backup og meta

Dr Amalina Bakri Cuti Bersalin Setahun, Bakal Ibu Di Malaysia Bagaimana? Ini Tempoh Cuti Paling Ideal

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 18/09/2022

    Dr Amalina Bakri Cuti Bersalin Setahun, Bakal Ibu Di Malaysia Bagaimana? Ini Tempoh Cuti Paling Ideal

    Rasa seronok apabila mendapat perkhabaran bahawa cuti bersalin 98 hari telah diluluskan untuk pelaksanaannya. Tetapi pastinya akan timbul persoalan, apakah kepentingan memberikan cuti bersalin kerajaan dan swasta yang lama ini?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Kepentingan cuti bersalin 98 hari untuk ibu & bayi

    Terdahulu tular perkongsian doktor pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri yang mendedahkan beliau boleh mendapat cuti bersalin hingga setahun dengan memperolehi gaji penuh selama 5 bulan pertama sepanjang tempoh tersebut. 

    Situasi itu secara tidak langsung menimbulkan rasa ‘cemburu’ dalam kalangan netizen memandangkan tempoh kebenaran cuti bersalin di Malaysia hanyalah selama dua atau tiga bulan.

    Sebenarnya terdapat banyak sebab mengapa masa cuti sangat penting untuk wanita bekerja yang baru lepas bersalin.

    Memasuki trimester ketiga kehamilan, badan akan berasa lebih berat kerana janin semakin membesar. Keadaan ini sering menyebabkan bakal ibu mengalami kesukaran bernafas, sukar tidur hingga keletihan. Rehat yang mencukupi adalah cara terbaik mengatasinya.

    Memasuki fasa selepas bersalin, mendapat rehat mencukupi juga merupakan salah satu kunci untuk mengekalkan keadaan kesihatan diri dan bayi. Selain itu, ibu juga perlu mengadaptasi perubahan badan yang berlaku selepas bersalin.

    cuti bersalin 98 hari

    Faktor lain seperti kurang tidur atau keletihan kerana menjaga bayi, turut menyumbang kepada tekanan emosi yang boleh menyebabkan baby blues atau kemurungan selepas bersalin.

    Oleh itu, bagi wanita bekerja, cuti yang diperolehi pada waktu ini membolehkan mereka peluang untuk berehat, memulihkan tenaga dan fokus menjaga si kecil.

    Dengan cuti bersalin 98 hari ini juga, kesihatan mental dan fizikal ibu dan anak dapat dikekalkan antaranya:

    • Mengurangkan risiko kemurungan selepas bersalin
    • Mengeratkan jalinan ibu-bayi
    • Mengurangkan risiko kematian bayi
    • Mengurangkan kemungkinan kemasukan ke hospital untuk ibu dan bayi
    • Imunisasi bayi tepat pada masanya 
    • Meningkatkan kejayaan penyusuan eksklusif

    Apakah tempoh ideal cuti bersalin kerajaan & swasta?

    Apa pentingnya cuti bersalin 98 hari ini untuk dilaksanakan di Malaysia?

    Menurut sesetengah pakar berkata, tempoh rehat yang ideal untuk ibu baru melahirkan adalah lebih daripada 12 minggu selepas bersalin – tiga bulan ke atas. Ini kerana cuti tersebut memberikan manfaat jangka panjang untuk ibu dan bayi. 

    Berdasarkan kajian dalam Journal of Health, Politics, Policy, and Laws, ibu baharu yang mengambil cuti kerja kurang daripada enam bulan selepas melahirkan anak mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kemurungan selepas bersalin.

    cuti bersalin 98 hari

    Pakar-pakar lain juga menyebut bahawa cuti bersalin lebih daripada enam bulan, tetapi kurang daripada setahun dianggap masa yang paling ideal.

    Pun begitu, tidak kurang juga yang berpendapat bahawa tempoh rehat selama 12 minggu memadai untuk ibu memulihkan keadaan badan secara fizikal selepas bersalin.

    International Labour Organization (ILO) turut menetapkan had cuti minimum yang perlu ditetapkan setiap negara, iaitu sekurang-kurangnya 12 minggu, tetapi 14 minggu adalah tempoh cuti yang disyorkan. 

    Tahniah! Cuti bersalin 98 hari bakal dilaksanakan di Malaysia

    Berdasarkan Akta Kerja 1955 jumlah kelayakan cuti bersalin bagi semua pekerja wanita adalah sebanyak 60 hari atau bersamaan dua bulan.

    Namun berita baik buat ibu-ibu hamil yang bakal melahirkan anak di luar sana! Kerajaan telah meluluskan tempoh lanjutan cuti bersalin berbayar yang asalnya dicadangkan 90 hari kepada 98 hari.

    Cuti paterniti untuk lelaki turut dilanjutkan daripada tiga hari kepada tujuh hari yang akan dapat dinikmati sama rata oleh pekerja lelaki daripada sektor awam dan juga swasta.

    Baca juga:

    Perkara ini diumumkan selepas Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat setelah memperoleh sokongan ahli Dewan Rakyat melalui undian suara.

    Pindaan ini bertujuan memberi ruang kepada pekerja lelaki (suami) membantu menenangkan emosi isteri yang dalam proses pemulihan selepas bersalin dan membantu menguruskan anak baru lahir.

    Tetapi tempoh cuti 98 hari ini hanya akan mula dilaksanakan 1 Januari 2023, walaupun sebelum ini ia diputuskan berkuat kuasa bermula 1 September. Namun ‘better late than never’, betul tak?

    Cuti bersalin 98 hari: Kesan cuti terlalu singkat 

    Pastinya timbul persoalan, penting sangat ke untuk berehat sehingga lebih tiga bulan ini?

    Secara umumnya, jika ibu bersalin hanya mendapat cuti bersalin kerajaan dan swasta untuk tempoh dua bulan atau kurang, wujud risiko untuk mengalami impak negatif seperti:

    1. Kemurungan selepas bersalin

    Beberapa kajian telah mendedahkan bahawa ibu yang kembali bekerja sejurus selepas bersalin lebih terdedah kepada kemurungan selepas bersalin atau meroyan.

    Kemurungan yang menyerang bukan sahaja menjejaskan keadaan mental ibu tetapi juga bayi, contohnya bayi tidak dijaga secara optimum.

    Ibu dan bayi juga akan mengalami kesukaran membina ikatan yang cukup kuat.

    cuti bersalin 98 hari

    1. Bekalan susu ibu berkurangan

    Cuti bersalin yang terlalu singkat boleh memberi kesan kepada penghasilan susu badan untuk bayi.

    Ini mungkin kerana bayi sukar mendapat susu ibu apabila diperlukan atau kerana penghasilan susu terhalang akibat ibu mengalami kemurungan.

    1. Tiada masa untuk pulih

    Ibu baharu memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu untuk pulih sepenuhnya selepas bersalin. Tetapi sebenarnya selepas itu, badan masih memerlukan rehat.

    Jika selepas bersalin anda segera kembali bekerja, wujud kecenderungan untuk mengalami gejala seperti keletihan, pening, sembelit dan kesakitan jahitan bersalin pada faraj boleh berlanjutan hingga setahun lamanya

    Inilah sebabnya mengapa tempoh cuti bersalin 98 hari yang ideal adalah sangat penting untuk kesihatan ibu dan bayi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 18/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan