Bukan mudah untuk kita mengenal pasti tanda kanser tulang berikutan ia lebih kurang sama sahaja dengan simptom masalah lain.
Namun ada beberapa tanda kanser tulang yang mungkin anda boleh beri perhatian terutama jika ia terjadi pada kawasan yang tidak mempunyai organ dalaman seperti kaki dan tangan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.
Sebelum kenali tanda kanser tulang, fahami jenis-jenisnya dulu
Kanser tulang primer (kanser yang berasal daripada tulang) adalah sejenis barah yang paling serius dalam kalangan semua kanser tulang.
Ia sangat agresif dan mudah merebak ke organ lain dalam masa yang sangat singkat. Berikut adalah antara gambar kanser tulang:
Antara kanser tulang primer yang lazim didiagnosis adalah seperti berikut:
- Myeloma berbilang: Kanser tulang yang paling lazim didiagnosis. Ia berlaku apabila ketumbuhan kanser terjadi di dalam sumsum tulang sehingga mempengaruhi tulang-tulang lain. Myeloma berbilang kebiasaannya didiagnosis dalam kalangan orang dewasa. Ia merupakan kanser tulang primer yang mempunyai potensi kesembuhan terbaik dan kebanyakan individu tidak memerlukan rawatan pun.
- Osteosarcoma: Keadaan kesihatan ini kebiasaannya didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Pun begitu, orang dewasa juga boleh mengalaminya. Ia cenderung untuk berlaku pada bucu tulang panjang lengan dan kaki. Namun, ia juga boleh bermula daripada pinggul, bahu atau lokasi lain.
- Chondrosarcoma: Ini merupakan kanser tulang primer kedua terlazim. Ia terbentuk pada lapisan tisu subkondral (tulang rawan) yang menyaluti penghujung tulang. Keadaan kesihatan ini boleh berlaku pada bahagian pelvis, kawasan paha dan bahu.
- Sarkoma Ewing: Sejenis kanser yang jarang berlaku. Ia boleh bermula pada permukaan tisu lembut yang mengelilingi tulang atau pada tulang itu sendiri dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Lazimnya, masalah ini berlaku pada tulang panjang badan (lengan dan kaki) dan pelvis.
Tanda kanser tulang yang boleh anda alami
Bukan mudah untuk kita mengesan simptom atau tanda kanser tulang. Antara tanda-tanda yang lazim direkodkan oleh doktor adalah:
- Sakit tulang
- Kebengkakan pada tulang
- Ketulan keras pada tulang panjang tangan atau kaki
- Kelesuan
- Tulang mudah patah
- Hilang berat badan tanpa sebab
Tanda kanser tulang yang dialami oleh penghidap mempunyai kaitan dengan proses patologi yang berlaku sehingga menyebabkan masalah kanser.
Bagi kesakitan yang dialami, pada mulanya, rasa sakit tersebut hanya berlaku sekali-sekala. Ia juga boleh menjadi terik pada waktu malam dan ketika aktiviti sedang dijalankan.
Sebagai contoh, rasa sakit hanya dirasai apabila anda berjalan. Namun, apabila tanda kanser tulang semakin teruk, kesakitan tersebut akan selalu ada dan ia akan menjadi teruk walaupun anda melakukan aktiviti ringan.
Kebengkakan tulang pula hanya berlaku beberapa minggu selepas anda merasai kesakitan akibat kanser tulang.
Apa yang lebih teruk adalah, jika tulang leher yang mengalami ketumbuhan kanser, kebengkakan yang berlaku boleh mengganggu pergerakan makanan melalui organ esofagus.
Pesakit akan mengalami kesukaran untuk menelan makanan sehingga boleh menyebabkan masalah turun berat badan berikutan kekerapan mereka makan semakin berkurangan.
Tulang yang mengalami ketumbuhan kanser tidak begitu kuat. Dalam hal ini, ia akan mudah retak sehingga menyebabkan rasa sakit yang ekstrem.
Namun, adakah kanser tulang boleh sembuh? Ia sangat bergantung kepada individu itu sendiri.
Diagnosis dan rawatan
Menurut pengalaman pesakit kanser tulang, mereka akan menemuipakar untuk mencari sumber dan punca kanser tulang.
Namun, bagi mereka yang mengalami tanda kanser tulang primer, diagnosis oleh doktor sangat penting berikutan tahap kanser yang berbeza mempunyai protokol rawatan yang berlainan.
- Tahap 1 kanser tulang: Masih terhad pada tulang (belum merebak keluar).
- Tahap 2 kanser tulang: Belum tersebar namun sudah nampak invasif. Mula menjalar ke tisu berdekatan.
- Tahap 3 kanser tulang: Telah tersebar ke kawasan tulang yang lain. Sel kanser mula menjadi invasif.
- Tahap 4 kanser tulang: Telah tersebar ke organ lain seperti peparu dan otak.
Penggunaan ujian makmal seperti ujian darah, alat imbasan tulang, biopsi tulang dan ujian pengimejan (x-ray, MRI dan imbasan CT) boleh membantu doktor untuk menentukan tahap kanser.
Rawatan bagi kanser tulang bergantung kepada beberapa faktor seperti:
- Tahap kanser
- Usia penghidap
- Tahap kesihatan menyeluruh
- Saiz dan lokasi ketumbuhan
Antara kaedah rawatan yang boleh menjadi pilihan adalah seperti berikut:
- Ubat preskripsi
- Terapi radio
- Pembedahan
- Terapi alternatif jika perlu seperti rawatan herba dan lain-lain