backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Ibu Hamil Mengidam Makan Paru Dan Hati Lembu? Nanti Dulu! Ada Risiko Pada Bayi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 17/09/2021

    Ibu Hamil Mengidam Makan Paru Dan Hati Lembu? Nanti Dulu! Ada Risiko Pada Bayi

    Para suami pasti bingung nak memenuhi permintaan si isteri ketika hamil, kerana kebanyakan ibu hamil pasti akan mengidam.

    Suami pula akan cuba sedaya-upaya untuk menyediakan yang terbaik untuk isteri dan bayi.

    Meskipun begitu, tidak semua jenis makanan boleh diambil oleh mak buyung. Sesetengah jenis makanan yang asalnya boleh diambil sebelum mengandung tidak boleh dijamah ketika berbadan dua.

    Antara makanan yang seharusnya berada dalam pantang larang ibu hamil ialah organ dalaman binatang seperti hati, jantung, usus, paru-paru dan sebagainya.

    “Tapi, sedapnya hati ayam goreng kunyit, paru sambal pun sedap juga.”

    Nanti dulu! Sebelum si ibu terfikir untuk menjamahnya, apa kata habiskan baca artikel ini dulu untuk tahu kesannya terhadap si comel anda.

    kecacatan bayi

    Hati ayam, hati lembu, mana satu ibu hamil pilih?

    Di Malaysia, ramai yang suka makan organ dalaman binatang seperti hati ayam, hati lembu, usus, paru dan sebagainya.

    Organ dalaman ini memang kaya dengan nutrien yang tersendiri, tetapi agak bahaya apabila dimakan oleh ibu hamil.

    Sebagai contoh, hati ayam atau lembu seharusnya dielakkan oleh ibu hamil kerana mengandungi vitamin A yang tinggi berbanding makanan lain.

    Vitamin A terdiri daripada 2 jenis komposisi, iaitu retinol dan provitamin A karotenoid. 

    Retinol senang dijumpai dalam makanan daripada sumber haiwan seperti produk tenusu, ikan, dan daging terutama sekali organ dalaman seperti hati ayam atau lembu.

    Ia boleh digunakan secara langsung oleh tubuh badan.

    Jenis karotenoid yang biasanya ada dalam makanan atau suplemen dikenali sebagai beta-karotena.

    Ia boleh ditemui dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Berbanding retinol, karotenoid harus diproses oleh tubuh dan ditukar kepada vitamin A sebelum dapat digunakan.

    Vitamin A merupakan kelas vitamin yang larut lemak, dan jumlah yang berlebihan selalunya disimpan dalam hati kita.

    Cadangan pengambilan vitamin A bagi ibu hamil

    Jumlah pengambilan vitamin A yang disyorkan bagi ibu hamil bergantung kepada kategori umur ibu tersebut.

    Wanita yang hamil berumur dalam lingkungan 14-18 tahun boleh mengambil sebanyak 750 mg (2,500 IU), manakala yang berumur 19-50 tahun pula sebanyak 770 mg (2566 IU) setiap hari.

    Dos maksimum yang dibenarkan sebelum mengakibatkan kecacatan bayi ialah sebanyak 3 gram (10,000 IU).

    Pengambilan vitamin A tinggi mengakibatkan kecacatan bayi

    Para ibu hamil, inilah jawapan yang anda nanti-nantikan!

    Anda haruslah mengelakkan diri daripada makan banyak organ dalaman binatang terutama sekali hati ayam atau lembu kerana ia mempunyai dos vitamin A yang tinggi.

    Kajian menunjukkan ibu hamil yang mengambil dos vitamin A yang tinggi ketika hamil menyebabkan kecacatan bayi semasa lahir. Hal ini kerana jumlah vitamin A yang tinggi boleh mengganggu sistem saraf dan proses perkembangan bayi dalam janin.

    ibu hamil

    Ibu usah risau pula mengenai buah-buahan dan sayur-sayuran! Anda boleh mengambil ia seperti biasa kerana kajian mendedahkan beta-karotena tidak mempunyai kesan sampingan yang teruk berbanding retinol.

    Oleh sebab anda boleh mendapatkan vitamin A dengan senang daripada diet seharian seperti daging, produk tenusu, maka usahlah makan organ dalaman binatang ataupun mengambil suplemen tambahan.

    Hati-hati, berkolesterol tinggi!

    Semasa hamil, ibu seharusnya lebih peka dalam bab penjagaan makanan kerana apa yang ibu makan akan memberi kesan kepada bayi.

    Hati ayam atau lembu mempunyai tahap kolesterol yang tinggi. Hati lembu kurang daripada 100 gram sudah mampu untuk melangkaui jumlah pengambilan kolesterol yang dibenarkan iaitu 300mg sehari.

    Pengambilan kolesterol yang tinggi mampu menyebabkan penyakit jantung terjadi dengan lebih cepat kerana kolesterol tersebut akan membentuk plak lemak di dinding saluran darah jantung anda.

    Keadaan ini dinamakan sebagai arteriosklerosis.

    Beringat-ingat dahulu, ibu hamil

    Sebelum menjamah hidangan hati ayam atau lembu yang seterusnya, para ibu hamil haruslah mendapatkan konsultasi yang lebih lanjut daripada doktor atau pegawai dietetik anda.

    Ubahlah diet anda dan lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain itu, usahlah mengambil suplemen tambahan jika tidak diarahkan oleh doktor.

    Sekiranya anda mengidam, beringat-ingatlah ketika makan. Anda boleh ambil dalam jumlah yang sedikit sekadar melepaskan rasa mengidam anda.

    Ingatlah keadaan anda yang sedang berbadan dua sekarang, dan nutrisi bayi dalam kandungan bergantung sepenuhnya kepada apa yang ibu makan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 17/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan