Kadar kemandirian 5 tahun bukanlah sesuatu yang tepat. Ia hanyalah anggaran. Malah, penghidap kanser pada zaman sekarang mungkin mempunyai harapan yang lebih tinggi berbanding statistik tersebut.
Tambah lagi, rawatan kanser semakin baik dan berkembang tahun demi tahun disebabkan teknologi yang semakin maju. Statistik yang digunakan juga berdasarkan penghidap kanser yang didiagnosis 5 tahun lalu.
Apakah maksud kanser tulang tahap 4?
Kanser tulang merupakan sejenis kanser yang jarang berlaku. Malah, penghidap kanser ini hanya merangkumi 1% daripada semua jenis kanser.
Ia boleh bermula pada mana-mana bahagian tulang. Namun, kanser ini lebih banyak berlaku pada kawasan lengan dan kaki.
Kanser tulang mempunyai tahap yang berbeza untuk menentukan sejauh manakah kanser tersebut telah merebak. Selain itu, sistem ini juga membantu doktor untuk menentukan rawatan yang terbaik buat pesakit.
Kanser tulang tahap 4 merupakan tahap yang paling serius. Kanser tahap 4 juga bermaksud ia telahpun merebak ke bahagian badan yang lain.
Untuk kanser jenis ini, penentuan tahap juga akan mengambil kira gred sel kanser tersebut atau abnormalitinya ketika dikaji di bawah mikroskop.
Selain itu, kanser tulang tahap 4 juga terbahagi kepada 2 tahap iaitu:
- Tahap 4A: Kanser telah merebak ke kawasan paru-paru.
- Tahap 4B: Kanser telah merebak ke kawasan nodus limfa atau telah merebak ke organ lain selain paru-paru. Kanser ini juga dikira sebagai kanser metastatik.
Faktor risiko penyakit kanser tulang

Hingga hari ini, faktor yang mencetuskan kanser tulang masih belum dikenal pasti. Namun, ada beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser ini iaitu:
Sindrom genetik yang diwarisi. Terdapat beberapa sindrom genetik yang jarang berlaku seperti sindrom Li-Fraumeni yang boleh meningkatkan risiko kanser tulang. Penyakit Paget pada kawasan tulang. Penyakit ini selalunya berlaku pada orang tua. Malah, penghidap penyakit ini juga mempunyai risiko kanser tulang yang lebih tinggi. Terapi radiasi untuk kanser. Terapi radiasi yang diterima ketika rawatan kanser boleh meningkatkan risiko kanser tulang pada masa hadapan. Malah, risiko ini juga lebih tinggi jika pesakit pernah menerima terapi radiasi ketika mereka masih kanak-kanak. Usia. Penyakit kanser tulang seperti chondrosarcoma berlaku dalam kalangan warga emas. Namun, ia juga boleh berlaku kepada orang yang lebih muda. Mempunyai faktor risiko bukanlah bermaksud anda akan mendapat penyakit tersebut. Ramai orang yang mempunyai banyak faktor risiko, namun tidak menghidap kanser tulang.
Malah, ada juga mereka yang tidak mempunyai sebarang faktor risiko, namun telah didiagnosis dengan kanser tulang tahap 4.
Jangan sesekali putus asa

Kanser tulang tahap 4 merupakan sesuatu yang amat menakutkan. Mereka yang menerima diagnosis ini memerlukan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada insan tersayang dan juga ahli keluarga.
Malah, mereka juga dapat membantu pesakit untuk bertenang dan berfikir dengan lebih jelas. Pasangan, ahli keluarga dan sahabat memainkan peranan yang amat penting dalam hidup penghidap kanser.
Jangan lupa, statistik untuk penghidap kanser merupakan sesuatu yang tidak pasti dan boleh berubah-ubah. Tambah lagi, ada banyak faktor yang boleh mempengaruhi kadar kemandirian 5 tahun pesakit kanser tulang tahap 4.
Jadi, jangan sesekali putus asa. Ikut rawatan seperti yang dijadualkan oleh doktor. Jangan lupa berbincang dengan doktor jika anda mempunyai sebarang masalah atau keraguan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen