JANGAN Abaikan Jika Strok Mini Menyerang, Anda Berisiko Alami Strok Kekal Dalam Tempoh Setahun!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 09/11/2021

    JANGAN Abaikan Jika Strok Mini Menyerang, Anda Berisiko Alami Strok Kekal Dalam Tempoh Setahun!

    Pernahkah anda dengar mengenai strok mini? Seperti namanya, serangan strok ini yang turut dikenali dengan nama transient ischemic attack (TIA) ialah satu keadaan yang menyebabkan pesakit mengalami beberapa simptom strok.

    Namun, simptom yang dialami pesakit tidak serius dan tidak akan menyebabkan kerosakan pada sel otak ataupun mengakibatkan sebarang kecacatan kekal.

    Walau bagaimanapun, itu tidak bermaksud strok mini boleh dipandang ringan. Untuk pengetahuan anda, TIA merupakan salah satu tanda awal strok.

    Hampir 1/3 daripada mereka yang pernah mengalami TIA akan alami strok pada masa akan datang. Risiko strok adalah paling tinggi selepas 48 jam setelah pesakit alami serangan strok mini.

    Manakala, menurut statistik, hampir separuh daripada individu yang pernah mengalami TIA akan diserang strok dalam jangka masa setahun.

    Strok mini merupakan satu amaran awal yang menandakan strok akan menyerang pada kemudian hari.

    Oleh sebab itu, pesakit yang pernah diserang strok mini perlu mengambil langkah proaktif dengan mendapatkan rawatan dalam kadar yang segera.

    Sukar bercakap setelah alami strok mini

    punca strok

    Selepas diserang strok mini, ramai pesakit yang mendapati diri mereka sukar untuk bercakap. Selain itu, mereka juga sukar untuk mengingat perkataan tertentu.

    Masalah pertuturan ini turut dikenali dengan nama dysphasia. Malah, dysphasia kadangkala merupakan satu-satunya simptom yang dialami oleh pesakit yang diserang strok mini.

    Kajian mendapati, hampir 90% kes strok dan TIA adalah disebabkan oleh saluran darah yang tersumbat.

    Ketika diserang TIA, salah satu daripada salur darah yang membekalkan oksigen ke bahagian otak menjadi tersumbat.

    Darah beku ataupun plak yang menghalang salur darah ini pula selalunya bukan berasal dari kawasan otak itu sendiri.

    Sebaliknya, ia telah terbentuk pada kawasan lain, tercabut pada tempat asalnya dan bergerak mengikut pengaliran darah hinggalah ia sampai pada kawasan otak.

    Walaupun darah beku merupakan punca utama yang menyebabkan salur darah tersumbat, gumpalan lemak dan buih udara yang bersaiz kecil juga boleh menyebabkan serangan strok mini.

    Amalan merokok, berat badan berlebihan, kolesterol tinggi, minum minuman beralkohol dan diabetes merupakan antara faktor dan punca yang menggalakkan pembentukan plak pada salur darah, yang boleh meningkatkan risiko strok mini.

    Selain itu, mereka yang berumur 55 tahun ke atas dan berasal daripada keturunan orang Asia, Afrika ataupun Caribbean mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami TIA.

    Strok mini merupakan satu kecemasan

    punca strok

    Walaupun simptom dan gejala TIA akan hilang dalam jangka masa 24 jam, strok mini merupakan satu kecemasan dan tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang rawatan.

    Tindakan pantas adalah kunci utama untuk mencegah strok daripada berlaku pada masa hadapan. Rawatan untuk TIA paling efektif jika diberikan secepat mungkin.

    Menurut Dr. Brett Cucchiara daripada Penn Medicine, ramai orang yang mengabaikan simptom strok mini kerana kebanyakannya akan hilang dalam masa sehari.

    Dianggarkan 1 dalam 10 pesakit yang pernah diserang TIA akan mengalami strok dalam masa setahun.

    Tidak selamat jika pesakit menunda rawatan kerana strok mini merupakan tanda amaran serangan strok yang boleh membahayakan nyawa akan berlaku dalam masa terdekat.

    Jika anda mempunyai simptom yang menandakan strok mini, jangan berlengah lagi untuk berjumpa dengan doktor.

    Mereka yang pakar boleh membantu untuk merangka pelan yang bersesuaian dengan anda supaya risiko strok pada masa hadapan boleh diturunkan.

    Gunakan kaedah F-A-S-T untuk kenal pasti strok

    Kaedah ini merupakan cara yang termudah untuk kenal pasti sama ada seseorang itu sedang diserang strok ataupun strok mini.

    • F- Face drooping: Muka melorot ke bawah
    • A- Arm weakness: Lengan sukar untuk digerakkan
    • S- Speech slurred: Tidak boleh bercakap dengan baik
    • T- Time: Masa untuk menelefon 999!

    Jika seseorang yang anda sayangi mengalami tanda-tanda di atas, jangan abaikannya dan bawa mereka ke hospital secepat mungkin.

    Bila anda perlu berjumpa doktor

    punca strok

    Individu yang diserang TIA mungkin rasa keliru ketika mereka merasakan simptomnya buat pertama kali.

    Oleh sebab itu, ramai yang rasa ragu dan tidak pasti sama ada mereka perlu berjumpa dengan doktor ataupun tidak disebabkan serangannya yang pendek dan sekejap.

    Pesakit yang disyaki diserang TIA mungkin akan diberikan aspirin sebagai salah satu langkah untuk mengelakkan strok.

    Walaupun simptom dan tanda strok mini hilang sebelum bantuan kecemasan tiba, pesakit masih perlu diperiksa di hospital.

    Sama jugalah jika anda pernah mengalami TIA sebelum ini namun tidak pernah mendapatkan khidmat nasihat perubatan mengenai kondisi tersebut.

    Gaya hidup tidak sihat punca strok

    Pesakit yang mengalami TIA atau strok mini berkemungkinan akan mendapat nasihat yang berkisar mengenai perubahan dari segi gaya hidup.

    Berhenti merokok, cuba bersenam dengan kerap, amalkan diet yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, elakkan ambil terlalu banyak garam dan makanan berlemak merupakan antara nasihat yang mungkin pesakit terima.

    Menurut sebuah kajian, lelaki lebih berisiko untuk diserang strok mini berbanding wanita. Selain itu, atas sebab yang tidak diketahui, ramai individu mengalami serangan strok pada hari Isnin.

    Di samping itu, doktor juga mungkin akan mencadangkan pengambilan ubat-ubatan tertentu untuk merawat punca TIA yang dialami.

    Walau bagaimanapun, ada pesakit yang mungkin memerlukan pembedahan yang dikenali sebagai carotid endarterectomy.

    Prosedur ini dilakukan untuk membuang plak yang tersumbat pada kawasan arteri yang membekalkan darah kepada otak.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 09/11/2021

    Iklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    Iklan
    Iklan
    Iklan