#2. Mula ajar apabila anak sudah pandai pegang sesuatu
Asnadirah mula mengajar Aisy makan sendiri saat anaknya itu sudah boleh memegang sesuatu benda dengan tangannya tanpa sebarang bantuan.
Namun dia juga berhati-hati dengan jenis makanan yang diberi agar ia bersesuaian dengan usia anaknya yang masih di bawah umur dua tahun pada ketika itu.
#3. Kenalkan nama dan bentuk makanan kepada anak
Tambah Asnadirah lagi, langkah seterusnya yang dilakukan adalah dengan memperkenalkan nama dan bentuk makanan kepada Aisy.
“Makanan pertama yang Aisy boleh pegang adalah jejari kentang. Saya buatkan makanan untuk Aisy yang mudah untuk dipegang sendiri. Seawal umurnya 7 bulan, saya sudah memperkenalkan nama dan rasa makanan kepada Aisy”.
Kaedah memberikan peluang untuk anak makan sendiri dengan pelbagai bentuk dan saiz makanan ini sangat bagus untuk merangsang kemahiran motor kasar dan halus kanak-kanak.
#4. Berikan set pinggan dan cawan cantik untuk tarik minat anak
Selain itu, Asnadirah juga mendapatkan set pinggan, cawan dan peralatan makan kanak-kanak yang cantik untuk menarik minat Aisy ketika makan.
Malah, dia akui bahawa anaknya akan sentiasa teruja dan gembira apabila melihat set peralatan makanannya itu.
Selain itu, setiap hari sebelum waktu makan, Asnadirah akan memberitahu anaknya sebab mengapa dia perlu suap makan sendiri.
Ini bertujuan untuk memudahkan Aisy memahami tujuan dan menurutinya dengan baik.
#5. Pelbagaikan menu makanan harian
Langkah terakhir sebagai cara ajar anak makan sendiri adalah dengan mempelbagaikan menu makanan harian mereka. Menurut Asnadirah,
“Saya berusaha setiap hari untuk menyediakan menu dengan pelbagai warna untuknya. Contohnya, sewaktu sarapan saya akan memasak nasi goreng bayi. Pada waktu minum pagi pula, saya menyediakan kentang ungu goreng. Pada waktu makan tengah hari, saya membuat nasi ayam bayi untuknya. Saya juga memberikan Aisy buah betik pada waktu makan petang. Jadi, kanak-kanak tidak jemu untuk makan dan sentiasa gembira apabila melihat pinggannya dipenuhi warna makanan yang menarik.”
Anak boleh pilih makanan kegemarannya

Antara kelebihan apabila anak makan sendiri ialah, anak boleh memilih makanan yang hendak dimakannya.
Jadi, ibu bapa boleh mengetahui makanan yang digemari dan kurang digemari oleh anak.
Ini boleh membantu ibu bapa untuk menyediakan makanan yang sesuai dengan selera anak pada masa akan datang. Jadi, ibu bapa pun tidak perlu ‘bergaduh’ lagi dengan anak apabila tiba waktu makan mereka.
Selain itu, ibu bapa juga boleh makan dengan tenang dan santai bersama anak, tanpa perlu menyuap anak setiap masa.
Sabar dan nikmati proses pembelajaran anak
Mengajar anak makan sendiri pastinya mempunyai pelbagai cabaran yang tersendiri.
Namun menurut Asnadirah, kuncinya ialah sentiasa sabar dan nikmati proses mengajar anak untuk makan sendiri. Makanan yang bersepah merupakan perkara yang normal bagi seorang kanak-kanak.
Jika anak membuat perangai ketika waktu makan, cuba cari jalan untuk meredakan emosi mereka.
Elakkan memarahi anak ketika mereka meragam kerana ini akan membuatkan mood anak menjadi terganggu dan ini lebih sukar mengajarnya untuk makan sendiri.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen