Ketika si manja berusia 6 bulan, anda akan memperkenalkan makanan pejal kepadanya. Kemudian anda harus mempelbagaikan tekstur makanan bayi 8 bulan dan ke atas. Ini penting untuk perkembangan mereka.
Teruskan membaca untuk mengetahui lebih mendalam mengenainya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Kepentingan mempelbagaikan tekstur makanan bayi
Semasa memberikan puri sebagai makanan pejal si manja, pastikan ia adalah satu fasa singkat.
Ini kerana berdasarkan penyelidikan, bayi yang diperkenalkan dengan makanan bertekstur seawal usia 9 bulan akan kurang mengalami masalah penyusuan dan lebih mudah menerima makanan.
Disebabkan itu, anda perlu menukar secara perlahan-lahan konsistensi makanan si kecil. Jika tidak mereka akan terbiasa dengan hanya menelan dan tidak belajar untuk mengunyah.
Mempelajari cara memakan makanan yang bertekstur akan membantu menguatkan otot rahang bayi. Ia juga merupakan sebahagian daripada proses perkembangan lebih besar, yang melibatkan cara belajar bercakap.
Baca juga:
Tanda si kecil bersedia
Petunjuk paling penting bayi sudah bersedia untuk diberikan makanan lebih bertekstur adalah:
- Bayi boleh menerima puri halus yang pekat tanpa sebarang masalah
- Bayi mula menggerakkan makanan di dalam mulutnya menggunakan lidah
- Anda menyedari terdapat pergerakan mengunyah yang dilakukan bayi
Untuk dapat melihat bayi menggerakkan makanan di dalam mulut dan mengunyah, ibu bapa perlu memberikan lebih perhatian kepada si kecil ketika sesi makan.
Cara memperkenalkan tekstur makanan bayi
Sebagai orang dewasa, menikmati makanan pepejal pelbagai tekstur adalah perkara biasa.
Tetapi peralihan daripada susu ke makanan pejal dan seterusnya makanan bertekstur kepada si kecil perlulah dilakukan secara perlahan-lahan.
Usia 7 bulan
Pada usia ini, makanan bertekstur pertama bayi hendaklah tidak lebih daripada puri berketul.
Jika anda sering memasak puri dalam alat pemproses makanan atau mengisarnya, lakukan langkah ini seperti biasa. Cuma biarkan terdapat ketulan kecil tanpa perlu dikisar halus purinya.
Tekstur makanan bayi 8 bulan
Sekiranya bayi bertindak balas dengan baik terhadap ketulan pertamanya, anda boleh mencuba memperkenalkan makanan yang lebih pekat dan bertekstur.
Daripada menjadikan semua makanannya sebagai puri, anda boleh menambah sedikit parutan makanan untuk si kecil mencuba tekstur makanan lebih kasar.
Melenyekkan makanan lembut seperti pisang dan kentang rebus juga adalah salah satu cara untuk memperkenalkan si manja ketulan yang lebih besar.
Anda juga boleh memberikan si kecil daging cincang untuk menggalakkan mereka lebih banyak mengunyah. Tetapi pastikan makanan yang ditawarkan tidak terlalu kering.
Selain itu, makanan jari atau finger food mudah dimakan seperti lobak merah kukus atau ketulan pisang, juga dianggap sebagai cara untuk membiasakannya dengan tekstur makanan bayi yang lebih pejal.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Usia 9 bulan
Si kecil seharusnya bersedia dengan hidangan lebih dewasa. Anda boleh cuba memberikannya pasta bersaiz bayi bersama sos ringkas – pasta sup paling ideal.
Nasi merupakan kegemaran biasa untuk bayi pada peringkat ini. Anak juga seharusnya boleh menerima sayuran kecil seperti kacang pis dan jagung manis – sama ada dimakan begitu sahaja atau dicampur ke dalam hidangan lain.
Anda juga mungkin boleh menyesuaikan hampir kebanyakan makanan keluarga untuk si kecil. Tetapi harus dipastikan ia dilenyek atau dicincang bagi menghindari risiko tercekik.
Sekiranya bayi belum belajar untuk menyuap makanan sendiri, sekarang adalah masa yang sesuai untuk memperkenalkan makanan jari.
Sebaiknya dimulakan dengan makanan mudah larut dalam mulutnya seperti biskut, buah lembut seperti tembikai atau jejari roti. Kemudian barulah memperkenalkan makanan lebih keras teksturnya seperti lobak merah mentah atau kek beras.
Resipi tekstur makanan bayi 8 bulan ke atas
Berikut merupakan 3 idea makanan bertekstur untuk diberikan kepada bayi yang boleh ibu cuba:
Ubi keledek hancur
Bahan-bahan:
- ½ cawan puri ubi keledek
- 2 biji kuning telur – boleh guna keseluruhan telur jika suka
- Mentega atau minyak zaitun
- Secubit lada hitam
Cara penyediaannya:
- Panaskan mentega atau minyak zaitun dalam kuali.
- Satukan keledek, telur dan lada hitam dalam mangkuk dan pukul bersama.
- Masukkan adunan ke dalam kuali yang telah dipanaskan dan kacau dengan senduk kayu sehingga betul-betul masak.
- Lenyekkannya mengikut kesesuaian tekstur pilihan bayi.
Labu & epal untuk tekstur makanan bayi
Bahan-bahan:
- 1 cawan labu – dikupas dan dipotong dadu
- 2 cawan epal – dikupas, dihiris dan dicincang
- 1 cawan air
- Secubit kayu manis
Cara penyediaannya:
- Satukan semua bahan dalam periuk sederhana.
- Didihkan bahan-bahan dan teruskan mereneh dengan api perlahan sehingga lembut dan empuk.
- Biarkan sejuk sebelum dilenyekkan mengikut kesesuaian bayi.
Ubi keledek goreng
Bahan-bahan:
- 4 biji ubi keledek – bersaiz sederhana
- Minyak zaitun
- Rempah-rempah seperti kayu manis, halia, buah pala atau buah pelaga
Cara penyediaannya:
- Panaskan ketuhar hingga 204°C.
- Kupaskan kulit ubi keledek atau anda boleh membiarkan kulit jika bayi boleh memakannya.
- Potong ubi ke dalam bentuk jejari mengikut kesesuaian bayi.
- Dalam mangkuk besar, tambah kira-kira ¼ cawan minyak zaitun dan secubit rempah yang anda sukai.
- Masukkan ubi yang telah dipotong tadi ke dalam mangkuk dan kacau supaya ia disaluti adunan minyak zaitun.
- Letakkan ubi keledek ke atas loyang, renjiskan baki minyak zaitun ke atasnya.
- Bakar selama lebih kurang 30 hingga 45 minit atau sehingga empuk.
Perlukan kesabaran
Dalam memperkenalkan tekstur makanan bayi, ia memerlukan kesabaran. Ini kerana terdapat kemungkinan si kecil akan menolaknya pada permulaan kerana tidak biasa dan berasa tidak selamat.
Namun paling penting, jangan berputus asa kerana ini adalah fasa penting dalam perkembangan mereka.