Kenapa si kecil asyik meragam? Lapar atau sebab masalah perut kembung? Jom kenal pasti tanda bayi kembung perut, baru senang nak rawat.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Mengenal pasti tanda bayi kembung perut
Masalah kembung perut hanyalah melibatkan udara di dalam abdomen atau usus. Namun bagi sesetengah bayi, keadaan itu amat menyakitkan.
Apabila si kecil berdepan keadaan ini, gelembung udara kecil berkembang pada perut atau usus mereka yang menyebabkan tekanan dan sakit perut.
Ada si kecil yang tidak terganggu oleh keadaan ini. Tetapi ada juga yang menjadi gelisah dan sukar tidur hinggalah angin dapat dikeluarkan.
5 tanda bayi kembung perut
1. Anda menyedari si manja akan meragam lebih kurang sejam setiap hari dan ia adalah 1 keadaan normal.
Walau bagaimanapun, jika anda melihat keadaan itu tidak semakin baik, tiba masanya untuk melakukan pemeriksaan doktor.
2. Si manja juga akan tampak tidak selesa sepanjang masa. Ini adalah petunjuk utama bahawa angin di dalam perut si kecil melebihi paras normal untuk bayi baru lahir.
3. Antara gejala lain yang boleh dilihat adalah apabila si kecil tidak menyusu atau sukar tidur dengan lena. Ia mungkin disebabkan oleh keadaan lain, tetapi angin di dalam perut antara punca biasa.
4. Apabila bayi menangis dan wajah mereka menjadi merah atau kelihatan seperti sedang kesakitan, juga dianggap sebagai tanda perut bayi berangin.
5. Bayi kerap menggeliat juga petunjuk yang boleh dikenal pasti. Jika bayi tampak tidak selesa, memusingkan badan atau menarik kaki ke dada, itu disebabkan gejala perut masuk angin.
Punca masalah kembung perut
Hampir semua bayi akan mengalami perut berangin. Berikut antara sebab-sebab paling umum yang menyebabkan keadaan perut kembung ini:
Tertelan udara
Bayi boleh tertelan udara jika cara lekapan ke payudara semasa menyusu atau posisi botol tidak betul.
Mereka juga boleh tertelan udara apabila terlalu banyak berceloteh (babbling).
Kerap menangis, faktor pencetus tanda bayi kembung perut
Si kecil juga akan cenderung menelan udara semasa menangis.
Pun begitu, agak sukar untuk menentukan sama ada perut berangin yang mengakibatkan mereka menangis atau tangisan yang menjadi punca angin masuk ke perut.
Walau apa pun sebabnya, amat penting untuk ibu bapa menenangkan bayi yang menangis dengan cara terbaik.
Masalah pencernaan kecil
Masalah kembung perut mungkin terjadi apabila si kecil mengalami sembelit.
Dalam kes yang jarang berlaku, kembung yang terjadi merupakan gejala gastrointestinal seperti refluks. Berunding dengan pakar pediatrik jika masuk angin kerap berlaku atau teruk.
Saluran penghadaman tidak matang
Tubuh bayi sedang dalam proses belajar cara untuk mencerna makanan. Ia sekali gus menyebabkan si kecil lebih cenderung mengalami perut berangin.
Virus gastrousus
Ada kalanya virus boleh menyebabkan masalah abdomen sehingga menimbulkan tanda bayi kembung perut, muntah dan cirit-birit.
Makanan baharu
Untuk bayi yang sudah memulakan makanan pejal, pengenalan makanan baharu mungkin boleh mengakibatkan gas.
Bagi sesetengah bayi, perut yang kerap berangin menunjukkan tanda kepekaan makanan.
Mencegah tanda bayi kembung perut
Terdapat beberapa perkara boleh dilakukan semasa dan selepas penyusuan untuk mengurangkan ketidakselesaan si manja.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
1. Lekapan mulut
Kaedah mudah mencegah masalah kembung perut adalah dengan meminimumkan jumlah udara yang ditelan.
Untuk bayi yang menyusu badan, pastikan bibir mereka melekap (latching) dengan baik pada areola.
Jika menggunakan botol susu, pastikan bibir bayi berada pada pangkal puting dan bukan hanya di hujung.
2. Condongkan botol
Pastikan botol susu dicondongkan antara 30° atau 40°, sehingga udara naik ke hujung botol semasa menyusu.
Bayi juga mungkin akan kurang meragam apabila ditukarkan jenis puting.
Cegah tanda bayi kembung perut #3. Sendawakan si manja
Sendawakan bayi semasa dan selepas menyusu.
Mengeluarkan angin semasa menyusu dapat mengurangkan kemungkinan ia akan masuk ke sistem penghadaman.
Namun jika tindakan anda menyebabkan bayi lebih kuat menangis, ia mungkin mengakibatkan si kecil menelan udara lebih banyak.
Baca juga: