghalang peraliran darah dan juga saluran pernafasan. Ini boleh menyebabkan anak-anak anda berdengkur ketika tidur, mempunyai masalah tidur (rasa letih selepas bangun tidur), sukar untuk bernafas dan muka mereka menjadi merah dan membengkak.
7. Abdomen membesar
Seperti yang disebut sebelum ini, sel-sel leukemia boleh terkumpul di dalam organ-organ abdomen dan terus membahagi, menyebabkan organ-organ tersebut menjadi besar. Ini menyebabkan rasa ‘penuh’ atau kembung pada bahagian abdomen penghidap.
Dengan teknik pemeriksaan dan sentuhan tertentu, doktor akan dapat merasai dan mengukur pembesaran organ seperti hati dan limpa.
Sekali lagi diingatkan, kewujudan simptom-simptom ini tidak menjamin kewujudan leukemia kerana ia juga boleh berlaku dalam beberapa penyakit yang lain.
Sebaliknya, ia bertujuan untuk membolehkan ibu bapa lebih cakna tentang perubahan pada anak-anak mereka dan untuk mendapatkan perhatian doktor pada peringkat yang awal.
Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan berkaitan dengan simptom yang dialami oleh anak-anak anda, segera berjumpa dengan doktor.
Hello Doktor tidak memberi sebarang nasihat perubatan ataupun rawatan.