Rasa serba salah yang dirasai seorang ibu

Seperti yang dikatakan pada awal tadi, kebanyakan wanita tidak bersedia dengan perubahan emosi selepas melahirkan anak dan akhirnya menyebabkan timbulnya rasa bersalah apabila terdetik keraguan atau perasaan negatif.
Berikut adalah antara rasa serba salah yang dirasai seorang ibu; sama ada individu yang pertama kali bergelar ibu, atau sudah mempunyai anak lebih dari seorang dan cara untuk mengatasinya:
- Perlukah saya menyukai setiap minit bergelar ibu?
Imej seorang ibu yang sering dibayangi oleh ramai individu wanita adalah; seorang yang tidak mementingkan diri sendiri, sentiasa menyayangi dan ada pada setiap saat – adalah satu bayangan yang sukar untuk dipenuhi. Walau sebanyak mana anda menyayangi bayi yang baru anda lahirkan, anda tidak mungkin dapat menyukai setiap perkara yang perlu dilakukan dalam menjaganya. Akan ada waktunya anda memerlukan masa untuk diri anda sendiri, mungkin masa untuk berehat, minum minuman kegemaran anda dan selepas itu anda pasti akan mendapat kembali kesegaran diri dan lebih gembira untuk kembali melaksanakan tugasan dan tanggungjawab anda sebagai seorang ibu
- Adakah saya melakukannya dengan betul?
Lambakan tip, nasihat dan petua yang boleh didapati secara dalam talian, yang anda dengari dari mulut ke mulut, ia mungkin dapat membantu menjadikan pekerjaan anda lebih mudah atau ada masanya ia mungkin menambahkan lagi kecelaruan dan menjadikan tugasan anda sebagai seorang ibu lebih sukar. Sememangnya satu perkara yang baik untuk mendapat pelbagai maklumat namun adakalanya ia mungkin memberikan lebih banyak tekanan kepada ibu, yang akhirnya menyebabkan anda merasa segala apa yang anda lakukan sebagai seorang ibu adalah tidak betul dan tidak sempurna untuk bayi comel anda.
Hakikatnya, apa yang anda dengar dan apa yang anda baca mungkin adalah bertentangan, dan pada akhirnya menjadi satu teka-teki kepada anda. Apa yang penting adalah untuk menanam dalam fikiran anda bahawa tidak ada cara yang sempurna dan yang betul untuk menjadi seorang ibu. Anda hanya perlu mempercayai diri anda bahawa apa yang anda lakukan adalah yang terbaik untuk si manja anda. Jadi usah bebankan diri anda dengan tekanan, senyum dan bergembiralah menjadi seorang ibu.
- Perlukah saya bekerja kembali?
Merupakan antara isu yang sering mendatangkan tekanan kepada individu wanita terutama yang pertama kali bergelar ibu. Kembali bekerja atau tidak adalah sering menyebabkan seorang ibu berada dalam keadaan serba salah. Anda akan rasa bersalah apabila anda memutuskan untuk kembali bekerja, anda rasa bersalah apabila anda tidak mahu kembali bekerja tetapi anda perlu bekerja dan anda terpaksa meninggalkan si manja anda ke rumah pengasuh apabila anda perlu bekerja.
Bagi individu yang berdepan dengan masalah kewangan yang tidak begitu stabil, mungkin kembali bekerja adalah merupakan satu-satunya pilihan yang ada demi kelangsungan hidup. Tetapi bagi individu yang mungkin tidak berdepan dengan masalah kewangan, mungkin isu ini lebih memberikan tekanan; antara rasa bersalah kepada anak atau keinginan untuk bekerja. Jalan penyelesaian yang terbaik yang boleh anda lakukan adalah dengan mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Sebarang keputusan yang anda ambil pada masa ini, sama ada bekerja atau tidak, tidak semestinya menjadi satu keputusan tetap dan kekal. Anda mungkin tidak bekerja sekarang dan apabila anda merasakan anda ingin bekerja, anda boleh memutuskan untuk bekerja. Jadi bertenang.
- Masa berkualiti
Ada ketikanya, sama ada anda bekerja atau suri rumah sepenuh masa, akan wujud rasa bahawa setiap saat anda bersama si comel harus menjadi masa yang berkualiti dan dipenuhi dengan sesuatu perkara yang berfaedah. Adakalanya idea tentang masa yang berkualiti dan apa yang diharapkan dari ibu bapa kepada anak melebihi batasan yang sewajarnya. Terdapat juga sesetengah ibu bapa yang bimbang membiarkan si kecil untuk bersendirian kerana khuatir akan keselamatannya.
Budaya pada masa kini telah menjadikan setiap perkara yang ingin dilakukan yang melibatkan anak adalah perlu bersifat pendidikan. Sedangkan hakikatnya, sesuatu yang bersifat menghiburkan tidak semestinya tidak berkualiti atau berharga, waima kita yang sudah dewasa ini juga ada masanya memerlukan hiburan, apatah lagi si kecil yang baru ingin mengenali dunia. Dan anda sebagai ibu bapa tidak perlu untuk sentiasa mengawal dan mengehadkan pergerakan anak kecil anda daripada meneroka dunia di sekeliling mereka, apa yang penting aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan. Percayalah, si manja anda turut dapat belajar dan meneroka perkara baru secara sendiri.
- Bukan ibu sempurna

Sebagai seorang ibu, pasti akan timbul rasa bersalah dalam diri apabila anda tidak dapat menyediakan segala keperluan harian seperti makan tengah hari atau malam disebabkan tuntutan kerja dan lebih banyak makan di luar atau membeli makanan bungkus. Menjadi seorang ibu, secara tidak langsung anda sendiri meletakkan bebanan pada diri anda dengan membayangkan pelbagai perkara yang perlu anda selesaikan dengan sebaiknya dan adakalanya melebihi kemampuan anda – anda perlu menyediakan makan malam, rumah perlu sentiasa kemas, baju harus siap dicuci, meluangkan masa bersama suami dan anak dan lain-lain lagi – tetapi percayalah, apabila anda semakin berpengalaman dalam aspek keibubapaan, anda akan mampu untuk melakukan segalanya dengan lebih teratur.
Rasa bersalah itu hadir pada waktu tertentu, namun tidak semuanya bersifat sesuatu yang buruk. Anda mungkin perlu menegur atau mengalihkan tumpuan si manja anda yang lebih banyak menonton televisyen dengan memberikannya peluang melakukan perkara yang lebih berfaedah seperti mewarna, bermain basikal dan sebagainya. Anda tidak perlu menjadi sempurna, tetapi anda boleh mencuba untuk memberikan yang terbaik dari aspek kesihatan, pemakanan, cukup makan dan pakaian untuk anak anda. Realistik, itu yang penting.
Perkara yang ibu baru tidak perlu bimbangkan
Bimbang dalam mengendali dan menguruskan seorang bayi pastinya merupakan perkara biasa untuk seorang ibu terutamanya ibu baru. Namun, terdapat beberapa perkara yang mungkin sering terjadi tetapi ia merupakan perkara yang tidak perlu dibimbangkan. Antaranya adalah seperti:
- Menangis
Si comel anda mungkin akan kerap menangis pada waktu malam, dan adalah penting untuk sentiasa ingat bahawa adalah normal untuk bayi yang baru lahir menangis. Menurut pakar kanak-kanak dari Children’s Mercy Hospitals & Clinics di Kansas City, Missouri, Dr Michelle Haley, anak di bawah usia setahun akan menangis untuk pelbagai perkara seperti lapar, mengantuk, lampin kotor dan kurang atau terlebih rangsangan. Dan menangis tidak mendatangkan kesakitan kepada mereka. Bayi yang mudah nangis bukanlah petanda bahawa teknik keibubapaan yang diberikan lemah. Ini kerana sesetengah bayi memang lebih mudah untuk menangis berbanding yang lain. Jika anda segera bertindak balas dan tangisan si manja anda berhenti, maka tiada apa yang perlu dirisaukan. Tetapi jika bayi anda masih menangis dan meragam, ia juga mungkin disebabkan oleh masalah perut kembung.
- Bersin
Jika si manja anda mula bersin apabila sampai di rumah pada kali pertama selepas pulang dari hospital, tanamkan dalam minda bahawa bayi anda mungkin sedang membersihkan hidung dan saluran pernafasan. Bersin membantu membuka lubang hidung yang mungkin tertutup sementara apabila bayi menekan ketika menyusu. Anda hanya perlu bimbang jika bayi anda bersin dan diikuti dengan demam, hidung berair, hidung tersumbat dan mengalami kesukaran untuk bernafas, pastikan anda mengambil langkah segera dengan membawa bayi anda untuk berjumpa doktor.
- Ikatan
Anda mungkin membayangkan untuk berjumpa dengan si comel anda selepas sembilan bulan menantikan kelahirannya, tetapi selepas berjuang di dalam bilik bersalin, anda mungkin lebih berasa letih daripada ghairah dengan kelahiran bayi anda. Itu adalah normal. Tidak ada apa yang perlu anda bimbangkan. Ikatan antara anda dan bayi anda pasti akan terjalin melalui penyusuan, dakapan dan sebarang perkara yang melibatkan bayi anda.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen