Bukan semua ikan boleh dimakan selepas bersalin. Jadi, ibu berpantang boleh makan ikan apa? Ayuh kita ketahui jenis ikan untuk ibu berpantang yang sesuai untuk diamalkan!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Amalan berpantang di Malaysia
Berpantang adalah tempoh untuk menyembuhkan dan mengembalikan kekuatan badan selepas melahirkan anak.
Umumnya, amalan berpantang ini merupakan amalan turun-temurun yang dilakukan oleh masyarakat Asia.
Di Malaysia sendiri, tempoh berpantang adalah berbeza mengikut budaya: 30 hari untuk kaum Cina, 40 hari bagi bangsa India manakala kebanyakan masyarakat Melayu mengamalkan tempoh berpantang selama 44 hari.
Seperti dinyatakan pada awal tadi, pemakanan merupakan aspek penting semasa berpantang. Ini bermakna ada makanan yang boleh dimakan dan sebaliknya. Begitu juga dalam pemilihan ikan untuk ibu berpantang.
13 jenis ikan untuk ibu berpantang
Amnya ikan adalah amat baik untuk ibu selepas bersalin, khususnya mereka yang melakukan penyusuan eksklusif kepada si kecil.
Ini kerana ikan adalah sumber protein, mineral, vitamin B12 dan iodin yang penting untuk badan. Ia juga rendah lemak tepu dan sesetengahnya mengandungi asid lemak omega-3 seperti salmon.
Tetapi kenapa ada ikan yang boleh dan tidak boleh dimakan oleh ibu sedang berpantang, ya?
Ia adalah kerana menurut kepercayaan, terdapat jenis ikan yang boleh menyebabkan kegatalan dan angin. Secara tidak langsung akan mengakibatkan luka ketika bersalin lambat sembuh.
Di samping itu, ikan yang dilarang ini juga dikatakan berbisa dan boleh menyebabkan bentan.
Jadi ini bermakna ikan untuk orang pantang adalah daripada jenis yang tidak akan menyebabkan gatal.
Terdapat pelbagai jenis ikan yang boleh dimakan semasa berpantang. Sebaiknya, jenis ikan yang digalakkan pengambilannya adalah ikan dengan khasiat dan zat dalam membantu proses penyembuhan luka dalaman serta luaran.
Tetapi bagaimana untuk menentukan ikan yang boleh dimakan atau tidak?
- Ikan haruan
- Ikan yu
- Ikan kerisi
- Ikan selar
- Ikan gelama
- Ikan jenahak
- Ikan merah
- Ikan tenggiri
- Ikan bawal putih
- Ikan kurau
- Ikan salmon
- Ikan senangin
- Ikan siakap
Selain daripada mengandungi zat dan khasiat yang dapat membantu proses penyembuhan selepas beranak, jenis ikan untuk ibu bersalin yang disenaraikan di atas juga berfungsi meningkatkan tenaga kepada ibu menyusukan bayi.
Resipi ikan untuk ibu berpantang
Kini anda sudah mengetahui jenis ikan untuk ibu bersalin, tetapi masih tiada idea resipi yang sesuai untuk dimasak?
Bertenang, Hello Doktor akan membantu. Berikut dikongsikan beberapa idea masakan ikan yang boleh dimakan oleh ibu berpantang, bahkan mereka tidak berpantang pun pasti akan menyukainya!
Salmon panggang
Bahan-bahan:
- Kepingan ikan salmon
- Serbuk lada hitam
- Garam
- Minyak zaitun
Cara penyediaan:
- Lumurkan ikan dengan lada hitam dan garam secukupnya dan panggang. Jangan lupa untuk membalik-balikkan ikan supaya tidak hangus.
- Dalam anggaran masa 10 minit, ikan salmon panggang sedia untuk dimakan.
Ikan untuk ibu berpantang #Sup ikan merah
Bahan-bahan:
- Isi ikan merah – boleh ditukar kepada ikan lain seperti jenahak, siakap dan tenggiri
- 2 biji bawang merah
- 2 biji bawang putih
- 1 cm halia
- Kayu manis
- Bunga lawang
- Buah pelaga
- Lada hitam
- Garam
- Lobak merah/putih/sawi
- Sup bunjut ikan
- 500ml air
- Daun sup
- Minyak masak
Cara penyediaan:
- Lumurkan isi ikan dengan garam.
- Kisarkan bawang merah, bawang putih dan halia. Kemudian tumiskan seketika bahan yang dikisar ini dengan sedikit minyak masak.
- Masukkan kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga.
- Selepas itu, masukkan pula air bersama sup bunjut ikan.
- Kemudian masukkan isi ikan dan sayur pilihan anda.
- Akhir sekali, perasakan dengan garam dan lada hitam mengikut citarasa. Daun sup juga jangan lupa untuk dimasukkan.
Ikan untuk ibu berpantang #Tenggiri masak asam
Bahan-bahan:
- 3 keping isi ikan tenggiri
- 3 biji bawang merah – dihiris halus
- ½ inci halia – dihiris halus
- ½ cawan air asam jawa
- 500ml air
- Garam
- Serbuk lada hitam
Cara penyediaan:
- Masukkan semua bawang merah, halia, air asam jawa dan air ke dalam periuk dan dibiarkan hingga mendidih.
- Kemudian masukkan ikan dan biarkan masak atau sehingga kuah menjadi pekat.
- Akhir sekali, perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam mengikut citarasa.
[embed-health-tool-ovulation]