Sebenarnya terdapat pelbagai cara yang boleh anda lakukan untuk menunjukkan rasa kasih sayang anda terhadap anak, antaranya:
Sentuhan fizikal
Untuk menunjukkan kasih sayang anda terhadap si kecil sudah tentu memerlukan sentuhan fizikal. Ia boleh dilakukan dengan pelukan, ciuman atau belaian lembut dengan penuh kasih sayang.
Anda boleh lakukannya apabila mereka sedang menangis, sebelum tidur atau lakukan pada bila-bila masa yang anda mahukan. Sesungguhnya kasih sayang yang ditunjukkan melalui sentuhan fizikal adalah lebih mudah untuk dilakukan.
Kata-kata
Anda juga boleh memilih untuk meluahkan rasa kasih sayang anda melalui ungkapan kata-kata. Anda tidak perlu menjadi seorang ibu bapa yang hebat dalam bermadah. Ketika anda bersendirian dengan si kecil, katakan kepadanya “mama sayang awak.”
Jika si kecil sudah besar untuk memahami ungkapan tersebut, sudah pasti akan akan menerima jawapan balas seperti “sayang mama juga.” Pasti ia akan membuahkan rasa bahagia di hati anda, bukan?
Sekiranya anda jenis individu yang sukar untuk melafazkan ungkapan seperti itu, kata-kata berupa sokongan atau galakan juga boleh diberikan sebagai ganti.
Meluang masa
Tiada apa yang lebih diinginkan oleh seorang anak melainkan dapat bersama ibu bapanya. Tidak dinafikan sebagai ibu bapa yang bekerja, anda mungkin keletihan selepas seharian menjalankan tugasan kerja anda. Walau bagaimanapun, cuba untuk meluangkan masa bersama anak. Paling tidak, selepas pulang bekerja, ketepikan segala gajet atau sebarang tugasan melibatkan kerja. Berikan sedikit masa untuk bersama anak.
Jika anda mempunyai masa terluang, bawalah anak untuk berjalan-jalan, bercuti atau sekadar makan bersama di restoran. Percayalah, apabila anda meluangkan masa untuk bersama anak-anak anda, ia akan membuatkan mereka berasa kewujudan mereka penting dalam hidup anda. Paling penting, jangan lokek untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak anda.
Membantu
Jika anak anda sudah memasuki alam persekolahan, anda boleh tunjukkan rasa kasih sayang kepada mereka dengan membantu mereka melakukan tugasan sekolah. Tetapi elakkan daripada terlalu membantu anak sehingga mereka menjadi terlalu bergantung kepada anda, okay?
Hadiah
Siapa yang tidak suka hadiah, apatah jika ia daripada individu yang disayangi. Begitu juga dengan kanak-kanak yang diberikan hadiah, walaupun hanya sekeping bar coklat. Hadiah yang diberikan bukan bergantung kepada nilai tetapi pemberian tersebut membuatkan mereka berasa istimewa dalam hidup anda.
Jika anak sudah bersekolah, anda mungkin boleh memberikan ganjaran sekiranya mereka mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan. Bukankah itu dapat membantu menaikkan lagi semangat anak anda untuk lebih berjaya di dalam akademik?
Akhir kata
Rasa kasih sayang antara seorang ayah, ibu dan anak boleh dizahirkan dengan pelbagai cara. Namun, perkara yang harus diingatkan adalah untuk sentiasa menunjukkan rasa kasih itu kepada anak setiap hari. Jadi, bagaimana dengan hari ini, sudahkah anda tunjukkan rasa sayang kepada si kecil?
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.