Siapa yang tidak suka memakai minyak wangi kan? Tetapi, tahukah anda, ada orang yang alami alergi minyak wangi?
Dapatkan lebih banyak info tentang Alahan, dapatkan di sini.
Alergi minyak wangi
Alahan terhadap minyak wangi merupakan antara penyebab alergi kulit yang popular di dunia menurut Dr. Sandy Skotnicki-Grant, doktor kulit dari Bay Dermatology Centre di Toronto.
Malah, menurut kajian yang dilakukan oleh Dr. Anne Steinemann daripada University of Melbourne, 1 daripada 3 orang dewasa mengakui mempunyai masalah kesihatan yang disebabkan oleh minyak wangi, kosmetik, pencuci atau sabun badan.
Kajian yang sama juga menunjukkan sensitiviti terhadap bau-bauan ini boleh menyebabkan mereka diserang migrain, mata berair dan juga masalah pernafasan.
Di dalam satu produk wangian, terdapat banyak bahan kimia yang mungkin berasal daripada sumber petrokimia.
Campuran berpuluh-puluh bahan di dalam satu botol ini boleh menyebabkan masalah kesihatan, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang mempunyai penyakit seperti asma.
Selain itu, mereka yang ada alergi minyak wangi juga akan alami alahan kulit jika tersentuh dengan alergen yang terlibat.
Oleh sebab itu, Dr. Steinemann mencadangkan agar setiap produk minyak wangi perlu memaparkan label yang jelas mengenai bahan yang digunakan di dalam formulasi mereka.
Jika anda sering pening kepala jika memakai minyak wangi, anda mungkin tergolong di dalam kumpulan yang sensitif terhadap wangian.
Apa itu sensitiviti terhadap minyak wangi?
Minyak wangi mengandungi pelbagai bahan yang dicampurkan bersama di dalam satu botol. Bahan ini mungkin berasal daripada sumber semula jadi atau bersifat sintetik.
Individu yang mengalami alergi minyak wangi amat berisiko untuk diserang alergi kulit jika terdedah kepada sebarang pewangi.
Banyak bahan kimia yang tidak stabil terkandung di dalam produk tersebut. Malah, bahan tersebut juga mudah untuk teroksida apabila terdedah kepada udara dan cahaya matahari.
Salah satu contoh bahan yang berbahaya kepada mereka yang sensitif terhadap minyak wangi ialah limonene, sejenis bahan kimia yang digunakan di dalam produk pencuci.
Limonene boleh melerai dan membentuk bahan lain yang boleh menyebabkan sensitiviti yang teruk.
Malah, ia juga boleh bertindak balas dengan ozon dan menghasilkan acetaldehyde dan formaldehyde, dua bahan pencemar yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.
Sama jugalah dengan linalool, sejenis bahan yang boleh ditemui di dalam minyak lavender. Bahan terbitannya iaitu linalyl acecate dan linalyl anthranilate akan menjadi alergen sentuh apabila ia tersebar ke udara.
Selain itu, minyak wangi juga mengandungi bahan penstabil, pelarut dan pengawet.
Semua ini juga boleh memberikan ketidakselesaan kepada pesakit yang mengalami sensitiviti terhadap minyak wangi.
Kurangkan sensitiviti & alergi minyak wangi
Cara yang terbaik untuk mengurangkan sensitiviti terhadap minyak wangi adalah dengan menjauhkan diri daripada memakai produk yang mengandungi wangian dan boleh menyebabkan anda rasa tidak selesa atau diserang alahan.
Walaupun sukar untuk mengelakkan pendedahan terhadap minyak wangi, ini merupakan cara yang terbaik untuk mereka yang menghidap alahan jenis ini, lebih-lebih lagi apabila berada di tempat awam.
Bukannya minyak wangi sahaja yang mengandungi wangian, ada banyak lagi produk lain yang turut terkandung pewangi. Sebagai contoh:
- Produk penjagaan diri seperti sabun, losen, syampu, deodoran, dantuala wanita.
- Produk pembersih seperti sabun basuh baju, softener, penyegar udara dan bahan pencuci.
- Perisa yang diletakkan di dalam makanan dan minuman, serta bahan kosmetik seperti lipstick, lip balms, dan ubat gigi.
Sebelum membeli apa-apa produk wangian, baca label terlebih dahulu. Pilih minyak wangi yang bebas wangian atau fragrance free/unscented.
Baca juga: