backup og meta

Berpuasa untuk Melawan Kanser?

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 04/12/2019

    Berpuasa untuk Melawan Kanser?

    Puasa sebagai rawatan untuk kanser

    Puasa, atau tidak makan untuk jangka waktu tertentu merupakan amalan agama yang telah wujud sejak sekian lamanya. Tetapi ada juga yang mengamalkannya untuk manfaat kesihatan tertentu. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kajian telah diterbitkan menunjukkan bahawa berpuasa atau diet puasa dapat mengurangkan faktor risiko dan membantu dalam rawatan keadaan kesihatan yang serius termasuklah kanser.

    Puasa yang bagaimana boleh melawan kanser?

    Puasa yang dimaksudkan dalam kebanyakan kajian yang mengkaji kaitan puasa dan kanser ialah diet puasa (Intermittent Fasting), sekatan kalori (caloric restriction) dan diet ketogenik.

    Diet puasa atau IF berbeza daripada puasa wajib bagi orang Islam kerana konsepnya di sini seseorang itu dibolehkan mengambil apa sahaja jenis minuman dan makanan asalkan tidak membawa kepada kemasukan glukosa (gula dalam darah) atau tindak balas insulin; atau dalam bahasa diet, apa sahaja boleh diambil sepanjang tempoh ‘puasa’ asalkan 0 kalori. Ini termasuklah air masak dan minuman tanpa gula. IF ibarat seperti puasa yang disebabkan untuk tujuan memeriksa gula dalam darah keesokan pagi (fasting blood glucose).

    Sekatan kalori pula adalah rejimen pemakanan yang mengurangkan pengambilan kalori tanpa mengalami kekurangan zat makanan atau pengurangan nutrien penting sementara diet ketogenik adalah diet rendah karbohidrat.

    Bagaimana puasa berfungsi

    Tubuh anda berupaya untuk melindungi anda daripada kebuluran. Untuk melakukan ini, terdapat simpanan nutrien yang diperlukan untuk bertahan ketika anda tidak makan.

    Apabila anda tidak makan secara normal, ini meletakkan sel-sel di bawah tekanan ringan, dan badan anda mula melepaskan simpanan nutrien tersebut untuk digunakan badan. Selagi badan anda mempunyai masa untuk menyembuhkan dirinya sendiri selepas tempoh tekanan ini, anda tidak akan mengalami kesan negatif. Bahkan anda mungkin mengalami penurunan berat badan kerana badan anda menggunakan lebih banyak kalori daripada yang diambil.

    Tetapi jika anda berpuasa berterusan selama tiga hari contohnya, badan anda akan mula berfungsi dengan perlahan dan memelihara simpanan makanan ini untuk memanjangkan jangka hayat anda, lalu anda tidak akan melihat penurunan berat badan.

    Sains di sebalik puasa dan kanser

    Sel kanser yang dihancurkan

    Apoptosis atau adalah proses dinamik yang berlaku dalam organisma multiselular; iaitu perubahan dalam pelbagai proses dan biokimia sel yang membawa kepada perubahan morfologi, pemusnahan diri dan kematian sel. Ia juga mengehadkan pengumpulan sel-sel tumor.

    Kajian haiwan terkini dan beberapa ujian awal terhadap manusia telah menunjukkan penurunan risiko kanser atau penurunan kadar pertumbuhan kanser dengan berpuasa. Kelaparan jangka pendek membuat sel-sel kanser sensitif terhadap kemoterapi sambil melindungi sel-sel normal, menyebabkan sel kanser lebih terdedah kepada apoptosis. Puasa juga dipercayai dapat menggalakkan penghasilan sel stem.

    Jadi, bolehkah saya berpuasa untuk melawan kanser?

    Rawatan kanser sehingga kini masih menggunakan panduan yang sama sejak 30 tahun yang lalu dengan kemoterapi dan/atau radioterapi berserta pembedahan sebagai standard walaupun terdapat terapi baru yang perlahan-lahan menggantikan atau melengkapkan yang standard.

    Menurut American Cancer Society, saranan diet untuk pesakit kanser yang menerima kemoterapi adalah untuk meningkatkan pengambilan kalori dan protein. Di samping itu, tiada garis panduan yang jelas tentang jenis pemakanan yang boleh memberi impak besar kepada kanser. Sedangkan dalam organisma kecil, tikus dan manusia, berpuasa (tiada pengambilan kalori) mencetuskan pelbagai tindak balas yang berkaitan dengan perlindungan kepada sel, yang sukar dicapai dengan pelbagai jenis ubat sekali pun. Berpuasa mempunyai potensi sebagai satu kaedah klinikal untuk melindungi pesakit dan meningkatkan kadar pemulihan.

    Oleh itu, sehingga kini kajian masih dilakukan oleh pakar tentang kesan puasa dan bagaimana memanfaatkannya sebagai alat melawan kanser. Jika anda memilih untuk berpuasa bagi melawan kanser, pastikan anda berbincang dengan doktor pakar dan dapatkan saranan yang sesuai tentang rutin yang patut anda pilih. Tetapi jika anda didiagnosis dengan kanser dan ingin berpuasa di bulan Ramadan ini, anda boleh menarik nafas lega kerana berpuasa mungkin tidak akan memudaratkan kesihatan anda, bahkan memberi kesan yang bermanfaat!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 04/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan