Si manja aktif dan ceria bukanlah satu-satunya penanda aras mereka sedang membesar dengan sihat. Sebagai ibu bapa, anda perlu mengetahui tanda aras lain seperti berat normal bayi dan ciri-ciri lain untuk menilai perkembangan dan tumbesaran mereka.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Tanda-tanda perkembangan bayi sihat
Terdapat pelbagai perkara lain perlu diambil perhatian untuk menentukan perkembangan bayi anda.
Berikut adalah ciri-ciri perkembangan dan tumbesaran bayi sihat dan berada di landasan yang betul:
1. Kekerapan penyusuan
Bayi baru lahir disyorkan diberi susu ibu sehingga berusia 6 bulan atau disebut penyusuan susu ibu secara eksklusif. Sepanjang tempoh itu, hanya susu ibu sahaja yang akan diberikan kepada si manja bagi membantu pertambahan berat normal bayi.
Ini kerana susu ibu merupakan satu-satunya makanan serta minuman terbaik untuk bayi sehinggalah berusia 6 bulan.
Disebabkan itu, anda perlu memberi perhatian kepada kekerapan penyusuan harian mengikut usianya untuk menilai si manja membesar dengan sihat atau tidak.
Amnya, kekerapan itu bergantung kepada bayi itu sendiri apabila dia berasa lapar atau dahaga.
Biasanya, bayi boleh menyusu setiap 2-3 jam. Bermakna, kekerapan sesi penyusuan dalam sehari untuk bayi baru lahir sekitar 8-12 kali.
Kekerapan bayi menyusu:
- Apabila bayi mencapai umur 1-2 bulan, kekerapan penyusuan boleh berubah kepada sekitar 7-9 kali sehari
- Pada usia 3-6 bulan, bayi secara umumnya boleh menyusu lebih kurang 7-8 kali sehari
- Penghujung tempoh penyusuan eksklusif atau pada usia 6 bulan, si kecil anda boleh menyusu 4-6 kali sehari
- Apabila bayi berusia lebih 6 bulan, kekerapan penyusuan akan berkurangan kerana dia mula belajar mengambil makanan pejal
2. Berat normal bayi
Pengambilan susu ibu ditambah dengan makanan pejal ketika berumur 6 bulan ke atas sudah tentu akan mempengaruhi pertumbuhan berat dan ketinggian bayi.
Bayi lelaki baru lahir biasanya mempunyai berat sekitar 2.5-3.9 kilogram (kg). Manakala berat bayi perempuan baru lahir biasanya antara 2.4-3.7 kg.
Pada usia 3 bulan, berat bayi lelaki sepatutnya meningkat kira-kira 2.5-3.3 kg daripada berat asalnya. Sementara itu, berat bayi perempuan pula meningkat sekitar 2.1-2.9 kg.
Sekitar umur 6 bulan, berat bayi lelaki sepatutnya meningkat sebanyak 1.4-1.6 kg. Untuk bayi perempuan pula berat meningkat sekitar 1.2-1.6 kg.
Menjelang usia 9 bulan, berat normal bayi lelaki akan meningkat lebih kurang 0.7-1.1 kg, berbeza dengan bayi perempuan yang berat badannya bertambah sekitar 0.8-1.1 kg.
Sehingga umur 11 bulan, bayi lelaki idealnya menambah berat badan dalam lingkungan 0.5-0.6 kg. Pada usia yang sama, berat bayi perempuan sepatutnya meningkat kira-kira 0.4-0.7 kg berbanding semasa dia berumur 9 bulan.
Pertambahan berat badan normal bayi yang masih dalam julat menunjukkan pertumbuhan dan perkembangan sihat.
3. Peningkatan ketinggian
Berbeza sedikit dengan berat badan, penambahan ketinggian bayi mungkin tidak terlalu ketara kerana ia membesar ke atas (‘meninggi’).
Malah perubahan berat normal bayi lebih mudah untuk disedari kerana badannya semakin membesar dan berat apabila didukung.
Ketinggian bayi baru lahir hingga berusia 6 bulan boleh meningkat kira-kira 1.5-2 sentimeter (cm).
Dalam lingkungan umur 6-11 bulan, peningkatan ketinggian sebanyak 1 cm setiap bulan adalah tanda perkembangan bayi yang sihat.
4. Selain berat normal bayi, waktu tidur optimum juga penting
Mendapat tidur mencukupi juga adalah ciri-ciri bayi sihat.
Waktu tidur bayi baru lahir hingga umur 3 bulan biasanya sekitar 14-17 jam sehari.
Pada usia 3-6 bulan, waktu tidur mereka biasanya berubah kurang kepada 15-16 jam sehari. Manakala menjelang usia 6-11 bulan, dia hanya tidur 14-15 jam sehari.
Waktu tidur bayi memang berbeza dan lebih cepat berbanding kanak-kanak dan individu dewasa.
Kebanyakan bayi biasanya mula tidur antara 6-8 malam dan akan bangun pada tengah malam, selalunya kerana ingin menyusu.
5. Responsif apabila mendengar bunyi
Deria pendengaran berfungsi dengan baik juga merupakan tanda bayi sihat.
Bayi dikatakan dapat mendengar dengan baik apabila mereka memberikan tindak balas seperti tersenyum, ketawa atau menoleh ke arah sumber bunyi.
Walaupun pendengaran bayi berfungsi sejak lahir, ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk berkembang secara optimum.
6. Selain berat normal bayi, fokus melihat juga perkembangan penting
Tanda-tanda bayi sihat membesar juga dapat dilihat apabila si manja dapat melihat objek di sekelilingnya dengan fokus. Contohnya semasa menyusu, si kecil akan memandang muka terutama mata.
Semakin membesar, penglihatan bayi dapat mengecam objek yang sering dilihatnya. Ini dapat dilihat apabila dia kelihatan tersenyum gembira apabila ibunya pulang dari kerja.
Fungsi penglihatan bayi yang sihat juga mampu mengikut pergerakan objek dan bayang-bayang.
7. Pandai berceloteh
Menangis dan membebel adalah kemahiran komunikasi utama yang si manja ada.
Menariknya, perkembangan pertuturan bayi ‘membebel’ itu akan menjadi lebih lancar seiring peningkatan usianya.
Ini dapat dilihat apabila anda bercakap dengan bayi, si manja akan bertindak balas dengan mengeluarkan celotehnya seolah-olah sedang berkomunikasi.
Baca juga: