Perihal penyakit tiroid dan kaitannya dengan susu badan
Tiroid adalah kelenjar yang terdapat di hadapan leher manusia. Ia boleh merembeskan hormon yang turut memainkan peranan penting dalam penghasilan hormon prolaktin dan oksitosin.
Kedua-dua hormon tersebut terlibat dalam proses penghasilan dan pengeluaran susu badan.
Berikut merupakan sedikit maklumat berkenaan dengan penyakit tiroid yang boleh mengganggu bayi menyusu badan.
Organ tiroid kurang aktif (hipotiroidisme)
- Boleh didiagnosis apabila ujian darah mendapati paras hormon TSH tinggi manakala paras hormon T3/T4 rendah.
- Mereka yang mengalaminya akan menunjukkan gejala seperti kulit kering, masalah kemurungan, kelesuan, rambut gugur, kurang tenaga, mudah lupa, sembelit, kekerapan haid meningkat dan kebengkakan kelenjar tiroid.
- Lazimnya mereka yang mengalami masalah ini didiagnosis dengan penyakit Hashimoto.
- Gantian hormon tiroid merupakan satu kaedah rawatan yang lazim terutamanya bagi penghidap yang hamil atau sedang menyusu badan.
- Semasa hamil, jika keadaan ini tidak terkawal, ia boleh menyebabkan masalah tekanan darah tinggi dan bayi lahir kurang berat.
- Ibu dengan masalah hipotiroidisme akan mengalami kesukaran untuk menyusu badan akibat proses penghasilan susu yang sedikit.
- Terdapat banyak kajian yang menunjukkan masalah hipotiroidisme boleh menyebabkan kesan buruk terhadap paras hormon oksitosin.

Kelenjar tiroid terlebih aktif (hipertiroidisme)
- Boleh didiagnosis apabila paras hormon TSH rendah dan paras hormon T3/T4 tinggi.
- Mereka yang mengalaminya boleh menunjukkan gejala seperti berdebar-debar, perpeluhan, tubuh menggeletar, kram otot, kelesuan, hilang berat badan tanpa sebab, sensitif terhadap haba, cirit-birit, kekerapan haid rendah dan kebengkakan kelenjar tiroid.
- Penyakit paling lazim berkait dengan masalah hipertiroidisme adalah penyakit Grave.
- Kehamilan boleh menyebabkan peningkatan perkumuhan hormon T3 dan T4. Keadaan ini boleh melegakan simptom terutamanya ketika ibu hamil berada dalam trimester kedua dan ketiga. Namun, simptom masalah ini boleh kembali selepas proses kelahiran selesai.
- Proses penyakit ini boleh menyebabkan impak negatif terhadap paras hormon prolaktin dan oksitosin. Ini akan mengganggu bayi menyusu badan.
- Ibu hamil dengan masalah hipertiroidisme tidak terkawal berisiko mengalami kelahiran pramatang, preeklampsia, tumbesaran janin terhad dan peningkatan risiko mortaliti bagi ibu dan bayi.
- Kajian menunjukkan ubat propylthiouracil (PTU) adalah ubat terbaik bagi ibu menyusu badan berikutan ia hanya keluar dalam jumlah yang sedikit melalui susu badan ibu. Keadaan ini tidak akan memberikan sebarang impak terhadap fungsi tiroid bayi.
- Methimazole juga boleh digunakan. Namun, bayi perlu dipantau secara berkala.
Disfungsi tiroid pospartum
- Terjadi dalam 5 hingga 7% kehamilan.
- Wanita yang mempunyai masalah kencing manis jenis 1 dan merokok; masing-masing berisiko 3 kali ganda untuk mendapat masalah ini.
- Simptom yang boleh dialami adalah tidak tahan sejuk, kulit kering, kelesuan, tidak boleh menumpukan perhatian dan sakit badan.
- Keadaan kesihatan ini lazimnya bermula dengan aspek hipertiroidisme untuk beberapa minggu. Kemudian ia akan berubah kepada hipotiroidisme untuk beberapa bulan.
Isu berkaitan dengan tiroid boleh mempengaruhi keupayaan badan untuk menghasilkan susu ibu.
Oleh sebab paras hormon tiroid berubah ketika hamil dan kelahiran anak, ujian secara berkala perlu dibuat untuk memastikan tahap kesihatan ibu berada pada paras optimum.