backup og meta

Elak Bersama Kerana Faraj Kering Selepas Bersalin? Ini Mungkin Akibat Tiroid!

Elak Bersama Kerana Faraj Kering Selepas Bersalin? Ini Mungkin Akibat Tiroid!

Masalah kekeringan faraj, miss V longgar dan berbau, merupakan antara isu biasa yang sering dialami wanita selepas bersalin. Namun dalam sesetengah kes, faraj kering selepas bersalin ini juga boleh terjadi disebabkan masalah kesihatan lain.

Ikuti penjelasannya dalam perkongsian artikel ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Faraj kering selepas bersalin 

Tubuh anda mengalami pelbagai perubahan semasa kehamilan. Bahkan anda mungkin dapat menjangkakan beberapa perubahan itu akan terus berlaku semasa proses penyembuhan selepas melahirkan anak

Tetapi adakah anda bersedia untuk berdepan perubahan yang melibatkan kehidupan seksual?

Kurang keinginan untuk bersama pasangan atau mengalami kesakitan semasa penetrasi dianggap antara keadaan biasa yang akan dialami. Bagaimana pula dengan faraj kering selepas bersalin? Ya, ia juga salah satu perkara normal untuk terjadi. 

Dikatakan masalah faraj kering ini boleh berlanjutan sehingga tempoh 6 bulan selepas melahirkan anak. Malahan ada wanita dengan keadaan ini mengakui ia menjadikan seks tidak selesa atau menyakitkan. 

Hormon & faraj kering selepas bersalin

Mengapa masalah kekeringan faraj ini boleh terjadi selepas bersalin? Jawapan yang paling mudah adalah kerana perubahan hormon – terutamanya estrogen dan progesteron.

faraj kering selepas bersalin

Kedua-dua hormon ini dihasilkan oleh ovari anda. Ia mencetuskan akil baligh, termasuklah perkembangan payudara dan pendarahan haid. 

Hormon tersebut juga bertanggungjawab dalam pembentukkan lapisan dalam rahim semasa kitaran haid. 

Jika telur tidak ditanam pada lapisan ini, paras estrogen dan progesteron akan menurun dan lapisan rahim tersebut akan disingkirkan semasa haid. 

Tahap estrogen dan progesteron akan meningkat semasa anda hamil. Manakala lapisan rahim pula akan berkembang menjadi plasenta – turut akan menghasilkan estrogen dan progesteron.

Selepas beranak, tahap kedua-dua hormon akan menurun secara mendadak. Bahkan, ia akan kembali ke tahap prakehamilan dalam masa 24 jam selepas melahirkan anak.

Tubuh akan menurunkan tahap estrogen lebih rendah semasa anda menyusu badan kerana hormon ini boleh mengganggu pengeluaran susu. 

Bagi ibu yang menyusu badan, paras estrogen adalah lebih rendah berbanding mereka yang tidak menyusukan anak dan masalah kekeringan faraj boleh menjadi amat ketara. 

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja anda berhenti menyusu dan haid kembali, paras hormon estrogen akan berada pada tahap sebelum hamil. Jika faraj anda kering, ia sepatutnya akan bertambah baik.

Kepentingan hormon estrogen selepas bersalin

Estrogen adalah penting untuk rangsangan seksual kerana ia meningkatkan aliran darah ke alat kelamin dan meningkatkan pelinciran faraj. 

Kekurangan estrogen akan menjejaskan banyak aspek selepas bersalin, termasuklah kilatan panas, berpeluh malam dan kekeringan faraj.

Terdapat sesetengah wanita yang memilih menggunakan suplemen estrogen untuk mengatasinya. Namun ia meningkatkan kecenderungan kepada risiko kanser dan isu lain seperti pembekuan darah. 

Berbincanglah dengan doktor tentang risiko dan faedah jika anda berminat untuk mengambil atau menggunakan suplemen estrogen ini. 

Baca juga:

Faraj kering selepas bersalin disebabkan tiroiditis 

Masalah faraj kering selepas bersalin juga boleh disebabkan oleh tiroiditis – keradangan kelenjar tiroid.

Tiroid anda menghasilkan hormon penting untuk pelbagai fungsi tubuh termasuklah metabolisme. Walau bagaimanapun, tiroid mungkin menghasilkan terlalu banyak atau kurang hormon apabila ia meradang. 

Gejala tiroiditis selepas beranak mungkin termasuk:

  • Berasa akan tumbang/goyah (shakiness)
  • Berdebar-debar
  • Mudah marah
  • Sukar tidur
  • Pertambahan berat badan
  • Keletihan
  • Sensitif pada kesejukan
  • Kemurungan 
  • Kulit kering
  • Kekeringan faraj 

Jenis tiroiditis yang dialami akan menentukan rawatan anda. 

Untuk tiroid yang mengeluarkan hormon secara berlebihan, doktor mungkin mencadangkan penyekat beta. Sebaliknya jika ia berkurangan, terapi penggantian hormon tiroid mungkin akan disyorkan.

faraj kering selepas bersalin

Jika tiroiditis menjadi punca faraj kering selepas bersalin, bertenang. Keadaan ini biasanya akan pulih dan kembali normal dalam tempoh 12-18 bulan.

Cara penyelesaian 

Anda masih boleh menjalani kehidupan seks yang menyeronokkan walaupun mengalami masalah kekeringan faraj. Berikut antara beberapa petua untuk membantu meningkatkan pengalaman seksual anda:

  • Gunakan pelincir semasa melakukan hubungan seks. Jika pasangan anda menggunakan kondom, pastikan pelincir adalah berasaskan air. Ini kerana pelincir berasaskan petroleum dan minyak boleh merosakkan kondom
  • Berbincang dengan doktor mengenai penggunaan krim faraj estrogen
  • Pertimbangkan untuk menggunakan pelembap faraj secara harian untuk tempoh beberapa hari
  • Minum air secukupnya. Pastikan badan terhidrat dengan baik
  • Elakkan meruang atau douch mahupun menggunakan semburan pembersihan diri – boleh merengsakan tisu faraj yang sensitif
  • Tingkatkan foreplay dan cuba teknik serta posisi seks yang berbeza

faraj kering selepas bersalin

Cubalah berbincang secara terbuka dengan pasangan mengenai masalah kekeringan faraj ini jika ia menjejaskan kehidupan seks anda. Ia sekali gus membantu anda untuk menangani isu ini bersama-sama dan tidak hanya membebankan diri sendiri.

Pemeriksaan doktor

Lakukan pemeriksaan dengan OB-GYN jika sebarang gejala selepas bersalin berterusan, kesakitan yang tidak dapat dibendung mahupun sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan.

Jangkitan, kencing manis dan vaginismus – otot faraj tertutup rapat atau mengetat semasa beraksi, juga boleh menyebabkan persetubuhan yang menyakitkan. Jadi amat penting untuk berbincang secara terbuka dengan doktor untuk keadaan yang anda alami.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Vagina changes after childbirth. https://www.nhs.uk/live-well/sexual-health/vagina-changes-after-childbirth/, Accessed on Jan 8 2022
  2. O’Malley, D., Higgins, A., Begley, C. et al. Prevalence of and risk factors associated with sexual health issues in primiparous women at 6 and 12 months postpartum; a longitudinal prospective cohort study (the MAMMI study). BMC Pregnancy Childbirth 18, 196 (2018). https://doi.org/10.1186/s12884-018-1838-6, Accessed on Jan 8  2022
  3. Postpartum Thyroiditis. http://www.thyroid.org/postpartum-thyroiditis/, Accessed on Jan 8  2022
  4. Vaginal dryness, https://www.womens-health-concern.org/help-and-advice/factsheets/vaginal-dryness/,  Accessed on Jan 8  2022
  5. Experiencing Vaginal Dryness? Here’s What You Need to Know. https://www.acog.org/womens-health/experts-and-stories/the-latest/experiencing-vaginal-dryness-heres-what-you-need-to-know, Accessed on Jan 8 2022

Versi Terbaru

19/02/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Risau Miss V Berubah Lepas Beranak? Tenang Mama, Ada Cara Atasinya!

Kena Buasir Selepas Bersalin? Mungkin 11 Tip Ini Dapat Kurangkan Kesakitan, Cubalah!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 19/02/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan