Ada kalanya untuk jaga anak memerlukan kesabaran yang tinggi. Apatah lagi jika perlu menjaga si kembar, maka akan bergandalah tahap kesabaran yang diperlukan, betul tak?
Tidak dinafikan setiap parents mempunyai cara tersendiri dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Tiada betul atau salah dalam soal ini kerana ia perlu mengikut kesesuaian diri dan juga anak.
Jadi untuk kali ini, penulis akan berkongsikan pengalaman seorang ibu, Noor Ashykin Abdul Razak (36) atau lebih dikenali dengan panggilan Ekin dalam membesarkan 3 orang cahaya mata – yang sulung dan 2 anak kembar.
Adakah pengalaman ibu ini sama seperti anda? Ayuh teruskan pembacaan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Perbezaan pengalaman kehamilan
Mengimbau kembali pengalaman sewaktu hamilkan anak kembar, Ekin mengakui wujud perbezaan ketara berbanding ketika mengandungkan cahaya mata pertama.
“Masa hamilkan anak pertama Afiq Najmi, usia Ekin 28 tahun dan sejujurnya tiada langsung mengalami alahan teruk.
Tetapi berbeza semasa mengandungkan si kembar, Afina Aulia dan Afira Aulia setahun kemudian, Ekin berdepan alahan kehamilan teruk sehinggakan pernah dimasukkan ke hospital untuk drip air. Setiap masa rasa nak mual dan muntah,” tambah Ekin.
Menurut Ekin, dia dan suaminya Mohd Hairul Mohd Janizan, 39, tidak merancang atau terfikir untuk mendapatkan anak kembar. Bahkan masa diberitahu oleh doktor pun, mereka sebenarnya amat terkejut. Lebih-lebih lagi apabila anak yang sulung baru berusia setahun.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Namun Ekin mengakui, rezeki dikurniakan anak kembar ini mungkin disebabkan keturunan keluarga, sama ada sebelah pihaknya atau suami memang ramai anak kembar – emak dan bapa saudara, anak buah serta sepupu.
Jaga anak sulung & si kembar
Ekin menjelaskan, kedua-dua anak kembarnya yang kini berusia 7 tahun bukanlah kembar seiras. Secara tidak langsung keadaan ini menyenangkan dirinya, suami dan anak sulung mereka untuk membezakan yang mana satu Afina dan Afira.
“Perbezaan pada si kembar bukan sahaja pada wajah, malahan suara mereka juga berlainan. Jadi apabila mereka bercakap, tidak sukar untuk menentukan sama ada Afina atau Afira,” ujar Ekin.
Orang selalu mengatakan untuk menjaga dan membesarkan anak kembar dan bukan kembar adalah berbeza. Namun bagi Ekin, tiada perbezaan ketara yang dirasai dirinya.
Ekin menjelaskan keadaan ini kerana walaupun anaknya kembar tetapi dari aspek cara jaga anak adalah seperti bukan kembar. Ia disebabkan Afina dan Afira mempunyai minat yang berbeza, jadi kalau ingin membeli barang apa pun, tidak semestinya perlu sama.
Si kembar uji kesabaran
Namun Ekin tidak menafikan, ada masanya kesabaran membesarkan anak kembar teruji terutama apabila kedua-duanya bergaduh.
“Kalau masuk bab bergaduh, memang lain macam sikit dengan anak kembar ini, boleh pening kepala jadinya.
“Tersentuh tidak boleh, terpandang muka apatah lagi. Biasanya kalau kedua-duanya tidak mahu mendengar cakap, Ekin akan minta si abang untuk selesaikan. Ini kerana Afina dan Afira takut sikit dengan abangnya,” jelas Ekin.
Menurut ibu anak 3 ini, anak sulung yang kini berusia 8 tahun tampak lebih matang dan boleh dipercayai untuk menjaga adik-adiknya, walaupun perbezaan umur mereka hanyalah setahun.
Baca juga: