Masalah sembelit adalah perkara biasa dialami selepas beranak. Jadi apakah ubat sembelit selepas bersalin sesuai diambil wanita yang masih dalam tempoh berpantang?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Punca masalah sembelit selepas melahirkan anak
Sebelum mengetahui ubat sembelit selepas bersalin, ayuh fahami punca masalah ini berlaku.
Sembelit selepas melahirkan anak biasanya berpunca daripada gabungan faktor berbeza – mungkin melibatkan sistem pencernaan sejak lahir, perubahan hormon, ubat selepas bersalin, dehidrasi atau rasa takut jahitan bersalin pada faraj akan terkoyak.
Bagi mereka yang melalui prosedur episiotomi atau koyakan faraj, ketakutan tersebut boleh menyebabkan kalian menahan keinginan membuang air besar.
Tetapi adakah ia benar-benar menyakitkan untuk buang air besar selepas bersalin?
Tidak dinafikan ramai ibu baharu akan berasa risau untuk berak khususnya selepas prosedur kelahiran bayi.
Namun, rasa bimbang tersebut sebenarnya boleh memburukkan situasi, sekali gus menjadi faktor sembelit terjadi. Ini kerana ia akan membuatkan anda mengetatkan saluran belakang dan bukannya menenangkannya.
Hakikatnya, anda mungkin tidak berasa apa-apa jika bersalin secara normal. Ini kerana bahagian antara faraj dan perineum (saluran dubur) mungkin sedikit kebas, ia disebabkan saraf di dalam dan sekeliling faraj telah meregang.
Jahitan bersalin pula tidak akan terbuka jika ke tandas. Sebaiknya, elakkan daripada meneran ke bawah kerana ini boleh menegangkan lantai pelvis dan melambatkan proses penyembuhan.
Semasa di dalam tandas, cuba bertenang dan jangan tergesa-gesa. Alihkan perhatian dengan mendengar muzik atau sebarang media sosial.
Jika bimbang mengenai jahitan faraj, lipat tuala wanita atau gunakan tisu bersih dan pegang bahagian perineum atau atas jahitan daripada depan. Ia membantu meredakan sebarang kesakitan yang dirasai.
Ubat sembelit selepas bersalin
Biasanya anda akan diberikan pelembut najis semasa berada di hospital dan untuk dibawa pulang bersama selepas keluar hospital bagi tujuan mencegah dan/atau merawat sembelit.
Ini terutamanya jika anda mengalami koyakan faraj teruk – tahap 3 atau 4, mengalami buasir, sedang mengambil suplemen zat besi untuk anemia atau sebarang ubat sakit narkotik.
Petua semula jadi sebagai ubat sembelit selepas bersalin
Dalam kebanyakan kes sembelit, ia boleh diatasi menggunakan rawatan di rumah. Perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah untuk bersikap proaktif mengenai pencegahan dan rawatannya.
Diet pemakanan
Makanan berserat tinggi seperti bijirin penuh, roti gandum, beras perang, kekacang, buah-buahan dan sayuran adalah pilihan terbaik untuk melancarkan pergerakan sistem pencernaan.
Pengambilan 2-3 biji buah prun dikatakan sama seperti pengambilan julap. Selain kaya serat tinggi, ia juga mengandungi sorbitol – sugar alcohol yang mempunyai kesan julap semula jadi.
Sugar alcohol adalah sejenis karbohidrat dan mempunyai struktur kimia serupa dengan gula.
Pengambilan air mencukupi, antara ubat sembelit selepas bersalin
Penyusuan badan boleh menjadi punca sembelit selepas bersalin. Ini kerana semasa menyusu, sebahagian air yang biasanya akan terus ke usus bagi membantu makanan bergerak – akan digunakan untuk penghasilan susu.
Tanpa air mencukupi, usus akan menyerap air daripada sisa makanan. Kesannya najis menjadi lebih keras dan tidak bergerak. Jika menyusukan si kecil, sasarkan 10-12 gelas air sehari.
Sekiranya melebihkan pengambilan serat, pastikan anda juga mengambil air yang secukupnya.
Tanpa air tambahan, pengambilan serat boleh memburukkan sembelit dan mengakibatkan perut kembung dan berangin serta refluks.
Lambat ke tandas
Anda mungkin berasa takut akan mengalami kesakitan. Tetapi dengan menahan keinginan untuk membuang air besar akan membuatkan najis menjadi keras.
Jangan lambat ke tandas dan elakkan meneran terlalu kuat atau ia boleh menyebabkan buasir.
Ubat sembelit selepas bersalin #Senaman
Duduk terlalu lama boleh menyumbang kepada sembelit. Jadi lakukan senaman seperti berjalan perlahan boleh membantu pergerakan usus anda.
Jika anda menjalani pembedahan czer, dapatkan kebenaran doktor dahulu sebelum mula bersenam.
Posisi membuang air besar
Elakkan tandas mencangkung, kerana ia boleh menyebabkan anda berasa lebih takut jahitan akan terbuka. Sebaliknya, pilih tandas duduk dan letakkan kaki di atas bangku kecil.
Meninggikan kaki membolehkan lutut lebih tinggi daripada pelvis – membantu mengendurkan otot puborectalis – sekali gus melancarkan pergerakan usus.
Teknik pernafasan
Antara rawatan sembelit selepas bersalin adalah teknik pernafasan yang betul.
Semasa menyedut oksigen, lantai pelvis menurun dan apabila menghembus, ia menaik. Bernafas dengan perlahan membolehkan pergerakan lembut yang membantu menolak najis.
Baca juga: