backup og meta

Latih Anak Berdikari, Ibu Ini Kongsi 3 Tip Didik Anak Sulung Jaga Adik-adik!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/12/2022

    Latih Anak Berdikari, Ibu Ini Kongsi 3 Tip Didik Anak Sulung Jaga Adik-adik!

    Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada dua tahun lepas, kebanyakan kita mengeluh. Namun bagi ibu anak lima ini, ia membawa hikmah tersendiri apabila dalam tempoh itu, anak-anaknya belajar berdikari sepenuhnya.

    Mungkinkah pengalaman ibu ini sama dengan kebanyakan parents di luar sana?

    Tanpa membuang masa lagi, jom kita ikuti kisah seorang ibu bernama Siti Syazana Haji Mohd Supian, 34, yang lebih mesra dengan panggilan Zana.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Tuntutan kerja memerlukan anak belajar berdikari

    Sejak dari awal perkahwinan lagi, Zana sudah mula bekerja sendiri dengan melakukan perniagaan menjual pakaian di butik yang terletak di Bandar Bukit Mahkota, Bangi. 

    Manakala suaminya Ahmad Redzuan Haji Che Ros atau lebih dikenali dengan panggilan Wan, 34, bekerja sebagai pengawal peribadi kepada individu kenamaan sebelum memutuskan untuk berhenti kerja kerana ingin memfokuskan kepada perniagaan.

    Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata; Muhammad Iskandar Zulkarnain, 7, Muhammad Umar Mahdi, 6 Nur Raudhah Tihani, 1, dan Muhammad Abu Dzar Azir, yang pada ketika itu baru dilahirkan.

    Menurut Zana, “Sekitar tahun 2015, selepas Wan berhenti kerja, kami memutuskan untuk menutup butik dan memberi tumpuan 100% kepada berniaga di luar dengan membuka booth.”

    Selepas ketiadaan pembantu rumah yang berhenti setahun sebelum itu, Zana akui wujud kekangan masa untuk berniaga di luar kawasan terutamanya pada hujung minggu. 

    Ini kerana ketiadaan individu untuk menjaga anak-anak di rumah, sekali gus menyukarkan pasangan ini untuk menyertai event jualan di lokasi yang agak jauh. 

    belajar berdikari
    Ahmad Redzuan Haji Che Ros dan Siti Syazana Haji Mohd Supian ketika berniaga di booth.

    Namun ujar Zana, pada hari biasa tidak begitu banyak masalah kerana mereka akan menyelesaikan urusan persekolahan anak-anak terlebih dahulu sebelum keluar berniaga antara jam 9 atau 10 pagi.

    Tamat persekolahan sesi pagi, anak-anaknya akan diambil oleh pihak transit dan terdapat pengangkutan tersedia untuk menghantar mereka ke sesi persekolahan seterusnya pada waktu petang.

    Selain daripada menjual aksesori pakaian muslimah, Zana juga secara sambilan ada menerima tempahan membuat kek dan pastri.

    Mula dididik untuk belajar berdikari sendiri

    Zana menjelaskan “Sebenarnya anak-anak telah diajar untuk berdikari dari awal ketika Zana masih mempunyai butik. Pada ketika itu Iskandar berusia 6 tahun dan Umar 5 tahun.”

    “Mereka sudah biasa untuk menguruskan diri sendiri cumanya masih di dalam pemantauan. Disebabkan itulah Zana melihat Iskandar dan Umar cepat matang dari tahun ke tahun.”

    Baca juga:

    Tempoh PKP, ajar anak lebih belajar berdikari

    Bagi Zana, tempoh PKP merupakan titik tolak permulaan untuk anaknya lebih belajar berdikari sendiri dan faham tanggungjawab sebagai anak lelaki sulung dengan belajar menjaga adik-adiknya. Tambahan lagi, beberapa bulan sebelum PKP diumumkan, Zana telah selamat melahirkan zuriatnya yang kelima, Muhammad Ali Ukasyah.

    “Boleh dikatakan Iskandar menggalas tugasan yang besar sebagai anak lelaki sulung pada tempoh PKP itu. Ini kerana kami suami isteri terpaksa meninggalkan mereka di rumah untuk membuat penghantaran tempahan kek,”, ujar Zana. 

    Pada ketika itu kerajaan mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan membawa anak-anak keluar untuk penghantaran.

    Zana juga turut mengharap pada Umar bersama-sama dengan Iskandar untuk menjaga adik-adik mereka memandangkan perbezaan usia kedua-dua anak lelakinya hanyalah setahun.

    “Oleh sebab terpaksa tinggalkan Ali yang masih kecil bersama abang-abangnya semasa PKP, mereka sudah pandai untuk melakukan tugasan seperti memandikan, menukar lampin, memberi susu dan menidurkan adiknya,” jelas Zana.

    3 tip untuk anak belajar berdikari

    Berikut antara cara yang dilakukan Zana untuk mendidik anak-anaknya berdikari sendiri:

    1. Tugasan mudah

    Semasa ketiadaan dia dan suami di rumah, Zana memberitahu, anak-anaknya tidaklah dibebani tugasan yang berat. Sebaliknya apa yang dilakukan adalah mengikut kemampuan mereka.

    “Sebagai contoh, untuk makan tengah hari, Zana biasanya akan menyediakan siap-siap lauk dan nasi. Jika perlu Iskandar dan Umar akan menggoreng telur, nugget atau memasak mi segera untuk adik-adiknya.”

    “Selain itu, anak-anak juga akan membantu tugasan rumah lain seperti membasuh pakaian dan memastikan rumah sentiasa kemas serta tidak bersepah apabila ibu dan ayah pulang ke rumah.”

    Anak belajar berdikari 2. Tidak memaksa

    Apabila Iskandar mengadu bahawa dirinya penat, Zana akan menyuruh dia berehat dan tidak perlu melakukan tugasan lain seperti mengemas rumah, cukup sekadar tolong menjaga adik-adiknya.

    Jika makanan tidak sempat dimasak, Zana dan suami akan memastikan mereka membuat tempahan makanan (order delivery) untuk anak-anak di rumah.

    belajar berdikari

    3. Tanda penghargaan

    Bagi menghargai anak-anak yang sanggup bersama-sama melakukan tugasan rumah dan berdikari sendiri, Zana akan memastikan ucapan terima kasih dan pujian diberikan kepada mereka secara berdepan.

    Ada kalanya Zana dan suami juga akan memberikan anak hadiah sebagai tanda penghargaan kerana memahami situasi ibu dan ayah yang perlu bekerja.

    Bangga anak mampu belajar berdikari

    Sebagai ibu sudah tentu Zana bangga apabila anak-anak dapat memahami situasi yang dihadapi dirinya dan suami apabila perlu keluar bekerja.

    “Sepanjang tempoh PKP lepas, arwah ayah mertua Zana yang menghidap strok turut tinggal bersama kami. Apa yang membuatkan Zana lebih bangga apabila anak-anak turut membantu Atok mereka menguruskan diri apabila kami terpaksa keluar membuat penghantaran.”

    Kini Iskandar dan Umar, masing-masing sudah pun berusia 14 dan 13 tahun serta bersekolah di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub, Pahang. 

    belajar berdikari
    Muhammad Iskandar Zulkarnain (kiri), Muhammad Abu Dzar Azir (dua, kanan) dan Nur Raudhah Tihani, sudah mampu berdikari dan memikul tugas menjaga adik-adik semasa ketiadaan ibu bapa.

    Manakala Raudhah yang kini berusia 8 tahun juga semakin matang dan dapat membantu menguruskan perihal persekolahan adiknya, Aziz, 7 tahun. Manakala Ali, 3 dihantar ke rumah pengasuh.

    Berikan kepercayaan kepada anak

    Zana tidak menafikan, sebagai ibu bapa akan wujud rasa risau untuk melepaskan anak belajar berdikari. Tetapi dalam masa yang sama, kita perlu percaya dan yakin dengan kemampuan anak-anak.

    “Membenarkan anak berdikari bukanlah bermaksud kita melepaskan 100% tanggungjawab. Namun ia harus berlandaskan niat untuk mengajar anak faham mengenai tugas sebagai anak, abang dan kakak serta ke atas diri sendiri. 

    “Tetapi dalam masa yang sama kita perlu sentiasa memastikan keselamatan anak-anak, keadaan rumah dan persekitaran untuk menghindari perkara tidak diingini daripada berlaku,” ujar Zana mengakhiri temu bual.

    Semoga perkongsian ini dapat menjadi titik tolak untuk anda pula dalam mendidik si kecil berdikari sendiri, terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak sulung lelaki mahupun perempuan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan